Menu
Showing posts with label Tip Mendidik Anak. Show all posts
Showing posts with label Tip Mendidik Anak. Show all posts


Pernah tak anda memerhatikan kelakuan anak yang berusia dua hingga enam tahun? Walaupun anda sibuk dengan bermacam urusan, cuba ambil masa untuk memerhati dan mengenali kelakuan anak anda. Ia penting untuk anda membantu mereka supaya membesar sebagai anak yang lebih cemerlang di masa depan.
Berikut adalah beberapa tingkah laku biasa yang dimiliki oleh kanak-kanak lingkungan usia tersebut. Cuba perhatikan, adakah sama dengan anak anda?
1. Suka tanya banyak soalan
Jangan cepat marah, itu tandanya otak anak anda sedang ligat berfikir. Banyak bertanya soalan bermaksud mereka sedang belajar banyak perkara.
2. Suka berlari dan melompat
Itu maksudnya anak anda seorang yang aktif dan ceria. Ada banyak perkara di sekelilingnya yang hendak diterokai. Bawalah anak buat aktiviti di padang yang luas supaya dia bebas meneroka dengan berlari dan melompat dalam persekitaran yang selamat.
3. Suka menyepahkan rumah
Tingkah laku menyepah bukan terhad kepada permainannya sendiri tetapi juga barang-barang rumah seperti mangkuk, sudu, cawan plastik di dapur, tudung ibu, sapu tangan atau pakaiannya sendiri dan bermacam lagi. Itu sebenarnya petunjuk yang anak anda seorang yang kreatif ketika bermain. Otaknya kreatif berfikir di luar kotak. Mungkin dia bosan dengan mainan yang sama, jadi dia membuat mainan sendiri menggunakan barangan di persekitarannya/
4. Suka bercakap sendiri
Jangan cepat panik dan anggap anak anda bercakap dengan makhluk halus. Sebenarnya itu adalah tingkah laku kanak-kanak normal. Mereka sedang berimaginasi dalam dunia sendiri. Imaginasi membantu kanak-kanak menjadi seorang yang kreatif dan inovatif.
5. Tak boleh duduk diam
Mungkin anda boleh bagi dia buat aktiviti seperti melukis, mewarna, bermain lego untuk membolehkan dia duduk diam seketika.
6. Kuat menangis
Adakah anak anda jenis macam itu? Mungkin dia jenis anak yang suka diberikan perhatian. Cuba luangkan lebih masa dengan anak dan layan segala kemahuannya bermain bersama. Dalam masa yang sama pujuk dan beritahu anak supaya jangan suka menangis kerana ibu/ayah sentiasa ada bersamanya.
7. Bercakap pelat
Jangan ketawakan anak yang bercakap pelat nanti dia ingatkan itu perkara yang lucu. Layan percakapannya tetapi dalam masa yang sama betulkan kesilapan perkataan pelat yang diucapkan.
8. Tak boleh berenggang
Mungkin dia pernah melalui pengalaman ditinggalkan oleh anda (pergi kerja) tanpa memberitahunya. Jadi, anak takut akan ditinggalkan lagi membuatkan dia tak mahu berenggang dengan anda. Cuba tenangkan anak dan selalu beritahunya ke mana anda pergi. Lama-kelamaan dia akan faham dan tidaklah asyik hendak 'melekat' sahaja.
9. Suka main lawan-lawan
Biasanya ini berlaku di kalangan anak lelaki. Tingkah laku ini dipengaruhi oleh hasil kekerapan mereka menonton rancangan kartun yang banyak aksi berlawan dan bergaduh. Cuba pantau apa yang mereka tonton dan mungkin perlu kurangkan kekerapannya. Sebaliknya salurkan keaktifan dan minat mereka berlawan dengan menyertai aktiviti taekwando dan sebagainya.
 10.Menconteng dinding rumah
Puas membebel dan melarang tetapi anak tetap suka membuat hasil karyanya di dinding rumah. Siapa tak angin tapi jangan larang minat dan kreativitinya. Sebaliknya korbankan sedikit ruang dinding rumah anda sebagai tempat khas untuk anak menconteng apa sahaja. Anda boleh menjadi kreatif dalam soal mengubahsuai dekorasi kediaman.
Sebenarnya terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak masing-masing. Walaupun mereka nampak 'nakal' dan sukar dikawal tetapi kadangkala kreativiti anda dalam mendidik boleh menjadikan mereka anak yang bijak dan pintar di masa hadapan. Yang penting salurkan tingkah laku yang 'annoying' tersebut ke arah yang betul.
0


Kebanyakan ibu ayah akan terus marah anak depan orang ramai kalau dia buat nakal. Jarang kita nak siasat punca kenakalannya kerana apa yang penting anak yang buat salah mesti terus dihukum supaya orang tak cakap yang kita ini tak tahu ajar anak!
Mendidik anak tak dengar cakap dan menjadikannya patuh bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kesabaran dan cara yang betul. Kalau anak selalu buat hal memang boleh menjengkelkan ibu ayah.
Apatah lagi kalau dia buat perangai di tempat awam seperti pusat membeli-belah, jemputan majlis dan lain-lain tempat yang ramai orang. Anak seperti ini akan berlari ke sana ke mari di depan orang ramai, adakalanya turut mengganggu orang lain di sekelilingnya.
Tindakan biasa kebanyakan ibu bapa adalah menghukum si anak dengan kekerasan seperti dipukul, dimarahi atau dijerkah agar mereka berhenti daripada melakukan perkara yang menyebabkan orang lain menyampah. Semua tindakan dilakukan bertujuan untuk membuatkan anak insaf dan tak mengulangi lagi perbuatannya, tetapi adakah cara kita ini tepat dan benar-benar mengajar anak?
Kadang-kala kita memang tak mahu pun bertindak kasar pada anak tetapi disebabkan tertekan dengan tingkah laku mereka lalu tanpa sedar kita cuba menghentikan perbuatan tersebut dengan kekerasan. Hakikatnya dalam hati ibu dan ayah, terselit rasa kasihan pada si anak.
Mungkin sedikit tips ini boleh membantu kita menghadapi kerenah si kecil yang 'nakal' dan selalu buat perangai.
1. Tunjukkan contoh yang baik pada anak
Ini adalah cara yang paling mudah untuk menjadikan anak nakal jadi mendengar kata. Pada umumnya anak akan meniru apa yang dia lihat dan dengar. Kalau nak anak bersikap baik maka tunjukkanlah contoh yang baik. Kalau anak selalu tengok kelakuan baik ibu ayah dan cara bercakap ibu ayah yang lemah lembut, maka lama-kelamaan akand ditiru oleh si kecil. Bukankah anak kecil belajar lebih banyak melalui apa yang dia lihat berbanding apa yang dipesan.
2. Jangan panggil anak 'nakal' walaupun perangai mereka memang nakal
Elakkan mulut anda daripada selalu menyebut anak anda nakal. Contohnya, "Kenapa, nakal sangat ni?", "Aisy ni nakal ya!". Bukankah apa yang keluar dari mulut ibu dan ayah itu satu doa. Jadi, cakaplah yang baik-baik pada anak anda. Lagipun kalau anda selalu sebut mereka nakal ia tidak baik untuk perkembangan emosi anak juga. Mereka juga ada perasaan, bila selalu dipanggil nakal, lama-kelamaan mereka rasa sia-sia sahaja bila berbuat baik sebab ibu ayah asyik nampak kenakalan mereka sahaja. Selain itu ia juga boleh menyebabkan anak rasa rendah diri. Sebaiknya jika anak ini berbuat nakal, berikan nasihat dan kata-kata positif supaya dia tahu yang dirinya disayangi dan ibu ayah suka anak yang baik dan dengar cakap. Berikan juga peluang untuknya memberitahu apa alasan tentang perbuatan nakalnya. Jangan lupa pandang tepat pada mata anak anda semasa menasihatinya.
3. Hadapi kenakalan anak dengan tenang
Bila anak buat nakal terutama di depan orang ramai, anda janganlah cepat hendak menghukumnya tanpa usul-periksa. Sebaiknya kawal emosi marah anda dan cuba hadapi kenakalan anak dengan tenang.
Anda perlu ingat, kadang-kala tak semua kenakalan anak dilakukan dengan sengaja. Mungkin ketika itu dia terpengaruh dengan kawannya atau suasana sehingga dia menjadi nakal daripada biasa.
Cara yang tepat adalah menasihatinya dengan lembut atau tarik dia dari suasana orang ramai untuk anda bercakap dengannya. Ingatlah yang anak sudah menanggung malu kerana kenakalannya di depan orang ramai jadi kalau anda terus menengkingnya, ia akan terus membuatkan anak malu dan marah. Sebagai ibu bapa, tidak seharusnya anda membuatkan anak rasa malu dengan memarahinya di depan orang ramai.
4. Jangan terlalu manjakan anak
Sedar atau tidak kadang-kala kenakalan anak disebabkan oleh sikap ibu bapa sendiri yang terlalu memanjakannya. Anak yang selalu dimanja dan semua keinginannya dipenuhi akan sukar dikawal. Oleh itu pastikan anda tidak terlalu mengikut kehendak anak. Anak mesti diasuh supaya tidak semua yang diinginkan boleh diperolehi dengan mudah.
5. Berusaha menjadi ibu bapa yang konsisten
Bila bergelar ibu bapa, anda seharusnya ada peraturan yang mesti dipatuhi oleh anak. Tapi jangan sekali-kali biasa menghukum anak dengan hukuman fizikal yang tidak sesuai dengan usianya kerana itu boleh mengganggu emosi dan jiwanya. Sebaiknya beritahu anak apakah peraturan yang dia mesti patuhi dan mesti menghormatinya. Bila sudah ada peraturan dan disiplin yang ditentukan, pastikan anda tegas melaksanakannya. Jangan terlalu mudah bertolerensi dengan anak kerana lama-kelamaannya dia tahu kelemahan anda dan mudah dia melanggar peraturan tersebut. Secara tak langsung ini boleh membuatkan anak tidak menghormati anda sebagai ibu ayah.
0


Anak-anak kita sangat unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi kenapa kita mesti fokus kepada kelemahan dan perkara lain yang mereka tidak boleh lakukan dengan baik seperti kanak-kanak lain berbanding kelebihan mereka?.
Menjadi tugas ibu bapa untuk membantu membentuk bakat semula jadi anak, jadi barulah mereka boleh berjaya dan melalui pengalaman baik dalam hidup.

Untuk mendidik kekuatan individu anak anda yang unik, ada 7 perkara yang anda mesti amalkan seperti yang dikongsikan oleh petuaibu.com
1. Jangan tengok pada masalah dan cuba membetulkannya
Tak kira sama ada di rumah atau pun sekolah, kita biasanya akan fokus kepada apa kesilapan yang dibuat oleh anak.
Tidak semua orang boleh menjadi bagus dalam semua perkara, jadi lebih awal anda kenal pasti kelebihan anak, maka lebih bagus untuk anda fahami faktor menarik semula jadi anak-anak supaya mudah membimbing mereka ke mercu kejayaan.
2. Bantu menukar kelakuan buruk dengan sesuatu yang lain
Antara kelakuan buruk kanak-kanak prasekolah adalah suka menggigit orang. Ia sangat menggeramkan para ibu bapa.
Sudahnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang suka menggigit asyik fokus kepada kelemahan si anak sahaja.
Mereka asyik bertanya soalan yang sama. “Hari ni ada gigit kawan tak?” atau mengingatkan anak supaya jangan menggigit kawan!
Sebaiknya cuba cari apa minat anak anda dan bakat sebenarnya, jadi anda ada benda lain untuk diberi perhatian dan bukan sekadar masalah dia suka menggigit orang lain.
3. Fokus kepada aktiviti yang paling anak gemar
Tentu anda dapat kesan apa jenis permainan atau aktiviti yang mampu membuatkan si kecil duduk diam dalam masa yang lama.
Contohnya jika dia gemar bermain permainan lego, maka anda boleh memintanya membina objek yang pelik dan sukar. Dengan cara ini anda membantunya menjadi lebih kreatif kerana otaknya berfikir dan ototnya aktif bekerja.
4. Bina rangkaian ‘rakan kongsi’
Bukan hanya anda berdua sahaja yang ditemui oleh anak setiap hari. Sebagai ibu bapa, anda tentu melihat anak membuat sesuatu perkara yang baru setiap hari.
Jika ada orang lain di sekeliling hidup anda seperti datuk nenek, jiran-jiran, guru dan pengasuh yang mampu memerhatikan beberapa aspek karekter anak, jadi mereka boleh membantu mengesan apa bakat yang dimiliki oleh anak.
Dengan cara itu anda boleh mengasah bakat tersebut dan memberi fokus kepadanya.
5. Berikan perhatian tanpa sempadan
Perhatikan berapa kali anak meminta anda memberi perhatian dengan apa yang mereka buat. Anak-anak cuma mahukan perhatian daripada ibu bapa untuk membesar dengan lebih berkeyakinan dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan.
6. Biasakan beri masa menunggu jawapan daripada anak
Gandakan masa anda menunggu apa yang anak fikirkan tentang sesuatu soalan. Apabila anda mula melatih diri untuk lebih mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh anak, dan mengesan apa yang mereka inginkan, maka komunikasi akan lebih berjalan lancar.
7. Jangan harap perubahan sekelip mata
Matlamat sebagai ibu bapa adalah untuk memastikan anak-anak hidup bahagia dan gembira. Jika anda sedang dalam proses mengubah perilaku anak-anak kepada yang lebih positif, jangan jangkakan ia berlaku sekelip mata. Yang penting ibu bapa jangan cepat putus asa.
 
0


Siapa kata anak kecil tak mengalami stres? Mungkin kita yang tidak perasan kerana kita terlalu sibuk menguruskan keluarga setiap hari.
Menurut Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, hampir 1juta orang kanak-kanak di Malaysia mengalami stres. Beliau menjelaskan bahawa hal ini amat membimbangkan memandangkan 90% bahagian otak terbentuk dari 0 hingga 6 tahun. Manakala 10% lagi, yang melibatkan kognitif akan mula terbentuk pada umur 7 tahun, sehinggalah anak anda berumur 23 tahun.

Oleh itu, penting untuk kita mengesan tanda stres pada anak, terutamanya anak-anak di bawah usia 6 tahun.
Berikut adalah 7 tanda stres pada kanak-kanak yang tak patut dipandang ringan oleh ibu bapa yang dikongsikan oleh zuriat.my
1. SERING BERMIMPI BURUK
Semenjak kebelakangan ini, adakah anak anda kerap menjerit ketakutan atau mengigau dalam tidur? Mimpi ngeri sekali-sekala adalah biasa. Tetapi jika terlalu kerap, ia mungkin tanda stres disebabkan suatu kejadian sehingga menyebabkan trauma seperti dibuli atau terlihat kemalangan.
Pujuk anak untuk berkongsi pengalaman tersebut dan bantu mereka untuk melupakan kejadian tersebut.
2. MULA TABIAT BARU
Salah satu tanda stres pada anak adalah dia akan melakukan tabiat baru yang tidak pernah dia buat sebelum ini. Antaranya ialah perbuatan berulang-ulang seperti mengigit kuku atau memintal-mintal rambut. Apabila anak mulakan tabiat buruk ini, jangan terus melenting.
Cuba cari waktu yang sesuai untuk mendalami hati anak. Perlahan-lahan tanyakan anak jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Ceritakan juga masalah anda pada zaman kanak-kanak contohnya pada mereka supaya mereka faham yang orang lain juga punya masalah. Dengan cara ini, akan akan lebih terbuka untuk bercerita.
3. SELALU MENYISIHKAN DIRI
Anak yang mengalami tekanan cenderung untuk mengasingkan diri dari ahli keluarga lain. Mereka tidak seceria dulu dan lebih suka bersendirian di dalam bilik. Mereka juga lebih sukar untuk menceritakan masalah yang dihadapi. Mereka mungkin mengalami konflik dengan ahli keluarga lain atau di sekolah.
Jangan biarkan anak bersendirian. Libatkan anak dalam setiap perbualan dan perbincangan keluarga. Ajak dia turut serta dalam aktiviti keluarga.
4. MULA BERKELAKUAN KASAR
Sesetengah anak sulung mungkin akan mula bertindak kasar apabila mereka mendapat adik baru. Stres boleh menjadi punca kepada perangai agresif tersebut. Selain menggigit, menendang atau memukul, mereka juga lebih kerap bercakap dengan nada yang lebih nyaring, kurang sopan dan tidak mendengar cakap.
Kita sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik pada mulanya. Tenangkan anak dan jadi pendengar yang baik untuknya. Berikan ruang untuk anak meluahkan perasaan.
5. MAHU ‘BERKEPIT’ DENGAN KITA
Rimas betul jika anak kita suka berkepit dengan kita tidak kira masa. Sebelum ini jika kita tinggalkan sekejap ok je. Tetapi sejak kebelakangan ini, ditinggalkan sekejap, terus merengek tak tentu pasal. Macam bayi kecil pula!
Namun, jangan terlalu cepat marahkan anak. Cuba cari puncanya kerana anak yang berkelakuan begini mungkin sedang mengalami penyesuaian diri pada persekitaran yang berubah.
6. CEPAT MELENTING
Perubahan lain yang terjadi pada anak adalah mereka lebih cepat emosional. Walaupun dalam perkara kecil seperti tidak boleh mengikat tali kasut sudah boleh membuatkan anak naik angin. Anak juga lebih mudah putus asa.
Perkara ini berlaku apabila anak terlalu ingin mencapai kesempurnaan (perfectionist) dan gagal menyenangkan hati kita. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka juga ingin menyerlah seperti adik-beradik yang lain atau kita sebagai ibu  bapa terlalu mendesak anak. Bina keyakinan diri pada anak dan jangan terlalu mendesak melebihi kemampuan mereka.
7. PRESTASI AKADEMIK MENURUN
Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran si anak sehingga menyebabkan pencapaiannya di sekolah merosot. Dia juga sukar untuk menumpukan perhatian ketika membuat kerja rumah. Barangkali ada masalah dengan rakan sekelas atau mungkin masalah itu datang daripada kita sendiri.
Jika masalah ini berlarutan, berbincanglah dengan anak. Capai satu penyelesaian.
ANAK-ANAK PERLUKAN PERHATIAN DAN KASIH SAYANG
Walaupun dunia anak-anak semakin canggih pada hari ini, tiada satu apa pun yang dapat menggantikan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Oleh itu, hargailah masa berkualiti bersama anak dan jangan hanya menumpukan kepada akademik atau prestasi pendidikan mereka sahaja.
Sebaliknya, didik mereka menjadi insan yang seimbang, terapkan nilai-nilai positif, dan beri masa untuk mereka menjadi kanak-kanak sebenar!
0


Anak kecil memang tidak lepas dari mainan. Ke mana sahaja dia pergi, jika nampak mainan pasti hendak memilikinya. Bagaimana cara nak dapat ? Itu mengikut kreativiti mereka. Ada yang menangis, ada yang tantrum dan ada yang minta tanpa tangisan.
Disebabkan ‘kreativiti’ anak ramai mak ayah yang mengalah dengan anak kerana tak mahu anak mengamuk dan buat drama air mata depan orang.




Menurut seorang bapa, Mohd Fadhli yang berkongsi tipnya, anak saya tidak terlepas dari itu. Bila mengenali mainan, dia kerap meminta bila pergi ke mana. Kali pertama atau kedua boleh lagi kita ikut permintaan mereka. Namun bila kali ketiga kita perlu merasionalkan mereka.
Antara langkah yang saya akan buat ialah;
1. Bual bual dengan anak, kaitkan permainan dengan kehidupan.
Permainan ini kita bermain untuk gembira bukan untuk selamanya. Ada ketika kita happy happy. Tak semua waktu kita perlu happy2. Perlu cakap. Dia mengerti atau tidak itu bukan alasan.
Anak-anak ini cukup kuat installnya. Setiap apa yang diperkatakan akan di simpan dalam otak. Penzahirannya tidak di ketahui. Oleh itu, ibu bapa mainkan peranan yang penting menyampaikan mesej yang bermanfaat sepanjang masa.
2. Tekankan pada anak konsep bersyukur.
Barang mainan di rumah masih elok dan boleh digunakan. Di sini ibu ayah boleh berikan mesej agar menghargai setiap pemberian agar mainan tersebut tahan lama.
Penekanan bersyukur juga boleh dipupuk dengan mendidik anak- anak melalui konsep menabung. Duit yang sepatutnya kita beli mainan adalah lebih baik kita menabung.
Saya selalu beritahu dan installkan dalam diri anak saya, duit yang ada kita masuk tabung untuk tengok kaabah. Akhirnya setiap duit yang dia dapat dari mak tok...tok abah dan wan akan diberi pada saya sambil cakap
"Duit ni khaulah nak tengok KAABAH "
3. Tegas pada anak.
Sebelum pergi mall atau pasar malam. Saya akan cakap dengan anak , " tengok jer, jangan macam-macam ".
Hasilnya sampai di mall atau pasar anak anak ini tidak akan meminta. Walaupun kita lalu di hadapan penjualan mainan, dia akan ajuk balik "tengok je, jangan macam2 ". Hehehe
Saya pernah singgah di tempat jual mainan. Anak saya akan tengok jer. Dia tak minta pun, apatah lagi nak merengek menangis. Sampai penjual mainan pelik, kenapalah budak ni tak minta mainan.
4. Ugut anak dengan mainan.
Ugutan ini berbentuk ganjaran. Anak-anak ini mudah akan patuh pada arahan kita bila tiba-tiba mereka di kejutkan oleh ibu ayah.
Saya selalu cakap dengan anak.
" Abi dah beli mainan, pasni kakak mesti solat tau. Ingat tu "
Dia nak ikut atau tidak terpulang pada dia. Ketika nak solat kita tegaskan kembali mengenai ugutan tadi.
"Khaulah, cepat solat ngan abi. Tadikan abi dah belikan mainan khaulah. Kalau tak, nanti abi tak belikan lagi, tak pun abi bagi kat orang lain nak ? "
Ugutan sebegini biasanya dia akan ikut. Tapi jangan sampai terlalu memaksa. Cara kita sebagai ibu ayah berkomunikasi sebenarnya mampu mempengaruhi minda anak.
Ibu ayah perlu BIJAK
Bukan nak kata saya bijak. Tapi jom kita jadi bijak sama sama. Hari ini ramai ibu ayah suka ikut permintaan anak-anak mereka sejak dari kecil. Apa mereka nak semua diberi tanpa ada sanggahan dan merasionalkan setiap tindakan. Bila budak tu menangis di marah dan di rotan.
Lumrah anak-anak memang dekat dengan mainan. Maka kita perlu raikan mereka dengan mainan. Tetapi jangan pula terlalu manja dan berikan anak dengan mainan sahaja. Belajarlah tarik tali dengan anak.
Biasanya anak-anak yang telah dibiasakan dengan pemberian tanpa ada sanggahan, anak anak ini akan cepat memberontak kerana kemahuan mereka tidak dapat ditunaikan. Maka berlakulah pertengkaran dan sesuatu yang tidak baik apabila dewasa. Akhirnya mereka mencari kawan-kawan yang boleh memuaskan kemahuan mereka.
Zaman kini, ibu ayah perlu cakna trending, dan budaya anak muda. Jangan hanya mahu ikut cara lama. Benar cara lama sangat membantu tetapi pelbagaikan method kerana anak-anak kita telah banyak pendedahan tanpa sempadan.
0


Mungkin kerana kesibukan kerja, travel, atau rutin harian yang padat, kita menganggap anak-anak akan memahami situasi kita. Tapi hakikatnya, cara berkomunikasi dengan anak perlulah berkesan dan seharusnya kasih sayang sentiasa diingatkan dan diekspresikan.
Berikut adalah antara beberapa ucapan yang boleh kita ucapkan kepada anak-anak, tak kiralah yang masih kecil ataupun yang meningkat usia remaja. Mudah-mudahan, ia memberi kesan luar biasa serta sentuhan magik kepada emosi dan rohani anak-anak kita.

1. “MAMA/PAPA SAYANGKAN KAMU”
Jangan biarkan satu hari pun berlalu tanpa memberitahu anak-anak bahawa kita menyayangi mereka. Anak-anak akan berasa selamat apabila diingatkan bahawa kita sentiasa mencintai mereka.
Dalam hari-hari yang sukar, anak-anak mungkin akan buat ‘perangai’ atau tidak berkelakuan baik seperti apa yang kita harapkan. Sungguhpun begitu, penting untuk anda jelaskan kepada mereka bahawa semua perkara ini tidak akan sesekali melunturkan kasih sayang anda terhadap mereka.
2. “MAMA/PAPA SERONOK BERMAIN DENGAN KAMU”
Tak kiralah apa jua aktiviti yang anda lakukan hari ini, cuba beritahu anak bahawa anda sangat gembira berada di samping mereka.
Tidak dapat dinafikan, seorang anak sememangnya sumber keceriaan dan kegembiraan dalam sebuah keluarga. Malah, anak juga adalah sumber rezeki dan anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Jadi, jangan malu-malu meluahkan kepada anak betapa berharganya mereka buat anda.
3. “KAMU SANGAT ISTIMEWA”
Tak perlu tunggu anak-anak naik pentas, terima anugerah di sekolah, atau menang pertandingan untuk mengucapkan ayat ini kepada mereka.
Sebaliknya, fahamilah bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang diciptakan oleh Allah. Oleh itu, beri perhatian kepada perkara-perkara ‘simple’ yang dilakukan oleh anak setiap hari dan ekspresikan penghargaan anda kepada mereka.
4. “MAMA/PAPA SUKA BILA KAMU…”
Setiap orang tentunya berasa gembira apabila mengetahui mereka dapat membuat seseorang gembira – terutamanya anak anda.
Jadi, ambil kesempatan ini untuk mengingatkan mereka tentang perbuatan mereka, karakter, kelakuan baik, idea bernas, atau apa-apa saja yang positif.
5. “MAMA/PAPA PERCAYAKAN KAMU”
Salah satu perkara mustahak yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak adalah apabila mereka tahu ibu bapa sentiasa menyokong mereka. Dengan kata-kata ini, anak akan berasa lebih konfiden, berani mencuba, dan tidak mudah berputus asa untuk menghadapi cabaran.
Selain itu, ia juga membuka lebih banyak peluang kepada anak untuk meneroka serta meningkatkan usaha dalam melakukan apa saja yang mereka minati.
CARA BERKOMUNIKASI DENGAN ANAK AMAT PENTING
Mudah, bukan? Walaupun 5 ucapan ini begitu ‘simple’, tetapi percayalah cara berkomunikasi dengan anak ini mampu memberi kesan luarbiasa kepada masa depan mereka.
Jadi, pastikan anak-anak anda tahu betapa mereka disayangi dan dicintai agar mereka dapat membesar sebagai seorang anak yang positif, berkeyakinan tinggi, dan memiliki perasaan belas kasihan terhadap sesama insan.
Tak payah tunggu mereka besar, mulalah melakukannya hari ini juga!
Sumber: zuriat.my
0


"Adam...kenapa conteng dinding lagi ni? Kan mama cakap lukis kat kertas je," jerit Aini pada anaknya yang berusia 4 tahun.

Mesti ramai ibu pun sama macam Aini. Marah bila anak conteng dinding rumah. Eh, siapa tak sakit mata tengok dinding rumah yang bersih dah jadi comot dengan contengan lukisan si kecil.

Sekiranya anak anda tanpa sengaja menconteng dinding, jangan risau kerana ada teknologi cat yang boleh membersihkan kesan kotoran contengan dan sisa makanan seperti krayon, pensil warna, jus dan lain-lain. Jadi, jangan terus marah anak kerana ada penyelesaiannya.

1.Jangan sekat kreativiti anak anda ketika bermain kerana ia ciri penting untuk mereka membesar dengan bijak. Persekitaran rumah juga boleh menjadi tempat permainan paling menyeronokkan kepada si kecil.

2.Tahukah anda, kreativiti penting untuk proses pembelajaran anak dan akan mempercepatkan perkembangan kognitif? Apabila kanak-kanak digalakkan mengekspresikan diri mereka dan mencuba bermacam cara untuk menghasilkan seni, mereka sebenarnya sedang membina pemikiran kritis dan inovatif yang amat diperlukan bila dewasa nanti.

3.Kira-kira 20% kanak-kanak di Malaysia mengalami stres dan keresahan akibat daripada sekatan untuk bermain. Kajian psikologi menyatakan warna mempengaruhi perasaan dan tingkah laku, merangsang minda dan tubuh juga memberi kesan kepada kesihatan anak anda.

4.Setiap pergerakan dalam menghasilkan karya seni, seperti memegang berus cat atau menconteng dengan krayon adalah penting untuk membentuk kemahiran motor halus kanak-kanak.

5.Jangan hadkan kreativiti anak, sekiranya mereka tak sengaja menconteng dinding rumah jangan marah atau tengking kerana ada cara untuk membersihkan kesan kotoran contengan di dinding dengan adanya cat berteknologi.  Ajar mereka cara untuk meluahkan kreativiti dan imaginasi di tempat yang betul.

0


“Situasi biasa setiap hari, seorang ibu menyuruh anaknya yang sedang menonton tv supaya mandi sebelum malam menjelma. Selepas lima kali mengeluarkan arahan tanpa dihiraukan, ibu tersebut terpaksa mengheret sendiri anak ke bilik air.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti diatas?

Ada satu persoalan menarik di sini: Mengapa tidak anak-anak kita terus mengikut arahan dengan kita sekali suruh sahaja?
Sebenarnya ada beberapa perkara dan fakta yang perlu kita tahu mengenai sikap anak-anak kita yang kadang kala membuatkan kita rasa geram ini.
1. Keutamaan Mereka Tidak Sama Dengan Keutamaan Kita
Tiada kanak-kanak yang akan faham mengapa mandi itu kelihatan sangat perlu untuk kita. Dan setiap kanak-kanak selalunya mempunyai perkara lain yang dia sedang buat, yang mereka rasakan ‘lebih penting’ buat mereka.
Ia mungkin kelihatan tidak penting bagi kita, tetapi tidak bagi kanak-kanak. Yang dia sedang main itulah paling penting buatnya – Permainannya itu adalah kerjanya. Dan itulah cara kanak-kanak belajar.
Penyelesaiannya, pertama sekali, cuba berhubung dengan anak kita dengan memerhatikan apa yang dia sedang buat dan cuba untuk mengambil tahu apa yang dia sedang buat.
“Wah, apa yang abang sedang lukis ni? Cantiknya, cuba cerita kat mak apa abang sedang lukis..?”
Kemudian, berikan mereka petanda bahawa kita akan mengganggu aktivitinya itu dengan arahan kita: “Sayang, sekarang masa untuk mandi. Awak nak mandi sekarang atau 5 minit lagi? Ok, lima minit tanpa tangguh-tangguh lagi tau? Ok, tu janji kita ya!”
2. Kita Membiasakan Anak Kita Tidak Memberi Perhatian Kepada Arahan Sehingga Kita Menjerit Atau Memarahi Mereka
Anak kita tak bodoh. Dia tahu dia boleh mendapat sebeberapa masa sebelum dia pergi mandi jika dia tidak mempedulikan arahan anda. Itu adalah sifat normal manusia terutamanya kanak-kanak.
Jadi, jika anak anda bersikap tidak mempedulikan sehingga 5 kali arahan dari ibunya, itu adalah petanda bahawa anda telah membiasakan anak anda untuk tidak serius sehinggalah anda naik angin dan menjerit.
Oleh itu, jangan beri arahan dari jauh, dari dapur contohnya. Pergi sedekat mungkin dengan anak anda dan sentuh mereka.
Berhubung dengan mereka dengan memberi pendapat tentang apa yang mereka sedang buat.
Kemudian katakan pada: “Maaf sayang, tapi mak ada sesuatu nak bagitahu..”, dan tunggu sehingga mereka melihat mata anda. Jika dia tetap merenung pada skrin, beri amaran padanya bahawa anda akan menutup game atau tv tersebut.
Jangan beri arahan sehingga dia membuat eye-contact dengan anda, jadi dia akan tahu yang anda sedang serius. Beri hanya satu amaran dan tetap pada arahan yang ingin anda berikan padanya. Tunggu sehingga dia buat seperti yang diarahkan.
Jika anda tidak berbuat demikian, anda hanya akan melatih dia untuk mengambil arahan anda secara sambil lewa dan tidak serius.
3. Mereka Memerlukan Bantuan Kita Semasa Transisi
Berikan satu amaran. Bila anda kembali dalam masa 5 minit, berhubung kembali dengannya dengan memberi komen pada aktivitinya, “Oh lukisan abang semakin cantik”, dan ingatkan mereka tentang janji yang telah dibuat, “Dah cukup masa 5 minit sayang. Ingat tak janji kita? Mandi tanpa tangguh-tangguh lagi. Masa untuk mandi sekarang.”
Minda mereka masih lagi sedang berkembang. Jadi dia mungkin mengalami masalah untuk mengikuti kehendak anda dan kehendak dirinya.
Jadi setiap kali anda menetapkan sesuatu arahan yang membuatkan dia mengalah terhadap kehendaknya untuk memenuhi kehendak anda, dia terpaksa membuat pilihan.
Bila dia memutuskan bahawa hubungan dengan anda adalah lebih penting berbanding dengan kehendak dia pada waktu itu, dia akur kepada kehendak kita. Setiap kali dia berbuat begitu, dia memperkuatkan lagi kebolehan mindanya untuk bersikap sedemikian.
Dengan cara itulah kanak-kanak membentuk disiplin kendiri.
4. Paksaan Terhadap Arahan Akan Mencetus Pemberontakan
Sudah menjadi sifat semulajadi setiap manusia untuk melawan apabila cuba dikawal dan diarah, begitu juga dengan kanak-kanak.
Semakin mereka berasa dikawal dan diberi tekanan, semakin mereka memberontak.
Mendidik anak-anak supaya mendengar kata bermakna kita sentiasa perlu ada untuk memberi arahan sebagaimana kita tahu anak-anak tidak mungkin dapat membuat keputusan sendiri.
Mengajar anak-anak untuk berdisiplin akan membuatkan anak tersebut mampu berfikir untuk dirinya sendiri, memilih apa yang betul dan tepat, serta mengelakkan daripada diambil kesempatan oleh pihak lain.
Sumber: Muhamad Naim Abd Manaf
0


Bila sah mengandung semua bakal papa mama mahukan anak yang lahir mempunyai IQ yang cerdas dan bijak. Jadi kenalah sama-sama berganding bahu merangsang anak sejak dalam kandungan lagi walaupun pada awal kehamilan kebanyakan wanita akan mengalami perubahan dengan serta-merta.
Tiba-tiba rasa loya, nak muntah, pening kepala, mengidam bermacam-macam makanan. Sebelum tahu mengandung, tak ada pula perubahan tu. Tapi jangan jadikan ia alasan untuk tidak melakukan sebarang rangsangan positif pada janin dalam kandungan. Kalau ibu hamil tak larat maka suamilah kena bertanggungjawab melakukan rangsangan tersebut.

1. Mengandung kena tukar gaya hidup ke?
Bagi yang mengandung anak pertama tentu banyak yang dirisaukan. Lagi-lagi kalau ada bermacam petua dan pantang larang yang orang tua-tua pesan. “Eh, nak kena tukar gaya hidup ke ni?, “Alamak, kena tinggalkan ke hobi berenang dan beryoga?” Bukan tak boleh buat tapi kena ikut nasihat doktor dan tengok pada keupayaan diri sendiri juga. Mungkin dalam fasa anda tak larat nak buat apa, cukuplah sekadar mengusap-usap perut sambil bercakap dengan bayi dalam kandungan.
2. Papa pun ada cerita nak kongsi
Selalunya perhatian hanya diberikan kepada ibu yang mengandung sahaja tanpa menyedari bakal papa pun ada bermacam persoalan yang bermain di fikiran. Apa agaknya perasaan seorang bakal papa bila isteri mengandung? Adakah mereka pun turut rasa cemas dan tak selesa macam ibu mengandung? Lagipun mereka mungkin tak faham bila isteri mengalami ‘mood swing’ yang sukar dijangka sepanjang mengandung.
Masa ini kalau suami tak faham dengan perangai isteri cubalah bersabar dan hulurkan bantuan apa  yang boleh selain menyokong isteri yang mungkin agak lemah. Sokongan suami mampu memberi kekuatan pada isteri dan anak dalam kandungan dapat merasakan sentuhan papa juga.
3.Dah nak bersalin! Checklist dah settle?
Ini bab yang paling digemari oleh bakal ibu  yang pertama kali melahirkan anak. Papa dan mama kena sama-sama berbincang dan gembira merancang checklist nak sambut bayi. Sekurang-kurangnya tak ada barang-barang yang tercicir dari senarai nanti. Selain buat persediaan material, ibu hamil perlulah bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal supaya kekal positif dan sihat semasa bersalin. Itulah yang paling penting. Suami juga kena ambil tahu tentang hal bersalin tau!
4.Diri juga perlu dibelai selepas bersalin
Selepas melalui pelbagai kesukaran dan cabaran sepanjang sembilan bulan mengandung, ibu juga perlu mendapat belaian yang sewajarnya selepas bersalin. Ia bukan setakat penjagaan diri dari segi rupa dan berat badan tetapi penjagaan bahagian dalaman dan kesihatan diri adalah lebih penting kerana ibu perlu sihat dan bertenaga untuk menjaga bayi baru lahir.
Nak si manja sihat, diri ibu pun perlu diberi perhatian sebab ia saling berkaitan. Selain itu, ibu perlu makan makanan berkhasiat untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu. Itu pentingnya persediaan fizikal dan mental untuk menjayakan proses penyusuan susu ibu. Jangan sekali-kali rasa tertekan dan rendah diri apabila melihat kuantiti susu ibu lain yang banyak kerana kuantiti susu setiap ibu adalah berbeza. Yang penting tetapkan niat untuk terus menyusukan bayi dengan susu ibu.
Ketika fasa ini, isteri sangat-sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami. Jangan biarkan isteri berseorangan tanpa sebarang belaian dan kata-kata sokongan.
5.Macam-macam tip jaga baby
Bukan mudah hendak menjaga bayi baru lahir terutama bagi ibu muda yang pertama kali. Antara perkara penting yang mesti diambil perhatian tentang bayi baru lahir iaitu kenal pasti punca utama bayi menangis, prihatin tentang masalah kembung perut, pentingnya bonding dengan bayi, pentingkan produk penjagaan bayi yang betul untuk kulit dan perkongsian tanggungjawab untuk menguruskan bayi dengan suami.
6.Dah boleh jalan, lain pula ceritanya!
Selepas melalui fasa kelahiran anak dan pelbagai perkembangan telah dicapai, tanggungjawab sebagai ibu bapa semakin bertambah. Semakin anak membesar semakin banyak kawalan perlu dilakukan terhadap mereka. Perhatikan setiap pergerakan anak kerana semakin mereka membesar, risiko terdedah kepada bahaya tetap ada walaupun di dalam rumah sendiri. Begitu juga dengan keselamatan anak ketika di luar rumah. Biarkan anak belajar dan meneroka persekitarannya. Sebagai ibu bapa kita perlu teruskan memantau dan memastikan keselamatan dan keselesaan anak sentiasa diutamakan.
Pendek kata dalam hal membesar dan mendidik anak, papa dan mama kena sama-sama berganding bahu menggalas tanggungjawab. Ia bermula sebaik sahaja tahu isteri mengandung. Barulah impian mempunyai anak yang IQ cerdas boleh tercapai.
0


Siapa tidak pernah mendengar keletah anak-anak Tomok, Arrianshah Akid, 5 tahun dan Andrashah Iman, 2 di laman Instagram Tomok. Dua-duanya petah bijak mencairkan hati yang menontonnya. Apa rahsia didikan Tomok dan isteri sehingga Arrian fasih berbahasa Inggeris?

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail walau pun mempunyai jadual yang padat sentiasa memastikan pembelajaran dan perkembangan anak. Kekangan masa dan sering out station mengehadkan tumpuan kepada anak-anak tetapi peranan isteri, Ayu Abas yang tidak bekerja membolehkan dia menumpukan sepenuh masa mendidik dan menguruskan anak-anak.


Walau pun selalu dilanda kesibuKan, Tomok akan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan anak-anaknya. Dia juga melahirkan rasa bertuah memiliki Ayu sebagai isteri yang menjalankan tangunggjawab dengan baik dalam mendidik Arrian dan Andra.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail dan isteri selalu menghabiskan masa dengan anak-anak. Mari kita tengok bagaimana mereka menggunakan masa yang ada sebagai didikan secara tidak langsung kepada Arrian dan Andra.

SELALU LUANG MASA BERSAMA
Keluarga kecil ini selalu meluangkan masa bersama di rumah dan dalam aktiviti luar rumah. Tomok  sendiri mengakui jika tiada tugasan luar atau show, dia akan menghabiskan masa dengan keluarga di rumah. Apabila lebih banyak masa dengan anak, mereka akan rasa dihargai dan disayangi. Ini secara tidak langsung akan menjadikan anak-anak lebih yakin kepada diri sendiri.

BERTUTUR DALAM BAHASA INGGERIS

Pertuturan dalam bahasa Inggeris dimulakan dari awal lagi. Ini kerana minda bayi dan kanak-kanak seperti span, mudah menyerap. Biar pun belum mampu menuturkan, ia disimpan dalam minda mereka. Amalan betutur dalam bahasa Inggeris dari awal menyebabkan Arrian dan Andra tidak kekok berbahasa Inggeris.

MEMBACA BUKU BAHASA INGGERIS
Membaca jambatan ilmu. Pembacaan buku berbahasa Inggeris amat membantu pengayaan tatabahasa dan sebutan Arrian dan Andra. Tomok dan Ayu tidak lupa melakukan aktiviti ini bersama kedua-dua anak mereka.

SERING BERMAIN GAME BERBAHASA INGGERIS
A post shared by @ayu_abas on

Tomok dan Ayu juga sering bermain permainan yang melibatkan bahasa Inggeris bersama anak-anak. Permainan yang sesuai dengan peringkat usia meningkatkan penguasaan sebutan dan keyakinan diri pada Arrian dan Andra.

PRETEND PLAY


Pretend play atau main peranan adalah cara pembelajaran yang menyeronokkan. Ia juga turut dilakukan oleh Ayu kepada Arrian dan Andra. Anak-anak boleh berlakon menjadi apa jua watak yang disukai dan menuturkan dialog-dialog dalam bahasa Inggeris. Anak-anak juga boleh menjadi kreatif dengan mempelbagaikan watak dan penggunaan alat.


Kalau nak tengok banyak lagi aksi-aksi comel dan bijak Arrian dan Andra, bolehlah menonton Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) and Ria HD (saluran 123) setiap Rabu, jam 9malam mulai 11 Oktober 2017.

Rancangan realiti keibubapaan edutainment ini menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya. Ia juga memuatkan perjalanan bagaimana Tomok mencipta single pertama yang diinspirasikan daripada anak-anaknya.  #RockstarJr #ArrianAndra

Sumber Instagram: tomokofficial dan ayu_abas
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →