Menu
Showing posts with label Lelaki. Show all posts
Showing posts with label Lelaki. Show all posts

Lelaki berbasikal lasak melompat dari tebing.Lelaki yang kerap berbasikal sering mengadu sakit dan kebas pada bahagian bawah tubuh mereka, maka persoalan sama ada duduk secara di atas pelana basikal itu membawa kesan jangka panjang kesihatan seksual, telah menjadi perkara yang diteliti secara saintifik. Terdapat beberapa bukti yang mencadangkan menunggang terlalu kerap boleh memberi kesan kepada kesuburan.

Satu kajian pada tahun 2009 terhadap triatlet dari Universiti Cordoba di Sepanyol mendapati bahawa mereka yang paling banyak berbasikal mempunyai kualiti sperma yang paling rendah. Mereka yang menunggang lebih daripada 186 batu setiap minggu mempunyai kurang daripada 4 peratus sperma normal, satu tahap yang dikaitkan dengan masalah kesuburan.

Satu kajian yang lebih baru terhadap lebih daripada 2,000 orang lelaki yang menghadiri klinik-klinik kesuburan di dalam kawasan Boston mendapati yang lelaki yang berbasikal lima jam atau lebih setiap minggu berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk dua penanda kemandulan: kepekatan sperma yang rendah, dan jumlah sperma motil (sperma aktif) yang rendah.

Kedua-dua kajian itu bagaimanapun tidak mengukur kesuburan lelaki secara langsung. Lauren Wise, profesor madya epidemiologi di Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Boston yang juga merupakan ketua penulis kajian Boston berkata, "Sekalipun keputusan kami disahkan dalam kajian-kajian lain, ia tidak jelas sama ada boleh atau sehingga ke tahap mana mutu air mani memberi gambaran masalah kesuburan (lelaki).''

Banyak kajian telah turut mengaitkan berbasikal dengan kadar mati pucuk dan disfungsi erektil yang lebih tinggi, disebabkan oleh tekanan tinggi pada saraf-saraf dan salur darah. Kebimbangan mengenai pelana tradisional menyekat aliran darah ke alat kelamin lelaki telah menyebabkan banyak pelana-pelana alternatif dihasilkan. Satu kajian pada tahun 2008 ke atas pegawai-pegawai polis yang menunggang basikal mendapati bahawa menukar pelana tanpa muncung yang panjang terkeluar memberi kurang tekanan pada kelangkang, meningkatkan aliran darah ke zakar, dan merendahkan risiko disfungsi erektil (mati pucuk).
0

Kenal pasti punca masalah sebelum pilih rawatan sesuai untuk peroleh semula 'mahkota' impian.

Keguguran Rambut pada seorang wanita.Tekanan perasaan atau jiwa dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah keguguran rambut berbanding akibat penggunaan kimia berlebihan yang banyak dijual di pasaran. Masalah keguguran rambut hasil tekanan jiwa membabitkan purata jumlah yang sama antara lelaki mahupun wanita.

Insiden berkaitan keguguran rambut dengan tekanan jiwa ini kerap ditemui. Lebih kurang 60 peratus pesakit yang mengalami keguguran rambut adalah akibat masalah tekanan seperti runsing, tidak cukup tidur serta diet tidak seimbang.

Tekanan jiwa yang dialami lazimnya tidak begitu serius seperti masalah keluarga, kemurungan atau membabitkan percintaan. Ada juga yang mengalami trauma akibat kejadian ngeri seperti kemalangan atau kematian orang tersayang.

Tekanan tanpa disedari mendorong individu melakukan tabiat pelik seperti mencabut rambut di kepala sehingga menyebabkan sebahagian besar kepala menjadi botak. Tekanan juga mendorong kepada masalah sukar tidur dan corak pemakanan tidak seimbang yang boleh mendatangkan masalah pada rambut.

Ada yang mengalami kemurungan akibat kematian orang tersayang dan mula mencabut rambutnya sehingga menampakkan kulit kepala tanpa disedari. Sebelum seseorang pelanggan menjalani rawatan, ahli terapi biasanya terlebih dulu mengambil latar belakang mereka seperti keturunan, hormon yang tidak seimbang atau penggunaan bahan kimia keterlaluan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi. Seterusnya pesakit akan diberikan rawatan bersesuaian mengikut tahap permasalahan.

Sekiranya masalah sebenar berpunca daripada tekanan jiwa, pelanggan perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dulu kerana ia adalah akar umbi kepada kejayaan rawatan yang bakal dijalani. Jika masalah sebenar tidak diatasi, ia akan berulang walaupun kita mampu memberikan rawatan bagi menumbuhkan semula rambut.

Antara kaunseling yang diberikan ialah dengan menasihatkan pelanggan menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran.

Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Justeru, mereka perlu diberikan panduan mengenai diet sihat seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur.

Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebih banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa.

Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur.

Keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur.

Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut mereka sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut yang diidamkan.

Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak.

Bagi mengekalkan rambut sihat, amalkan menyapu minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa, selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang dan ketenangan jiwa juga mempengaruhi rambut lebih sihat serta bersinar.

Peluang untuk pulih adalah tinggi iaitu antara 70 hingga 78 peratus, tetapi ini bergantung kepada diri sendiri. Jika mereka rajin, proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat iaitu antara dua setengah hingga tiga bulan. Bagi kes yang lebih serius seperti trauma, mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun untuk membolehkan rambut tumbuh dan panjang.
0

LONDON: Lebih dua setengah juta lelaki di Britain menghadapi risiko tinggi kurang subur dengan meneruskan tabiat merokok, pengambilan minuman keras, dan makan terlalu banyak.

Doktor berkata, lelaki perlu memulakan gaya hidup lebih sihat untuk meningkatkan peluang mereka memiliki anak.

Satu tinjauan mendedahkan angka lelaki yang mempunyai bilangan sperma rendah begitu mengejutkan.

Akhbar Daily Mail melaporkan, penyelidik sudah menemui peningkatan bilangan lelaki yang dirawat kerana masalah kesuburan, sesuatu yang sebelum ini dianggap sebagai masalah wanita.

Di kalangan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, anggaran 40 peratus kes disebabkan pasangan lelaki.

Pakar mendapati kualiti dan kuantiti sperma lelaki menurun dan menjangkakan dalam masa sedekad lagi, satu dalam setiap tiga pasangan akan memerlukan rawatan kesuburan.

Beberapa kajian lain menunjukkan purata kadar sperma menurun lebih separuh.

Puncanya masih belum diketahui walaupun pakar mengesyaki faktor gaya hidup seperti alkohol dan penggunaan dadah, kurang bersenam dan kegemukan menyumbang kepada masalah itu. � Agensi

Faktor lain termasuklah pencemaran, penggunaan racun serangga dan hormon wanita dalam bekalan air minum.

Tinjauan oleh doktor Britain dan pesakit mereka mendapat sembilan peratus lelaki Britain iaitu 2.5 juta berdepan masalah bilangan sperma rendah.

Hampir separuh doktor - 44 peratus - mendakwa merokok ialah punca utama, menurut tinjauan yang dilakukan bagi Kesatuan Penjagaan Kesihatan Norwich.

Hampir satu bagi setiap 10 berkata, pengambilan alkohol menjejaskan bilangan sperma walaupun sebelum pengenalan perubahan lesen yang akan membawa kepada tempoh minum lebih panjang.

Dua daripada tiga doktor mahukan orang awam lebih menyedari isu itu tetapi 90 peratus berkata mereka tidak mempunyai masa membuka klinik kesuburan lelaki atau perkhidmatan seumpamanya.

Dr Ann Robinson berkata, tinjauan itu adalah satu amaran kepada penduduk muda Britain.

"Gaya hidup ialah sumbangan terbesar kepada kesihatan dan kesuburan lelaki cuma satu bidang yang terjejas oleh gaya hidup tidak sihat.

"Keputusan ini amat memeranjatkan dan sepatutnya menjadi alat penggera kepada lelaki dan wanita supaya menyedari minum dan merokok terlalu banyak boleh menjejaskan kemampuan memiliki keluarga," katanya.
0


Apa itu MPHL?

MPHL atau alopesia (botak) androgenetik merupakan punca keguguran rambut yang paling biasa berlaku, mewakili lebih 80 peratus daripada kesemua kes keguguran rambut di kalangan lelaki.

Lain-lain penyebab kehilangan rambut termasuklah:
  • Telogen effluvium. Satu keadaan sementara yang selalunya terjadi disebabkan oleh tekanan seperti kehamilan, trauma atau pembedahan.
  • Areata alopesia. Satu keadaan di mana sistem imun badan sendiri menekan peringkat pertumbuhan akar rambut (bahagian rambut yang tertanam di dalam folikel di bawah kulit). Areata alopesia menyebabkan rambut gugur dalam bentuk setompok dan boleh menjejaskan keseluruhan tubuh badan termasuk rambut pada anggota muka dan alat sulit.
  • Keadaan kulit kepala. Jangkitan kulat atau penyakit psoriasis iaitu sejenis penyakit kulit yang kronik pada kulit kepala, juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
  • Masalah perubatan sedia ada. Penyakit-penyakit seperti hipotiroidisme.

Memahami Kitaran Pertumbuhan Rambut


Terdapat tiga peringkat kitaran pertumbuhan rambut yang normal:
  1. Anagen (pertumbuhan)
    Rambut-rambut yang baru tumbuh daripada dasar folikel (lubang atau bukaan pada permukaan kulit di mana rambut tumbuh melaluinya). Fasa pertumbuhan yang normal ini selalunya memakan masa bertahun-tahun dan hasilnya adalah rambut yang tumbuh sepenuhnya.
  2. Catagen (rehat)
    Pada peringkat ini, rambut berhenti tumbuh dan akar rambut mula mengecut. Dasar folikel pecah dan rambut bergerak ke atas di dalam folikel, jauh daripada akar dan pembuluh darah yang membekalkan nutrien.
  3. Telogen (pertumbuhan semula)
    Rambut yang telah matang kini melekat longgar ke akar rambut. Ia lazimnya akan gugur selepas beberapa bulan ataupun setelah ditolak oleh rambut baru yang tumbuh di bawahnya.

Apakah yang Menyebabkan MPHL?


MPHL terjadi disebabkan oleh interaksi hormon-hormon kulit kepala lelaki dengan risiko genetik, yang mempengaruhi kitaran pertumbuhan rambut yang normal.

Dalam erti kata lain, MPHL mempunyai kaitan dengan dua faktor utama iaitu gen dan hormon.


Apakah yang akan terjadi kepada rambut jika saya mempunyai MPHL?

  1. Hormon lelaki iaitu androgen hadir di dalam folikel rambut, khususnya hormon testosteron. Turut hadir adalah sejenis enzim yang dikenali sebagai 5-alpha-reductase (5aR).
  2. Apabila testosteron berinteraksi dengan enzim, hormon akan ditukarkan menjadi dihydrotestosterone atau DHT.
  3. Apabila wujud DHT yang berlebihan di dalam akar rambut, fasa anagen kitaran rambut dipendekkan. Hasilnya adalah rambut yang lebih pendek, halus dan kurang kelihatan.
  4. Ini selalunya berlaku pada verteks iaitu bahagian yang tertinggi pada kepala dan pada garisan kepala - corak keguguran rambut di kalangan lelaki yang paling klasik.

Lain-lain Faktor Risiko MPHL?

  • Jantina - lelaki secara umumnya lebih cenderung menderita masalah keguguran rambut disebabkan oleh jumlah hormon testosteron yang lebih banyak mereka hasilkan.
  • Sejarah keluarga - kejadian MPHL di kalangan ayah, bapa saudara, datuk dan kedua-dua belah ibu dan bapa boleh mendedahkan seseorang kepada keadaan ini.
  • Usia - adalah dianggarkan kira-kira 30 peratus lelaki yang berumur 30 tahun akan mendapat beberapa bentuk keguguran rambut manakala 50 peratus akan mengalaminya tatkala umur mencecah 50 tahun.
  • Tekanan - stres yang kronik dan berterusan boleh mempercepatkan MPHL.
0

Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor


"Cikgu tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!". Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.

Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.

Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.

Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.

Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.

Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi.

Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).

Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.

Menurut aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."

Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan.

Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major.

Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.

Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).

Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.

Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi. Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major:
  1. Berasa murung hampir setiap hari.
  2. Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
  3. Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
  4. Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
  5. Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
  6. Berasa letih dan tidak bermaya.
  7. Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
  8. Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
  9. Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Sejak dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah ibu bapa.

Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.

Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan.

Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.

Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.

Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal.

Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi.

Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.

Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.

Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi.

Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.

Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan insiden membunuh diri.

Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak?

Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
0

Hasil sebuah penyelidikan di Amerika Syarikat menunjukkan masalah mati pucuk mungkin meningkatkan risiko penyakit Parkinson antara tiga hingga lapan kali ganda.

Kaitan ini dibuat hasil kajian ke atas sistem saraf autonomik yang mengawal fungsi luar kawalan badan seperti denyutan jantung dan penghadaman. Sistem saraf ini yang turut mengawal fungsi ketegangan zakar dilihat terjejas dalam pesakit Parkinson dan pesakit mati pucuk.

Persoalan yang dibangkitkan kumpulan penyelidik itu kini adalah jika masalah mati pucuk menjadi penanda awal kepada penyakit Parkinson.

Faktor usia, merokok, pengambilan kafein dan diabetes pula dikatakan tidak memainkan peranan besar dalam masalah mati pucuk dan ini menunjukkan kemungkinan kerosakan otak akibat penyakit Parkinson bermula lebih awal sebelum menunjukkan sebarang gejala klinikal.
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →