Menu
Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Anda mungkin pernah ataupun mempunyai simptom-simptom berikut:
- Adakah anda merasa ketulan, benjolan ataupun kawasan yang 'keras' di payudara anda?
- Adakah payudara anda berasa sakit ataupun terasa sakit bila disentuh (sensitif)?
- Adakah kesakitan payudara (mastalgia) menjadi lebih kuat apabila anda kedatangan haid?
- Adakah kesakitan tu berterusan dan tidak mengikuti kitaran haid?
- Adakah anda perlu memakan ubat untuk menghilangkan rasa sakit payudara?
- Adakah kelainan payudara anda menjejaskan perhubungan anda dengan suami anda?

Jika jawapan anda 'ya' bagi mana-mana soalan di atas, maka anda mungkin mengidap keadaan yang dikenali sebagai kelainan payudara yang tidak berbahaya (benign). Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit payudara fibrocystic, mammary dysplasia, penyakit payudara tidak berbahaya (benign) atau sistik mastitis kronik.

Berapa kerapkah kelainan payudara tidak berbahaya ini berlaku?

Doktor mendapati ramai pesakit mengalami keadaan payudara ini. Kebanyakan wanita mempunyai struktur tisu yang membolehkan keadaan ini berlaku. Oleh itu, ini merupakan penyakit yang paling kerap menimpa payudara!

Apakah kelainan kelainan payudara yang tidak berbahaya?

Kelainan ini adalah penyakit bukan kanser (barah) yang boleh terjadi pada sebelah atau kedua-dua belah payudara. Ia selalunya dikenali dengan adarya ketulan ataupun ketulan berisi cecair (cyst) ataupun sista. Ia boleh terjadi di satu bahagian payudara atau melibatkan keseluruhan payudara. Ia boleh menimbul sebagai satu atau banyak ketulan berisi cecair. Ketulan ini mungkin terasa sakit atau hanya terasa sakit apabila disentuh. Ia juga mungkin hilang terus untuk seketika dan timbul semula kemudiannya.

Perubahan hormon akan menyebabkan kelainan payudara berubah-ubah, terutama perubahan yang berkaitan dengan kitaran haid. Kelainan ini boleh terjadi di semua peringkat umur selepas kehadiran haid tetapi ia lebih kerap di antara umur 30 tahun dan umur tamat dating haid (menopaus).

Kelainan ini akan menjadi lebih teruk dengan meningkatnya umur, di mana pengeluaran hormon dan ovari telah mencapai tahap maksimum untuk beberapa tahun. Ia akan berkurangan selepas putus haid dan kebanyakan kelainan payudara akan hilang dalam masa 1 atau 2 tahun kecuali jika wanita tersebut mendapat rawatan estrogen tambahan. Sesetengah wanita akan mengidap ketulan berisi cecair sehingga tua, walau apa pun rawatan diberikan.

Apa yang menyebabkan kelainan ini?

Mengapa penyakit ini terjadi masih belum diketahui, tetapi keadaan ini dipercayai disebabkan oleh ketidak seimbangan hormon seks wanita. Ia tidak akan terjadi sebelum umur mula datang haid dan akan berkurangan selepas umur tamat haid (menopaus).

Bagaimana saya tahu bahawa saya mengidapnya?

Kelainan ini selalunya dikenali semasa wanita berjumpa doktor untuk pemeriksaan atau semasa cuba mendapat rawatan kerana kesakitan atau terasa sakit apabila disentuh atau ketulan pada payu dara yang dirasai semasa melakukan pemeriksaan payudara sendiri.

Dalam keadaan ini doktor anda akan melakukan beberapa ujian atau merujuk anda ke doktor pakar. Ujian-ujian ini termasuklan ujian radiologi seperti mamogram atau X-ray payudara dan ultrasound. Satu lagi ujian ialah dengan menyedut keluar cecair dan ketulan tersebut untuk pemeriksaan makmal dengan menggunakan jarum.

Doktor pakar mungkn akan satu pembedahan kecil yang dipanggil biopsi di mana tisu dan ketulan akan diambil untuk diperiksa. Kalaulah ketulan anda sangat besar ataupun menunjukkan ciri-ciri yang meragukan, doktor pakar mungkin melakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketulan tersebut.

Sekiranya keputusan ujian tidak menunjukkan kanser, doktor anda akan memberitahu anda berita baik ini dan memberi nasihat seterusnya. Anda harus bertenang semasa menunggu keputusan pemeriksaan ini. Ia merupakan perkara yang biasa kalau anda dinasihati untuk menjumpai doktor anda tiap tahun atau beberapa bulan sekali. Ini bergantung kepada keputusan patologi yang diterima dan simptom yang anda alami walaupun diagnosanya bukanlah barah atau kanser.

Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Sekiranya kesakitan tidak keterlaluan, atau hanya datang untuk beberapa hari dalam sebulan, kebanyakan doktor akan mencadangkan cara mudah untuk merawatnya. Gunakan coli yang baik dan pakai pakaian yang tidak ketat.

Anda juga mungkin akan dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan kopi, teh dan cola di mana kandungan kafein boleh memburukkan keadaan. Kawal juga kandungan gula dalam makanan anda. Jika kesakitan payudara (mastalgia) berterusan, anda mungkin akan diberi ubat mengurangkan cecair di dalam badan (Diuretic) atau ubat penahan sakit.

'Rawatan' tersebut di atas hanya dapat mengurangkan rasa sakit untuk sementara waktu. Apabila kesakitan payudara menjadi lebih kuat sehingga menyekat aktiviti fizikal anda (berlari, menari atau senaman lain), rawatan yang lebih khusus mungkin diperlukan. Rawatan ini termasuklah memakan ubat yang telah biasa digunakan untuk memberi kesan jangka panjang menghilangkan rasa sakit pada keadaan kelainan ini. Ubat ini akan mengurangkan pengeluaran hormon di mana ia akan memberi peluang payudara anda berehat.
0

Kenal pasti punca masalah sebelum pilih rawatan sesuai untuk peroleh semula 'mahkota' impian.

Keguguran Rambut pada seorang wanita.Tekanan perasaan atau jiwa dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah keguguran rambut berbanding akibat penggunaan kimia berlebihan yang banyak dijual di pasaran. Masalah keguguran rambut hasil tekanan jiwa membabitkan purata jumlah yang sama antara lelaki mahupun wanita.

Insiden berkaitan keguguran rambut dengan tekanan jiwa ini kerap ditemui. Lebih kurang 60 peratus pesakit yang mengalami keguguran rambut adalah akibat masalah tekanan seperti runsing, tidak cukup tidur serta diet tidak seimbang.

Tekanan jiwa yang dialami lazimnya tidak begitu serius seperti masalah keluarga, kemurungan atau membabitkan percintaan. Ada juga yang mengalami trauma akibat kejadian ngeri seperti kemalangan atau kematian orang tersayang.

Tekanan tanpa disedari mendorong individu melakukan tabiat pelik seperti mencabut rambut di kepala sehingga menyebabkan sebahagian besar kepala menjadi botak. Tekanan juga mendorong kepada masalah sukar tidur dan corak pemakanan tidak seimbang yang boleh mendatangkan masalah pada rambut.

Ada yang mengalami kemurungan akibat kematian orang tersayang dan mula mencabut rambutnya sehingga menampakkan kulit kepala tanpa disedari. Sebelum seseorang pelanggan menjalani rawatan, ahli terapi biasanya terlebih dulu mengambil latar belakang mereka seperti keturunan, hormon yang tidak seimbang atau penggunaan bahan kimia keterlaluan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi. Seterusnya pesakit akan diberikan rawatan bersesuaian mengikut tahap permasalahan.

Sekiranya masalah sebenar berpunca daripada tekanan jiwa, pelanggan perlu menjalani sesi kaunseling terlebih dulu kerana ia adalah akar umbi kepada kejayaan rawatan yang bakal dijalani. Jika masalah sebenar tidak diatasi, ia akan berulang walaupun kita mampu memberikan rawatan bagi menumbuhkan semula rambut.

Antara kaunseling yang diberikan ialah dengan menasihatkan pelanggan menjalani gaya hidup sihat seperti banyakkan bersenam kerana berpeluh dapat menenangkan fikiran.

Selain bersenam, pengambilan makanan seimbang juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah berkaitan rambut. Justeru, mereka perlu diberikan panduan mengenai diet sihat seperti makan lebih banyak buah-buahan dan sayuran segar. Minuman berkarbon seperti air gas dan kopi boleh memburukkan masalah rambut gugur.

Minuman itu perlu dielakkan dan kalau boleh minum air kosong lebih banyak atau air yang boleh menyejukkan badan seperti barli, kacang soya atau kelapa.

Rambut yang sihat mengalami keguguran antara 30 hingga 120 helai setiap hari, tetapi jumlah ini diganti semula. Bagaimanapun, rambut yang bermasalah gugur lebih banyak daripada jumlah ini dan tidak mempunyai anak rambut sebagai gantian kepada rambut yang gugur.

Keguguran rambut terutama di kalangan remaja pula adalah disebabkan penggunaan bahan kimia yang keterlaluan seperti mouse, semburan rambut mahupun pewarna. Penggunaan kimia dalam proses memutihkan rambut sebelum mewarnakannya juga adalah antara faktor menyumbang kepada struktur rambut lemah dan mudah gugur.

Rambut yang strukturnya lebih halus lebih mudah rosak akibat aktiviti mengerinting rambut dan teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut mereka sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut yang diidamkan.

Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda sering melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut kelihatan gugur terlalu banyak.

Bagi mengekalkan rambut sihat, amalkan menyapu minyak rambut lebih kerap dengan menggunakan minyak asli seperti minyak kelapa, selain menjalani rawatan rambut secara tetap. Diet seimbang dan ketenangan jiwa juga mempengaruhi rambut lebih sihat serta bersinar.

Peluang untuk pulih adalah tinggi iaitu antara 70 hingga 78 peratus, tetapi ini bergantung kepada diri sendiri. Jika mereka rajin, proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat iaitu antara dua setengah hingga tiga bulan. Bagi kes yang lebih serius seperti trauma, mungkin memakan masa sehingga satu setengah tahun untuk membolehkan rambut tumbuh dan panjang.
0

Bakteria dan virus boleh disebarkan ibu kepada bayi ketika melahirkannya dan pada minggu pertama kehidupannya. Walaupun banyak daripadanya tidak mengancam kesihatan bayi, ada sesetengahnya boleh menyebabkan masalah serius termasuk membabitkan kematian.

Ketika di dalam kandungan, bayi membesar dalam persekitaran yang �distenil�, tetapi sebaik saja membran ketuban merekah, mikrob masuk ke dalam persekitaran itu. Ia kemudian mendedahkan bayi kepada bakteria dan virus buat pertama kalinya.

Sebaik saja bayi meluncur keluar daripada rahim menerusi pangkal lahir dan masuk ke saluran peranakan, bayi bersalut dengan organisma yang berada di vagina atau kulit ibu. Ini termasuk bakteria yang menyebabkan penyakit kelamin.

Cecair tubuh termasuk darah yang melindungi bayi mendedahkan mereka kepada jangkitan seperti HIV atau hepatitis B dan C.

Laluan usus bayi akan �dijajah� sebaik saja kelahiran. Dalam beberapa hari, bakteria seperti E-coli, enterococcus dan bifidobacterium muncul pada najisnya. Keadaan ini penting kerana ia membantu menstimulasi perkembangan sistem imun bayi.

Bakteria ini datang daripada ibu atau tempat lain dalam persekitaran seperti wad bersalin. Bayi yang lahir menerusi pembedahan tidak melalui saluran peranakan justeru dia lambat terdedah kepada bakteria sebegini.

Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi, ketika menyusu atau sewaktu ibu memegang bayi juga menyebabkan banyak bakteria dipindahkan kepada bayi. Sekitar 30 peratus bayi yang baru lahir terdedah kepada bakteria staphylococcus pada minggu pertama kelahirannya, tetapi bakteria pada kulit tidak mengancam kesihatan.

Bagaimanapun, kadang kala bayi terdedah kepada bakteria yang bahaya seperti MRSA (methicillin resistant staphylococcus aureus) atau streptococcus kumpulan B (GBS).

Seorang daripada empat wanita membawa bakteria ini dalam vaginanya walaupun tiada simptom. Kadangkala dia tidak tahu kewujudan bakteria itu. Bayi terdedah kepada bakteria berkenaan ketika sakit hendak bersalin atau ketika dilahirkan. Di United Kingdom, GBS adalah jangkitan mengancam nyawa yang paling biasa di kalangan bayi yang baru lahir.

Faktor yang menyebabkan GBS dipindahkan:
  • Kelahiran pra matang (sebelum 37 minggu).
  • Air ketuban pecah 18 atau 24 jam sebelum bersalin.
  • Demam hingga 38 darjah celsius.
  • GBS dikesan dalam air kencing ibu ketika hamil.
  • Anak sebelumnya berhadapan dengan jangkitan GBS.
Walaupun kebanyakan bayi yang terdedah dengan GBS tidak berhadapan dengan sebarang masalah, setiap tahun sekitan 700 bayi diserang pneumonia dan meningitis disebabkan jangkitan itu. Satu daripada 10 bayi dilaporkan meninggal dunia.

GBS sukar dibasmi tetapi jika seseorang wanita itu dikenal pasti memiliki risiko tinggi memindahkan jangkitan kepada bayinya, dia sepatutnya diberikan antibiotik sebaik saja proses melahirkan bermula.Selalunya ia cukup untuk mencegah jangkitan daripada ibu kepada bayi.

Virus Herpes simplex

Virus ini boleh menyebabkan penyakit kelamin. Jika menjangkiti bayi, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti cerebral palsy dan buta. Laluan paling mendedahkan bayi dengan virus ini adalah saluran peranakan tetapi jangkitan boleh juga tenjadi di dalam rahim atau selepas dilahirkan.

HIV

HIV boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil, sakit bersalin atau ketika menyusukan bayi. Jika ubat antiviral tidak diberi, bayi yang dilahirkan wanita positif HIV berisiko untuk dijangkiti hingga 30 peratus. Bayi akan dijangkiti ketika ibu hamil atau ketika melahirkan.

Jangkitan daripada ibu kepada anak boleh dibendung dengan penggunaan ubat tertentu, melahirkan bayi dengan pembedahan dan memberi anak susu formula.

Hepatitis B

Wanita yang membawa virus hepatitis B berisiko menjangkitkan anak mereka dengan virus ini ketika melahirkannya. Selain itu, ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan darah atau cecair tubuh yang lain.
0

Jeragat adalah sejenis penyakit kulit yang tidak berbahaya tetapi kehadirannya menyebabkan kulit wajah seseorang kelihatan tidak sihat, selain menjejaskan penampilan individu.

Jeragat yang menyerang sekitar bibir.Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, berkata, makna jeragat terlalu meluas dalam kamus perubatan, namun, masyarakat khususnya orang Melayu mengenali jeragat sebagai tompok hitam atau pigmentasi pada kulit atau biji hitam seperti tahi lalat yang bertapak secara berkelompok di beberapa bahagian badan, wajah dan leher.

"Jeragat bagi pemahaman masyarakat tergolong kepada dua jenis iaitu pigmentasi (tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil pada
kulit). Masalah pigmentasi adalah seperti melasme, freckles atau solar lentigenes.

"Masalah biji atau ketumbuhan pula seperti seborrhoeic keratoses (biji hitam yang timbul seperti tahi lalat yang tumbuh secara berkelompok), actinic keratoses dan skin tag (lebihan daging berwarna coklat atau hitam) yang kebiasaannya tumbuh pada leher, muka dan celah ketiak.

"Walaupun jeragat tergolong sebagai penyakit kulit ia tidak menimbulkan kesan memudaratkan kecuali kaedah rawatan dan bahan yang digunakan tidak bersesuaian atau perlakuan fizikal di sekitar kulit berjeragat seperti mengutil dan mencabut mampu menyebabkan kesan luka, berdarah dan bernanah pada kawasan bermasalah," katanya.

Beliau berkata, ada beberapa faktor menyebabkan kulit ditumbuhi jeragat iaitu kesan cahaya matahari dan faktor genetik. Bagi pengambilan ubat-ubatan seperti pil perancang pula boleh menyebabkan potensi kulit berjeragat terhadap individu lebih tinggi.

"Kebiasaannya jeragat menyerang wanita pertengahan umur seperti 40 tahun ke atas. Tetapi tidak mustahil golongan awal 20-an juga berdepan dengan masalah ini berikutan jeragat juga berpunca daripada faktor genetik.

"Bagi wanita yang terdedah dengan cahaya matahari, risiko berdepan kulit berjeragat lebih besar.

"Malah, masalah pigmentasi juga dikesan daripada pengambilan ubat seperti pil perancang, amiodarone, bleomycine, chloroquine, antibiotic seperti minocydine dan lain-lain lagi," katanya.

Dr Norazhah berkata, jeragat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit bermasalah atau secara fizikal melalui teknik pembedahan tertentu. Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis jeragat.

Katanya, bagi jeragat timbul seperti seborrhoeic keratoses, actinic keratoses dan skin tag, rawatan fizikal adalah cara terbaik manaka penggunaan krim adalah tidak sesuai.

"Seborrho keratoses boleh dirawat dengan rawatan fizikal menggunakan electrocautery iaitu alat cautery yang menghasilkan 'heat' (haba) yang berfungsi memusnahkan kelompok bintik hitam berkenaan atau rawatan Cryotherapy yang menggunakan cecair nitrogen atau rawatan pembedahan laser.

"Rawatan bagi melasme pula adalah sapuan krim seperti krim hydroquinone, krim daripada kombinasi hydroquinone, tretinoin dan steroid, krim isotrenoin atau pengelupasan kimia," katanya.

Beliau berkata, melasme sering menyerang wanita kerana selain daripada pendedahan cahaya matahari dan faktor genetik, melasme juga berpunca daripada kehamilan atau pengambilan pil perancang.

Katanya, melasme iaitu pigmentasi atau tompok leper berwarna kelabu atau hitam yang ada di bawah lapisan kulit ini, kebiasaannya boleh dirawat dengan rawatan krim, tetapi ada juga pigmentasi yang tebal dan dalam yang mungkin memerlukan rawatan fizikal untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

"Bagi mengatasi masalah jeragat, wanita disaran lebih peka terhadap penjagaan kulit termasuk mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan krim pelindung matahari sekiranya melakukan aktiviti luar selain mendapat rujukan doktor untuk mengenalpasti penyebab dan rawatan sesuai.

"Semakin berusia individu itu semakin banyak jeragat yang timbul pada kulit. Walaupun jeragat adalah penyakit kulit, ia tidak berbahaya atau mengancam nyawa. Tetapi bagi warga tua yang menghadapi masalah jeragat serius mereka disaran berjumpa doktor kerana dibimbangi ia bukan jeragat biasa tetapi sejenis kanser kulit,�. katanya.
0

Rawatan Bagi Kencing Tidak Terkawal - Inkontinens Urinari

Seseorang wanita itu mungkin terpaksa melalui banyak ujian dan juga menerima lebih dari sejenis rawatan.
  • Perawatan diri/perlakuan. Matlamat utama untuk mengenalpasti apa-apa yang menyebabkan kebocoran berlaku dan cuba untuk mengelakkannya. Mana-mana keadaan yang memberikan tekanan di dalam abdomen/dada, juga tisu-tisu penyokong organ-organ pinggul akan dikenalpasti. Pesakit di sarankan agar:
    • Kurangkan berat badan
    • Mengelak dari sembelit
    • Hindari daripada mengangkat barang barang berat
    • Kurangkan minuman berkafeina seperti kopi, teh dan setengah setengah minuman bersoda
    • Merawat penyakit paru-paru yang menyebabkan batuk keterlaluan
    • Berhenti merokok
  • Latihan terhadap pundi kencing juga di laksanakan. Pembuangan air kencing pada waktu yang ditetapkan seperti sebelum aktiviti senaman. Cuba lawan rasa hendak ke bilik air sekiranya perasaan itu berlaku pada waktu yang bukan dijadualkan. Kenal pasti juga pengeluaran kencing yang normal dan tidak normal.
  • Perawatan fizikal. Contoh yang biasa seperti latihan Kegel, boleh membantu menguatkan otot-otot yang terlibat dengan pengawalan sistem pengeluaran kencing. Banyak lagi latihan fizikal yang memfokuskan otot-otot yang membantu supaya kebocoran air kencing tidak berlaku. Doktor anda boleh merujuk anda kepada pakar-pakar fisioterapi untuk tujuan ini.
  • Penggunaan peralatan/peranti tertentu. Kadangkala perkakasan/peranti digunakan untuk menguatkan otot-otot pinggul dan menghalang air kencing dari keluar. Antara yang biasa diguna pakai:
    1. Kon pemberat yang diletakkan di dalam faraj untuk beberapa ketika dalam sehari. Anda akan mengecutkan otot-otot di faraj dengan tujuan menghalang kon pemberat dari jatuh keluar. Ini sama seperti latihan bina badan cuma otot-otot yang ditujukan berbeza. Lama-kelamaan otot-otot ini akan bertambah kuat.
    2. Alat pesari yang diletakkan di dalam faraj bertindak sebagai baji dan juga penyokong untuk tisu-tisu penyokong pinggul, ia juga berupaya mengurangkan kebocoran dengan menekan pada pangkal uretra.
  • Ubat-ubatan. Biasanya ubat ini mengawal spasma/kekejangan otot-otot penyokong pinggul. Ada ubat yang menguatkan uretra dan ada juga ubat yang mengawal keaktifan terlampau pundi kencing. Kesan samping ubat-ubat yang digunakan adalah seperti mulut kering, sembelit, loya, kabur penglihatan dan juga mungkin menganggu tidur. Antibiotik diberikan sekiranya ia berpunca daripada infeksi pundi kencing.
  • Pembedahan. Bergantung pada jenis kebocoran yang dialami. Banyak faktor yang akan dibincangkan sebelum keputusan pembedahan diambil, ini termasuklah umur, tahap kesihatan, tatacara serta gaya hidup harian, lain-lain masalah perubatan yang mencetuskan kebocoran dan riwayat perubatan serta pembedahan lampau di kawasan pinggul.
Selanjutnya:
0

Diagnosis Bagi Kencing Tidak Terkawal - Inkontinens Urinari

Diari kencing. Dr. Shah Reza berkata, seseorang wanita yang disyaki menghidapi keadaan ini akan diminta merekodkan berapa kali ke bilik air, jenis minuman yang diambil, apa yang telah dilakukan hingga menyebabkan kebocoran atau kekerapan kencing.

"Isipadu air kencing juga diamati. Sebelum itu, sejarah kesihatan akan diteliti untuk memastikan tidak ada faktor luaran yang menjadi penyebabnya. Lain-lain termasuklah pemeriksaan pinggul, meneliti kelainan anatomi atau kecederaan yang mungkin berlaku."

Ujian-ujian Lain

Ujian ketegasan. Anda akan diminta batuk dan kebocoran air kencing direkodkan.
Ujian pewarna. Pewarna yang selamat dimasukkan ke dalam pundi kencing dan sekiranya berlaku tompokan pada tuala wanita yang dipakai, bermakna ada kebocoran.
Ujian urodinamik. Ujian terhadap isipadu dan tekanan di dalam pundi kencing semasa pengumpulan air kencing di dalamnya. Kadar pengosongan pundi kencing juga diteliti.
Sistoskopi. Alat visual khas untuk memerhatikan keadaan di dalam pundi kencing.

Selanjutnya:
0

Punca Kencing Tidak Terkawal - Inkontinens Urinari

Infeksi/jangkitan pundi kencing.
Tanda-tanda penyakit seperti sakit untuk kencing, acap kali ke bilik air dan juga mungkin kehadiran darah di dalam air kencing. Infeksi pundi kencing dan juga uretra lazim berlaku pada wanita kerana struktur anatominya. Jangan bimbang, mereka ini mudah dirawati.

Keteguhan tisu-tisu penyokong organ pinggul. Ini mungkin kerana faktor usia, kelahiran anak yang ramai dan juga mungkin kerana proses kelahiran itu sendiri, lambat laun akan melemahkan tisu-tisu penyokong di pinggul. Ini menyebabkan gangguan terhadap anatomi yang tidak selari.

Keabnormalan sistem saluran kencing. Mungkin kerana kehadiran fistula iaitu pembukaan abnormal dari sistem kencing ke dalam faraj. Ini berlaku mungkin kerana pembedahan pelvik, proses kelahiran, rawatan radiasi, kanser di pinggul dan sistem perkumuhan air kencing.

Permasalahan neuromuskular. Berlaku apabila isyarat dari otak dan korda spinal tidak berhubungan dengan organ-organ pundi kencing dan uretra. Keadaan seperti kencing manis dan strok merupakan contoh yang biasa berlaku.

Penggunaan ubat-ubatan tertentu. Ubat diuretik yang digunakan seperti dalam perawatan sakit jantung ataupun darah tinggi menyebabkan isipadu air kencing bertambah dengan cepat.

Selanjutnya:
0

Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia


Memalukan. Tetapi, boleh dirawat. Inkontinens urinari bermakna anda tidak berupaya untuk mengawal pembuangan air kecil. Akibatnya, celana dalam dan pakaian anda basah dengan air kencing.

Walaupun masalah ini menjejaskan jutaan orang, ia bukanlah sebahagian daripada penuaan yang semulajadi ataupun sesuatu yang normal di kalangan wanita disebabkan oleh proses bersalin atau menopaus.

Hakikatnya, ia merupakan satu keadaan perubatan yang berpunca daripada banyak sebab - ada yang relatifnya mudah dan ada juga yang lebih kompleks. "Wanita lebih banyak mengalami ketidakupayaan pengawalan air kencing berbanding dengan lelaki. Tidak mengapa sekiranya sekali sekala berlaku insiden terkeluarnya air kencing.

"Tetapi sekiranya ia menganggu kehidupan seharian anda, jangan segan dan malu untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan permasalahan ini dapat dirawat. Jangan jadikan umur sebagai satu alasan," kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, ramai wanita yang mengalami kebocoran air kencing pada masa-masa tertentu. Situasi-situasi yang memungkinkan mereka tidak dapat mengawal pengaliran air kencing adalah:
  • Apabila melakukan aktiviti fizikal seperti senaman
  • Tegasan tertentu seperti batuk berlebihan atau meneran
  • Persekitaran seperti apabila mendengar deruan air mengalir dan juga mungkin bila saja tersentuh dengan air
  • Semasa mengandung
  • Ada juga yang tidak boleh menahan sebaik sahaja rasa nak kencing.

Kenali Sistem Perkumuhan Air Kencing


Sistem perkumuhan wanita terdiri dan pada:
- Buah pinggang, menghasilkan air kencing
- Ureter/salur kencing, menyalurkan air kencing dan buah pinggang ke pundi kencing
- Pundi kencing, organ penyimpanan air kencing
- Uretra, salur yang mengeluarkan air kencing keluar dari pundi kencing

Pembuangan air kecil berlaku apabila isipadu air kencing dalam pundi kencing mencapai tahap di mana ia akan merangsang anda untuk kencing. Otot-otot di sekitar uretra akan melonggar manakala otot-otot pundi kencing pula akan berkontraksi (mengecut) menyebabkan air kencing dilepaskan keluar dan sebaliknya berlaku apabila pembuangan air kencing dihentikan.

Jenis Inkontinens Urinari

Ketegasan/ketegangan/stres. Berlaku pada wanita yang muda apabila tekanan di dalam pundi kencing melebihi tekanan di uretra menyebabkan kebocoran air kencing apabila anda bersin, batuk ataupun ketawa. Kebocoran mungkin juga berlaku semasa berjalan, berlari ataupun senaman aerobik. Puncanya, otot-otot pundi kencing ataupun otot-otot di uretra menjadi lemah.

Desakan. Berlaku mungkin kerana pundi kencing wanita terlampau aktif ataupun mungkin juga kerana saraf-saraf yang menghantar isyarat pada pundi kencing. Ini menyebabkan anda tidak sempat untuk ke bilik air apabila terasa hendak kencing.

Kombinasi. Apabila faktor ketidakupayaan bergabung di antara ketegasan dan desakan keterlaluan, jadi kebocoran berlaku sama ada pada satu fasa ataupun kedua-duanya sekali.

Limpahan/tumpahan. Berlaku apabila otot-otot pundi kencing tidak aktif ataupun berlakunya rintangan pada uretra, jadi pembuangan air kencing tidak lengkap dan tidak puas. Isipadu air kencing yang masih banyak menyebabkan kebocoran berlaku.

Faktor fungsian. Mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang menghalang seseorang wanita dan bergegas ke bilik air dengan serta merta. Antara lain, permasalahan tersebut mungkin kerana penyakit sendi seperti artritis, strok, penyakit sistem saraf, masalah pergerakan dan koordinasi (contohnya, susah untuk berjalan).

Rungutan

Bergegas. Keinginan keterlaluan untuk kencing walaupun isipadu air kencing belum lagi mencukupi, kadang kala diikuti dengan rasa ketegangan pada pinggul.

Acap kali. Terpaksa ke bilik air berulang kali melebihi dari urutan normal anda, rasa seperti tidak puas kencing.

Nokturia. Terpaksa bangun malam beberapa kali untuk kencing.

Disuria. Mengalami proses pembuangan kencing yang menyakitkan.

Enuresis. Terkencing tanpa disedari semasa tidur.

Selanjutnya:
0

Hampir semua kehamilan adalah normal dan melalui proses biasa. Bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa keadaan yang membuatkan doktor anda berpendapat ia berisiko ke atas bayi dan anda yang perlu ditangani. Ini kerana anda mempunyai masalah kesihatan atau mungkin hamil anak kembar. Kadangkala simtom berkembang dan memberi petanda kepada doktor bahawa anda memerlukan penjagaan khusus.

  1. Anemia
    Kebanyakan wanita mengatami sedikit anemia sebelum mereka hamil dan ini biasanya disebabkan oleh kekurangan zat besi. Keadaan ini perlu diatasi bagi memenuhi keperluan kehamilan dan pendarahan semasa bersalin kelak.

    Rawatan
    Cegah anemia dengan mengambil makanan diet yang pelbagai, dengan makanan yang kaya dengan zat besi. Jika ujian darah menunjukkan anda mengalami anemia, doktor akan memberi kan zat besi tambahan. Ambil tablet selepas makan bersama air yang banyak kerana ia boleh menyebabkan radang pada perut dan sembelit, cirit-birit atau muntah. Makanan yang kaya zat besi seperti bayam, hati dan daging merah boleh mengatasi masalah ini.


  2. Kencing Manis (Diabetes)
    Kencing manis mesti diawasi dengan berhati-hati semasa anda hamil dan tahap gula di dalam darah perlu diperhatikan dengan kerap.

    Rawatan
    Anda perlu mengawal tahap gula dalam darah, doktor boleh menyesuaikan pengambilan insulin bagi anda yang sedang hamil. Anda memerlukan perhatian khusus dalam diet. Anda juga perlu kerap ke klinik antenatal. Sesetengah wanita mendapati penyakit ini timbul pada awal kehamilan. Ia biasanya hilang sebaik sahaja selepas bersalin.


  3. Rahim Tidak Kuat
    Dalam kehamilan biasa, serviks atau leher rahim masih tertutup sehingga bayi dilahirkan. Tetapi jika keguguran kerap berlaku selepas tiga bulan kehamilan, ini mungkin disebabkan oleh leher rahim yang lemah dan terbuka lalu mengeluarkan bayi.

    Rawatan
    Doktor mungkin mencadangkan pembedahan kecil bagi menutup semula serviks pada awal kehamilan. Jahitan ini akan dibuka semula pada hujung kehamilan, atau bila hampir bersalin.


  4. Pra-eklampsia
    Ini adalah salah satu masalah biasa pada hujung kehamilan. Simtom-simtomnya ialah apabila tekanan darah meningkat lebih 140/90, berat badan yang meningkat mendadak, bengkak buku lali, kaki dan tangan dan terdapat protein dalam air kencing. Jika anda mempunyai simtom-simtom ini, doktor akan memerhatikan anda dengan lebih teliti. Sekiranya tekanan darah yang meningkat tidak dirawati, ia boleh menyebabkan bahaya pada uri.

    Rawatan
    Doktor anda akan menasihatkan anda berehat. Bagi menurunkan tekanan darah, anda boleh mengambil ubat atau mengurangkan kandungan garam dalam makanan. Jika keadaan tidak berubah dan serius, anda akan dimasukkan ke hospital walaupun anda merasakan cukup sihat. Anda mungkin bersalin secara induksi (induce).


  5. Faktor Rhesus Negatif
    Darah anda akan diuji semasa lawatan pertama ke klinik bagi menentukan sama ada anda mempunyai faktor rhesus positif atau negatif. Kira-kira 15 peratus orang mengalami rhesus negatif dan jika anda salah seorang daripadanya, anda akan mengalami masalah ketika hamil jika anda melahirkan bayi rhesus positif. Ini bermakna kumpulan darah anda tidak sama. Bagaimanapun ini tidak mendatangkan bahaya kepada bayi pertama. Biasanya anda akan menghadapi masalah pada kehamilan seterusnya.

    Rawatan
    Jika bayi pertama ande rhesus positif manakala anda pula rhesus negatif, anda akan diberikan vaksin perlindungan yang dikenali sebagai anti D sebaik sahaja selepas kelahiran. Ini akan mencegah masalah apabila anda hamil kelak. Vaksinasi ini mungkin diberikan semasa hamil di sesetengah hospital.


  6. Keguguran
    Keguguran adalah penamat kehamilan dan ini boleh berlaku satu dalam lima kehamilan. Kebanyakan keguguran berlaku dalam minggu ke 12, kerap berlaku sebelum seseorang wanita itu tahu dia hamil, biasanya kerana bayi tersebut tidak berkembang secara normal. Pendarahan dari vagina adalah tanda awal.

    Rawatan keguguran
    Jika pendarahan hanya berlaku sedikit, kehamilan boleh diselamatkan. Doktor anda akan mencadangkan anda banyak berehat, pendarahan mungkin terhenti dan jika anda berehat beberapa hari, kehamilan akan berlangsung seperti biasa. Tiada risiko kelainan kepada bayi. Anda akan diberikan ujian kehamilan atau ultra sound bagi memastikan bayi selamat.

    Gugur asli.
    Jika pendarahan berlaku dengan banyak dan anda dalam kesakitan, ini mungkin bermakna bayi telah mati. Anda perlu ke hospital bagi membersihkan semula rahim. Disebabkan anda kehilangan bayi semasa awal kehamilan, anda mungkin akan rasa tertekan. Anda juga mungkin bimbang sama ada anda boleh melahirkan bayi yang sihat lagi, rasa bersalah dan menyalahkan diri sendiri.


  7. Pendarahan Vagina
    Jika anda mendapati terdapat pendarahan dari vagina pada sebarang masa kehamilan, hubungi doktor dan berbaring segera di atas katil. Jika ini berlaku sebelum minggu ke-28, ini mungkin tanda keguguran. Selepas tempoh ini, ia bermaksud uri mengalami pendarahan. Ini boleh berlaku jika uri mula renggang dari dinding rahim atau jika uri terlalu rendah di dalam rahim dan tertutup atau menutupi separuh serviks.

    Rawatan
    Uri adalah garis hidup bayi. Jadi jika doktor fikir terdapat risiko anda akan dimasukkan terus ke hospital, di mana kedudukan uri boleh diperiksa. Anda perlu tinggal di dalam hospital sehingga bersalin. Jika anda kehilangan darah, anda perlu menjalani pemindahan darah dan bayi mungkin dilahirkan lebih awal melalui induksi atau pembedahan cesaerean. Jika pendarahan terlalu sedikit dan berlaku beberapa minggu sebelum kelahiran, doktor mungkin memutuskan anda bersalin secara semulajadi tetapi dalam pemerhatian yang rapi.


  8. Kembar
    Proses kehamilan dan bersalin akan mengalami perkembangan yang normal walaupun anda akan mengalami dua tahap bersalin. Anda mungkin mengalami komplikasi seperti anemia, pra-eklampsia atau songsang. Anda juga mungkin mengalami masalah-masalah kehamilan yang biasa dengan lebih teruk, terutama dalam bulan-bulan terakhir.

    Rawatan
    Lawatan tetap ke klinik antenatal perlu kerap jika anda hamil kembar, agar sebarang komplikasi boleh dikenalpasti dengan segera. Kehamilan lebih dari satu membebankan tubuh anda lebih dari biasa, jadi pastikan keadaan badan anda sentiasa dalam keadaan sihat terutamanya dalam minggu-minggu terakhir. Bagi mengelakkan masalah pada penghadaman anda, makanlah dalam jumlah yang sedikit dan segar.
0

Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor


"Cikgu tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!". Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.

Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.

Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.

Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.

Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.

Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi.

Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).

Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.

Menurut aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."

Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan.

Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major.

Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.

Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).

Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.

Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi. Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major:
  1. Berasa murung hampir setiap hari.
  2. Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
  3. Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
  4. Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
  5. Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
  6. Berasa letih dan tidak bermaya.
  7. Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
  8. Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
  9. Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Sejak dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah ibu bapa.

Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.

Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan.

Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.

Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.

Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal.

Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi.

Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.

Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.

Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi.

Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.

Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan insiden membunuh diri.

Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak?

Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
0

DR Fairuz Ashikin Abd Kadir, pakar perbidanan.

Sebenarnya wanita yang mengalami kitaran haid yang tidak menentu memang dikaitkan dengan keadaan ovulasinya yang tidak teratur atau ketiadaan ovulasi. Bagaimanapun, ada di kalangan wanita yang mengalami haid yang tidak teratur tetapi berupaya hamil dengan spontan tanpa bantuan perubatan.

Kebiasaannya, anggapan masalah ketidaksuburan terhadap seseorang wanita itu berlaku apabila dia sudah berkahwin dan melakukan hubungan seksual yang biasa (yakni sekurang-kurangnya empat atau empat kali seminggu tanpa halangan - kondom dan sebagainya) selama setahun tetapi tidak hamil.

Rawatan kesuburan harus dilakukan setelah pasangan menjalankan beberapa siasatan perubatan tertentu iaitu:
  • HSA (husband seminal analysis): analisis air mani suami - melihat kualiti dan kuantiti sperma suami secara mikroskopik
  • Ujian hormon wanita - FSH (follicle stimulating hormone), LH (luthenising hormone) dan Prolaktin. Keseimbangan hormon FSH:LH menunjukkan sama ada terdapat rangsangan atau tiada ovulasi terhadap ovari. Tahap Prolaktin tinggi menandakan rangsangan daripada kelenjar pituitari yang boleh menyebabkan kitaran haid tidak teratur.
  • Ujian hormon progresteron ini akan dirembeskan pada hari ke 21 yang menandakan sama ada wanita telah mengeluarkan telur.
  • Adakala dilakukan juga ujian hormon tiroid, MGTT (mod glucose tolerance test) untuk memastikan tiada masalah tiroid atau kencing manis.
Ubat kesuburan tidak harus diberi kepada pesakit tanpa rawatan susulan kerana pada hari kitaran haid ke 10 hingga 12, harus dilihat sama ada kilang ovari terangsang. Pengambilan ubatan jenis 'clomiphene' boleh menyebabkan rangsangan yang terlebih (hyperstimulation) sehingga boleh menyebabkan komplikasi kepada pesakit.

Pengambilan clomiphene tanpa pengawasan dalam jangka masa yang lama juga akan meninggikan risiko barah ovari terhadap pengambilan clomiphene. Oleh itu, dinasihatkan wanita yang baru berumahtangga supaya mencuba secara biasa terlebih dulu untuk hamil. Jika terdapat tanda-tanda awal mengandung seperti mual, muntah, kesakitan pada payu dara, berjumpalah doktor untuk ujian air kencing menentukan hamil (UPT - urine pregnancy test) dan imbasan ultrasound.
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →