Menu

Kalau Nak Anak Bijak, Papa Mama Kena Sama-Sama Rangsang Bayi Sejak Dalam Kandungan


Bila sah mengandung semua bakal papa mama mahukan anak yang lahir mempunyai IQ yang cerdas dan bijak. Jadi kenalah sama-sama berganding bahu merangsang anak sejak dalam kandungan lagi walaupun pada awal kehamilan kebanyakan wanita akan mengalami perubahan dengan serta-merta.
Tiba-tiba rasa loya, nak muntah, pening kepala, mengidam bermacam-macam makanan. Sebelum tahu mengandung, tak ada pula perubahan tu. Tapi jangan jadikan ia alasan untuk tidak melakukan sebarang rangsangan positif pada janin dalam kandungan. Kalau ibu hamil tak larat maka suamilah kena bertanggungjawab melakukan rangsangan tersebut.

1. Mengandung kena tukar gaya hidup ke?
Bagi yang mengandung anak pertama tentu banyak yang dirisaukan. Lagi-lagi kalau ada bermacam petua dan pantang larang yang orang tua-tua pesan. “Eh, nak kena tukar gaya hidup ke ni?, “Alamak, kena tinggalkan ke hobi berenang dan beryoga?” Bukan tak boleh buat tapi kena ikut nasihat doktor dan tengok pada keupayaan diri sendiri juga. Mungkin dalam fasa anda tak larat nak buat apa, cukuplah sekadar mengusap-usap perut sambil bercakap dengan bayi dalam kandungan.
2. Papa pun ada cerita nak kongsi
Selalunya perhatian hanya diberikan kepada ibu yang mengandung sahaja tanpa menyedari bakal papa pun ada bermacam persoalan yang bermain di fikiran. Apa agaknya perasaan seorang bakal papa bila isteri mengandung? Adakah mereka pun turut rasa cemas dan tak selesa macam ibu mengandung? Lagipun mereka mungkin tak faham bila isteri mengalami ‘mood swing’ yang sukar dijangka sepanjang mengandung.
Masa ini kalau suami tak faham dengan perangai isteri cubalah bersabar dan hulurkan bantuan apa  yang boleh selain menyokong isteri yang mungkin agak lemah. Sokongan suami mampu memberi kekuatan pada isteri dan anak dalam kandungan dapat merasakan sentuhan papa juga.
3.Dah nak bersalin! Checklist dah settle?
Ini bab yang paling digemari oleh bakal ibu  yang pertama kali melahirkan anak. Papa dan mama kena sama-sama berbincang dan gembira merancang checklist nak sambut bayi. Sekurang-kurangnya tak ada barang-barang yang tercicir dari senarai nanti. Selain buat persediaan material, ibu hamil perlulah bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal supaya kekal positif dan sihat semasa bersalin. Itulah yang paling penting. Suami juga kena ambil tahu tentang hal bersalin tau!
4.Diri juga perlu dibelai selepas bersalin
Selepas melalui pelbagai kesukaran dan cabaran sepanjang sembilan bulan mengandung, ibu juga perlu mendapat belaian yang sewajarnya selepas bersalin. Ia bukan setakat penjagaan diri dari segi rupa dan berat badan tetapi penjagaan bahagian dalaman dan kesihatan diri adalah lebih penting kerana ibu perlu sihat dan bertenaga untuk menjaga bayi baru lahir.
Nak si manja sihat, diri ibu pun perlu diberi perhatian sebab ia saling berkaitan. Selain itu, ibu perlu makan makanan berkhasiat untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu. Itu pentingnya persediaan fizikal dan mental untuk menjayakan proses penyusuan susu ibu. Jangan sekali-kali rasa tertekan dan rendah diri apabila melihat kuantiti susu ibu lain yang banyak kerana kuantiti susu setiap ibu adalah berbeza. Yang penting tetapkan niat untuk terus menyusukan bayi dengan susu ibu.
Ketika fasa ini, isteri sangat-sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami. Jangan biarkan isteri berseorangan tanpa sebarang belaian dan kata-kata sokongan.
5.Macam-macam tip jaga baby
Bukan mudah hendak menjaga bayi baru lahir terutama bagi ibu muda yang pertama kali. Antara perkara penting yang mesti diambil perhatian tentang bayi baru lahir iaitu kenal pasti punca utama bayi menangis, prihatin tentang masalah kembung perut, pentingnya bonding dengan bayi, pentingkan produk penjagaan bayi yang betul untuk kulit dan perkongsian tanggungjawab untuk menguruskan bayi dengan suami.
6.Dah boleh jalan, lain pula ceritanya!
Selepas melalui fasa kelahiran anak dan pelbagai perkembangan telah dicapai, tanggungjawab sebagai ibu bapa semakin bertambah. Semakin anak membesar semakin banyak kawalan perlu dilakukan terhadap mereka. Perhatikan setiap pergerakan anak kerana semakin mereka membesar, risiko terdedah kepada bahaya tetap ada walaupun di dalam rumah sendiri. Begitu juga dengan keselamatan anak ketika di luar rumah. Biarkan anak belajar dan meneroka persekitarannya. Sebagai ibu bapa kita perlu teruskan memantau dan memastikan keselamatan dan keselesaan anak sentiasa diutamakan.
Pendek kata dalam hal membesar dan mendidik anak, papa dan mama kena sama-sama berganding bahu menggalas tanggungjawab. Ia bermula sebaik sahaja tahu isteri mengandung. Barulah impian mempunyai anak yang IQ cerdas boleh tercapai.

No comments:

Post a Comment

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →