Menu
Showing posts with label Tips Anak Sihat. Show all posts
Showing posts with label Tips Anak Sihat. Show all posts


Siapa ada anak kecil mesti biasa masak sosej untuk mereka. Kanak-kanak memang suka makan sosej sebagai snek atau kudapan waktu pagi atau petang. Tapi kalau kerap sangat makan sosej pun tak berapa elok sebab ia termasuk dalam kategori makanan segera yang diproses.
Makanan diproses terkenal dengan kandungan pengawet dan garam yang tinggi. Sudah tentu ia tidak bagus untuk kesihatan jangka panjang anak. Kalau anak anda jenis yang suka sangat makan sosej, cubalah buat sendiri. Lebih berkhasiat, terjamin bersih dan halal.

Boleh cuba resipi perkongsian Puan Siti Zarina Jaidon dalam facebook beliau.
Resepi sosej ayam
1 kg Isi Ayam
1 1/2 sudu teh garam
3 ulas bawang putih
1/2 sudu teh lada sulah
1/2 sudu teh thyme
1/2 sudu teh oregano
1 tangkai cili kering ( nak pedas letak lebih, yang serbuk pun boleh )
1 gelas air / stok ayam
♡ boleh tambah /tukar bahan ikut kreativiti masing-masing.
Cara membuat:

1. Campurkan semua bahan dalam mangkuk

2. Kisar semua bahan hingga halus dan sebati.

3. Masukkan dalam piping bag, picit memanjang diatas cling flim.
Gulung kemas, pusingkan hujung cling flim hingga ketat dan padat. Ikat kuat kanan dan kiri.

4. Didihkan air, rebus dalam 10 minit. Angkat dan rendam dalam air ais sebentar.


5. Tos dan buka balutan cling flim tadi. Bolehlah di goreng atau pan fried. Juga boleh disimpan beku.

6. Sosej ayam siap di goreng
Selamat mencuba
Sumber: Facebook Siti Zarina Jaidon


0


Ibu mana yang tidak risau bila lihat anak kawan-kawan semua sudah mula pandai bercakap dan anak sendiri masih tidak boleh bertutur walaupun seusia. Bagi ibu yang mengalami situasi ini pastinya bingung. Ada yang mungkin memberi pandangan supaya tunggu sahaja. Lama-kelamaan anak pasti akan dapat bercakap dengan sendiri. Tentu ada juga yang mengesyorkan supaya bertemu dengan pakar. Namun apa yang sebenarnya yang patut mama lakukan.  Ini jawapan daripada Pakar Pediatrik , Dr Mohamed Nazir Abu Bakar.
Pada umur tiga tahun, kanak-kanak seharusnya boleh bercakap dengan menggunakan sekurang kurangnya tiga hingga lima perkataan, boleh mengenali bahagian tubuh badan, boleh sebut nama sendiri dan boleh berinteraksi dengan dewasa. 

Antara tanda-tanda masalah pertuturan ialah seperti tiada reaksi jika dipanggil dan kurang berinteraksi dengan kanak-kanak lain serta tidak gemar aktiviti menulis dan melukis. Deria pendengaran adalah amat penting dalam proses perkembangan pertuturan kanak-kanak. Jika wujud sebarang keraguan adalah mustahak untuk kanak-kanak itu diperiksa oleh pakar. Jika terdapat sebarang masalah, ia dapat dikesan pada peringkat awal. Jadi, rawatan awal juga boleh dilaksanakan dengan kadar segera. Hal ini penting untuk kebaikan jangka masa panjang.
6 cara rangsang percakapan lancar
1. Teruskan peniruan
Biarkan anak meniru apa yang anda ucapkan. Ini kerana dia dalam tempoh belajar bercakap dan mengumpul perbendaharaan kata. Menghalang anak meniru percakapan akan membuatkan dia hilang minat untuk menyebut perkataan yang didengarnya.
2. Berbual
Teknik mudah yang boleh dipraktikkan sejak anak lahir. Kekerapan ibu ayah melayan anak berbual membuatkannya cepat bertutur. Dalam masa yang sama, dedahkan anak dengan penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.
3. Ajar sebutan betul
 Elakkan daripada mengajar anak anda bercakap pelat. Ajar dia bercakap dengan cara sebutan yang betul.
4. Kata-kata negatif
 Pendedahan kepada pelbagai bahasa negatif daripada persekitaran seperti orang sekeliling, televisyen dan sebagainya boleh membuatkan si kecil pandai menuturkan kata-kata yang kurang sesuai. Nasihatkan anak anda yang tidak tahu apa yang dituturkan itu.
5. Ajar perkataan positif
Beri dorongan kepada anak untuk bercakap bahasa yang sopan. Misalnya, ajar ungkapan "terima kasih", "minta maaf" untuk semua perbuatan yang dia atau anda lakukan. Secara tidak langsung anak tahu penggunaan perkataan itu pada situasi yang bagaimana.
6. Pengulangan
Si kecil bukan belajar bercakap dalam masa sehari sahaja. Tetapi ibu ayah perlu rajin mengulang perkataan yang sama setiap hari. Lama-kelamaan dia akan pandai bertutur dengan sendiri. Yang penting ibu ayah tidak malas melakukan rangsangan ini!
0


Rumah sepatutnya merupakan sebuah tempat yang paling selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Namun, rumah tidak lari daripada mempunyai pelbagai risiko yang boleh mendatangkan kecederaan kepada penghuninya, sama ada di dalam atau di luar kawasan rumah.

Kebanyakan kemalangan dan kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak di rumah sebenarnya dapat dielakkan jika perkara penting berkaitan aspek keselamatan diambil berat dan diberi perhatian.
Ketidakupayaan kanak-kanak berfikir seperti orang dewasa menyebabkan, perkara yang pada pandangan ibu bapa tidak berbahaya, menjadi bencana yang boleh membawa kecederaan, kecacatan kekal dan lebih teruk lagi maut kepada kanak-kanak.
Antara lokasi bahaya  dalam rumah bagi kanak-kanak dan perlu pemantauan sepanjang masa adalah:
Bilik Tidur
- Selalunya dianggap sebagai tempat yang paling selamat
- Selalu memeriksa benda-benda yang terdapat di atas katil seperti bantal dan selimut. Ini dapat mengurangkan kejadian lemas pada kanak-kanak semasa tidur.
- Bilik tidur yang mempunyai peralatan elektrik seperti televisyen perlu diberi perhatian.
Bilik mandi
- Awasi anak anda semasa mandi di dalam tab mandi atau menggunakan air dalam baldi. Mereka boleh lemas walaupun paras air yang hanya sedalam 5 cm
- Pisau cukur (manual atau elektrik) dan juga bahan kimia yang boleh menyebabkan kecederaan perlu disimpan dengan betul sekiranya tidak digunakan.
- Lantai yang licin dan juga tab mandi boleh menyebabkan seseorang terjatuh.
Tangga
- Ini merupakan lubuk bahaya dalam rumah yang bertingkat
- Bagi melindungi kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak yang kecil, pintu kecil di tangga perlu dipasang untuk keselamatan
- Jangan tinggalkan barang-barang seperti alat permainan di atas tangga kerana boleh terpijak dan jatuh
Dapur
- Peralatan di dapur dan aktiviti memasak selalu menyebabkan berlakunya kecederaan yang serius.
- Minyak masak yang panas, air mendidih, kuali panas, rempah dan pisau boleh mewujudkan persekitaran yang sangat berbahaya kepada kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa, perlu sentiasa berwaspada bagi memastikan keselamatan anak-anak berada dalam keadaan baik. Jika anda mendapati anak diam seketika perlu cepat bertindak dan jangan terlalu bersikap   mempercayai. Anak-anak tidak tahu tindakannya betul atau salah.  
0


Sayang rasanya nak buang ubat demam anak yang baru diminum sekali dua. Tapi tahukah anda tentang bahaya kalau simpan ubat demam lama sangat dalam peti ais? Tabiat ini rasanya dilakukan oleh ramai ibu bapa yang ada anak kecil atau mungkin juga pada ubat demam sendiri.
Sikap sayang untuk membuang barang dan tak mahu membazir itu memang terpuji tapi ia tidak sesuai digunakan untuk kes ubat demam. Anda kena baca sebabnya seperti dikongsi oleh Dr.Taufiq Razif.
Saya perasan kalau saya buka peti ais rumah siapa-siapa pun mesti banyak ubat demam anak-anak.
Biasanya mak ayah ni suka simpan ubat demam Panadol, Fepril, Uphamol dan Kidz PCM dalam peti ais. Bukan seminggu dua tapi kadang kala tu sampai berbulan-bulan pun ada.
Kenapa ye?
Tahu tak bahaya kalau kita simpan ubat demam tu lama sangat? Tahu tak botol ubat tu asalnya diisi dengan udara bersih ataupun Nitrogen di kilang sana. Udara dalam tu memang bebas kuman tapi sekali kita dah buka botol ubat demam tu, udara bersih tu akan keluar dan udara luar yang mengandungi fungi, bakteria dan wap air ni akan masuk.
Lagi satu, bila kita simpan ubat dalam peti ais proses kondensasi akan berlaku dan wap air akan terbentuk dalam botol ubat tu. Wap air tu takde bahan pengawet sepertimana ubat yang memang ada bahan pengawet jadi bakteria mudah membiak kat dalam tu.
Berapa lama je boleh simpan?
Sebenarnya tak perlu simpan pun. Bila anak demam lagi, ambil je ubat yang baru. Tu lagi selamat tapi kalau nak simpan juga jangan lebih 2 bulan ye. Lebih bahaya lagi kalau kita simpan pastu kita lupa dah berapa lama ubat tu kita simpan. Bila anak demam je terus bagi ubat lama tadi. Aduh! Bahaya!
p/s : Kalau suhu masih bawah 37.5 c tu tak perlu pun ubat demam. Banyakkan minum air ye. Kalau selsema sikit-sikit tu banyakkan makan buah buahan je. Belajar berjimat cermat sikit bab ubat-ubatan.
Tolong sebarkan dan ajar ilmu ni pada ibubapa kat luar sana juga ye. Saya tahu ramai ibubapa yang tak tahu tentang benda ni.
Sumber: Taufiq Razif
0


Bila ada anak kecil, kita wajib tahu cara membersihkan dan menyucikan sisa najis anak supaya ia bukan sekadar bersih di mata kasar sahaja. Tetapi apa yang penting cara membersihkan dan menyucikan kena betul mengikut ajaran Islam supaya solat kita juga sah.
Semoga perkongsian daripada ibu yang ada anak kecil ini, Puan Yatie Eimra bermanfaat kepada semua ibu bapa lain.

Membersih & Menyucikan Najis Anak
Dalam pada para ibu teruja nak ajar anak potty train, jangan sehingga terlepas pandang bab menyucikan najis (air kencing/poo²) anak. Biasalah kes-kes 'incident' kecil masa potty train pasti anak ada terlepas dan terbabas di mana-mana. Itu tak termasuk kes diaper bocor atas tilam/karpet/sofa atau anak kencing malam.
Sebelum ini saya pernah kongsikan cara buat spray serbaguna menggunakan sabun dan larutan cuka. Spray ini juga sangat berkesan untuk hilangkan bau hancing (boleh rujuk post saya sebelum ni untuk sukatan). Alhamdulillah, lepas kering memang dah tak ada bau lagi.
Najis anak dikira najis mutawassitah iaitu najis pertengahan (kecuali air kencing anak lelaki bawah 2 tahun yang belum makan dan hanya minum susu ibu sahaja). Najis mutawassitah pula terbahagi kepada 2 iaitu yang boleh nampak (ainiah) dan tak boleh nampak (hukmiah). Cara membersih dan menyucikan najis berbeza bergantung pada kategorinya.
Barubaru ini saya dengar ceramah seorang ustazah mengenai penyucian najis anak. Alhamdulillah, cara ini juga yang saya gunakan selama ni. Saya kongsikan cara menyucikan najis ini terutamanya bagi ibu-ibu baru yang mungkin tak banyak pengalaman. Semoga dapat dimanfaatkan.
Cara sucikan najis yang boleh nampak (ainiah)
Najis yang sedikit (percikan/tompokan najis dan air kencing yang sedikit)
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Tuangkan air ke atas tempat terkena najis sehingga rata.
Disunatkan:
4. Perah/keringkan air (lekapkan kain di atasnya atau gunakan vacuum jenis wet & dry).
5. Ulang basuh dan keringkan (dengan kain berbeza/bahagian lain yang kering) sebanyak 3 kali.
Najis yang banyak dan tempat terkena najis boleh diangkat
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Basuh dengan mengalirkan/menjirus air hingga sebahagian air mengalir, menitis/menitik.
Disunatkan:
4. Membasuh dengan air sebanyak 3 kali.
Najis yang banyak dan tempat terkena najis tidak boleh/sukar diangkat (contohnya seperti karpet yg mempunyai barang berat diatasnya, dan lain-lain)
1. Buang najis.
2. Bersihkan hingga hilang warna, rasa dan baunya. (boleh gunakan sabun+larutan cuka)
3. Tuangkan air ke atas tempat terkena najis sehingga rata.
Disunatkan:
4. Perah/keringkan air (lekapkan kain di atasnya atau gunakan vacuum jenis wet & dry).
5. Ulang basuh & keringkan (dengan kain berbeza/bahagian lain yang kering) sebanyak 3 kali.
Cara sucikan najis yang tak boleh nampak (hukmiah)
Najis yang diyakini kewujudannya tetapi tak boleh nampak sifatnya tetap dikira najis secara hukum. Contohnya air kencing yang telah kering, najis yang terkena lantai namun tidak melekat (boleh jadi sebab najis keras/permukaan licin) ataupun tempat yang terkena najis telah hilang sifatnya (warna, rasa & bau) disebabkan terlalu lama terbiar. Jika tersentuh tempat terkena najis hukmiah ini ketika tangan basah boleh membatalkan solat. Untuk menyucikan najis hukmiah, memadai hanya dengan
1. Menjiruskan air di tempat diyakini ada najis & kawasan sekitarnya.
Disunatkan:
2. Membasuh dengan air sebanyak 3 kali.
Ini pula menurut Ustaz Azhar Idrus-
*Jika selepas kering masih ada bau - dimaafkan dalam Islam kerana hanya tinggal 1 sifat (bau sahaja)
*Tempat terkena najis yang telah dicuci masih dikira najis ketika basah & boleh membatalkan solat.
*Tempat terkena najis yang telah dicuci & kering, jika dipegang/disentuh walaupun ketika tangan/kaki basah adalah dimaafkan
Sumber: Yatie Eimra

0


Bila anak dah makan macam-macam, mereka berisiko untuk mendapat masalah sembelit atau pun cirit-birit. Ibu bapa memang kena peka dengan apa yang anak makan supaya tahu punca masalah yang berlaku pada sistem penghadaman anak.
Masalah cirit-birit tak kira sama ada menyerang orang dewasa atau pun kanak-kanak, ia akan membuatkan anda rasa sakit dan tak selesa. Lebih memburukkan keadaan ia turut menyebabkan keletihan melampau dan dehidrasi. Ini boleh mengganggu tahap kesihatan si pesakit apatah lagi jika berlaku kepada anak yang masih kecil.
Selain mendapatkan rawatan doktor, anda boleh mengamalkan diet khas yang dikenali sebagai BRAT diet sebagai satu cara berkesan merawat cirit-birit.
BRAT diet atau singkatan daripada perkataan (Banana, Rice, Applesauce dan Toast) ini disarankan pada orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami cirit-birit.
Bagaimana BRAT diet boleh merawat masalah sakit perut dan cirit-birit?
BRAT diet adalah makanan lembut yang dicadangkan kepada orang dewasa dan kanak-kanak yang mengalami cirit-birit. Kebaikan mengamalkan BRAT diet untuk merawat masalah sakit perut dan cirit-birit termasuklah:
* makanan yang digunakan dalam diet boleh menjadikan najis kurang cair kerana makanan tersebut rendah fiber, lembut dan berkanji.
* makanan membantu menggantikan nutrien diperlukan badan yang hilang akibat muntah-muntah dan cirit-birit. Pisang tinggi dengan kandungan potassium.
Dalam BRAT Diet ni ada pisang yang mengandungi potassium yang dapat membantu usus menyerap air dan juga Epal yang mengandungi pectin yang dapat memekatkan makanan dalam usus.
Makanan berkanji tidak akan menyakitkan perut. Selepas anda mengalami cirit-birit atau muntah. Makan mengikut BRAT diet bagi membantu badan kembali pada tabiat makan yang normal. Diet ini juga membantu mual dan muntah yang dialami oleh sesetengah ibu hamil.
Anda boleh tambah lain jenis makanan berkanji ke dalam BRAT diet. Contohnya, biskut kracker, kentang atau clear soup broths. Jangan makanan produk tenusu, bergula atau berlemak kerana ia mungkin boleh mencetuskan mual dan lebih banyak cirit-birit.
Bila diserang cirit-birit yang teruk, jangan terus makan makanan dalam BRAT diet tetapi hanya hirup/minum cecair sahaja. Tunggu sehingga anak anda boleh makan makanan makanan pejal tanpa muntah lagi. Jika anda mengalami muntah atau cirit-birit teruk, cuba minum minuman yang berelektrolit untuk memastikan badan kekal hidrasi.
Ikut nasihat doktor tentang pengambilan makanan yang betul bila mengalami masalah berkaitan perut.
Selepas anak kembali normal, pastikan dia diberi makanan yang sihat kerana BRAT diet tidak dapat memenuhi keperluan diet yang cukup. Dia perlu kembali makan seperti biasa tetapi banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam masa 24 hingga 48 jam selepas mengalami muntah dan cirit-birit.
Sumber: U.S. National Library of Medicine, Diarrhea
0


Soalan:
Anak lelaki saya berusia lapan bulan. Dia menyusu susu ibu secara eksklusif. Apakah mandi malam boleh menyebabkan paru-paru berair kepada kanak-kanak? Air mandian tersebut menggunakan air paip pada suhu biasa dan bukannya air panas.


Jawapan:
Tiada bukti saintifik yang menyatakan amalan mandi pada waktu malam boleh menyebabkan masalah paru-paru. Jadi, tiada masalah untuk puan memandikan anak pada waktu malam walaupun hanya menggunakan air paip biasa.
Sama juga halnya dengan amalan penyusuan susu ibu. Susu ibu tidak mempengaruhi keadaan paru-paru bayi yang disusukan dengan susu ibu.

Soalan dijawab oleh Dr Nazatul Haslina Ramly, Doktor Pakar Pediatrik di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.
0


Ketika bayi anda berusia 6 bulan, dia akan diperkenalkan dengan pelbagai variasi makanan bayi yang berbeza.
Perkara pertama yang perlu anda pastikan adalah makanan tersebut adalah makanan sihat dan terbaik sehingga boleh membuatkan berat badan bayi berada pada berat yang normal, namun tidak membuatkannya terlalu gemuk.
Melalui makanan yang sihat, bayi anda akan mendapatkan manfaat yang luar biasa. Bukan sahaja sihat, ‘cepat gemuk’, malahan makanan yang dinikmati ketika masih kecil ini juga akan mempengaruhi tahap kecerdasan dan kesihatannya sehingga dia dewasa kelak.
Jika pada ketika ini, bayi anda sudah mula makan namun berat badannya masih belum ideal, anda perlu memberikan sedikit perhatian supaya kesihatannya tidak terganggu.
Cara mudah agar bayi anda cepat gemuk adalah dengan meningkatkan pengambilan kalori agar berat badan bayi anda kembali normal. Untuk mendapatkan kepastian, dapatkan nasihat doktor bagi menentukan berapa banyak kalori tambahan yang diperlukan oleh bayi anda itu.
Dengan menambahkan beberapa makanan berkalori dapat membantu menaikkan berat badan bayi anda agar tidak terlalu kurus.
Susu Formula/Susu Ibu
Walaupun sudah makan banyak makanan dengan varian berbeza, susu merupakan makanan yang wajib diberikan di selang seli dengan makanan tersebut. Jika bayi anda masih menyusui, teruskan kerana pada ketika ini bayi anda sebenarnya masih memerlukan nutrisi dari susu formula dan air susu ibu. Jika anda memilih untuk memberikan susu formula kepada bayi anda, pastikan ia mempunyai tinggi lemak dan kalori, tetapi kurang gula kerana ia boleh membuatkan bayi anda cepat gemuk.
Setelah bayi kenyang di saatnya mahu tidur, berilah susu lagi sehingga dia tertidur. Minum susu sampai bayi tertidur merupakan cara paling mudah untuk membuatkan berat badan bayi naik.
Makanan Berkalori
Makanan yang berasal daripada gandum atau biji-bijian juga mengandungi banyak kalori, tetapi juga merupakan makanan sihat untuk menambah nutrisi bayi anda.
Pasta gandum yang dipotong kecil-kecil juga merupakan makanan berkalori tinggi dan boleh buat bayi cepat naik berat badan dan sihat. Selain itu, pengambilan oatmeal juga boleh membuatkan bayi anda cepat gemuk.
Pilih Buah-Buahan & Sayur-Sayuran Berkalori Tinggi
Beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi nilai kalori tinggi akan membantu bayi anda mendapatkan berat badan yang lebih baik serta nutrisi penting untuk pertumbuhan yang sihat.
Berikan bayi anda beberapa potongan kecil avocado. Buah avocado tinggi lemak dan memberikan efek baik untuk jumlah kalorinya. Selain itu, kacang, buah pear dan pisang juga merupakan makanan sihat untuk bayi anda. Tambahkan satu sudu teh minyak zaitun atau mentega ketika memasak sayuran bagi menambah kalori tambahan atau cincang buah dan tambahkan susu yogurt untuk meningkatkan kalori.
Ikan adalah makanan sihat buat bayi yang berusia setahun. Tetapi, anda boleh memberikan sedikit demi sedikit biarpun usianya belum mencapai setahun. Ikan boleh diberikan dengan mengukus dan dikisar lembut tanpa di berikan perencah atau serbuk perasa.
 Ikan adalah sumber protein, vitamin dan mineral. Omega 3 asid lemak dalam ikan terutama ikan salmon segar sangat penting untuk perkembangan otak bayi anda.
Sumber: www.wom.my
0


Anak yang sihat bermakna dia ada sistem imun badan yang bagus, barulah otaknya boleh berfungsi dengan baik untuk belajar banyak benda. Semua ibu mahu anak sihat dan bijak. Jadi, ibu kena bagi anak makan makanan yang berkhasiat.

Kita sedia maklum susu adalah sumber kalsium untuk anak-anak. Tapi adakalanya bila anak dah bercerai susu ibu, kita jadi keliru nak bagi anak minum susu apa sebab ada macam-macam jenis susu di pasaran. Mana satu yang bagus untuk anak?

Sebenarnya anda boleh buat sendiri susu untuk anak. Betul ke? Puan Ainini Zainal, seorang ibu yang juga blogger makanan sihat yang memperjuangkan makanan sunnah dan semula jadi sebagai cara terbaik menguatkan sistem imun badan berkongsi cara beliau menyediakan susu badam untuk anaknya.

Jom, kita juga ikut cara pemakanan sihat yang beliau amalkan.

Susu badam adalah salah satu susu alternatif berasaskan tumbuhan, 'plant-based milk'. Sangat sesuai untuk semua, terutamanya yang mempunyai alahan terhadap laktosa/'lactose intolerance'. Susu badam bebas gluten, bebas casein. Pilihan susu tinggi kalsium yang terbaik selain bagus untuk kuatkan sistem imun badan anak dan brain booster.

Sesuai untuk kanak-kanak setahun dan ke atas. Bawah setahun mungkin ada yang alah terhadap makanan daripada "keluarga kekacang". Mulakan dengan 4-day-rule.

Yang pasti, ia bukan sahaja 'immune booster', tetapi juga 'BRAIN BOOSTER'. Badam itu sendiri adalah makanan kegemaran Rasulullah s.a.w dan khasiatnya amatlah banyak, apatah lagi jika penyediaannya tidak dicampur dengan bahan-bahan yang tidak sihat seperti gula putih, pengawet, aditif, pewarna/perasa tiruan. Selain itu ia juga tinggi kalsium, tinggi khasiat.

Maklumat nutrisi badam:

1. Vitamin E

2. Riboflavin.

3. Manganese

4. Magnesium

5. Fosforus

6. Kalsium

7. Zat besi

Khasiat badam:

1. Nutrisi sihat untuk badan.

2. Meningkatkan fungsi otak.

3. Tinggi protein tanpa lemak.

4. Memberi tenaga kepada badan dan otak.

5. Membaiki sel-sel otak dan seterusnya meningkatkan fungsinya termasuk ingatan.

6. Mencegah penyakit dan serangan jantung.

7. Mengekalkan kesihatan kulit.

8. Membantu mengawal kandungan gula dalam darah.

9. Membantu selera berlebihan dan penurunan berat badan.

10. Meningkatkan penyerapan nutrien.

11. Meningkatkan kesihatan penghadaman.

12. Melawan serangan kanser dan keradangan.

13. Mengekalkan kesihatan tulang dan gigi.

Bahan-bahan

2 cawan badam

3 liter air suam

7-10 biji kurma

Madu secukupnya

Serbuk koko (perasa coklat)

Cara-caranya


1. Tanggalkan kulit badam (direndam semalaman).


2. Kisarkan badam bersama 2 liter air dan kurma.


3. Sediakan penapis kain/kain yang bersih.


4. Tapiskan dan perah susu badam.


5. Masukkan semula hampas badam tadi ke dalam pengisar, tambahkan baki 1 liter air ke dalamnya. Kisar dan ulang tapis/perah. Tambahkan madu dan serbuk koko yang dikacau dengan sedikit air panas untuk susu badam perisa coklat. Boleh diminum terus atau dibekukan. Tahan di 'freezer' selama sebulan, di 'chiller' selam 2-3 hari.


6. Hampasnya jangan dibuang (boleh dibuat cucur/kek/biskut).
Sumber: Facebook Ainini Zainal
0


Belajar berjalan adalah langkah yang besar ke arah berdikari, ia salah satu perkembangan yang paling penting dalam hidup anak anda.
Apabila dia beralih dari berdiri berpegang pada perabot ke berjalan jatuh menuju tangan anda yang terbuka luas hinggalah ke berlari dan melompat dengan penuh keyakinan, dia sudah meninggalkan zaman bayinya.
Bagaimanapun, bagi bayi yang sedang belajar untuk berdiri, dia mungkin perlukan bantuan untuk memahami bagaimana hendak duduk semula. Jika dia tersekat dan menangis, jangan sekadar mengangkatnya dan mendudukkannya. Sebaliknya, tunjukkan bagaimana hendak membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh, dan biarkan dia mencubanya sendiri.
Anda boleh menggalakkan bayi anda berjalan dengan berdiri atau melutut di hadapannya, dan memegang kedua-dua tangannya sambil membantu dia berjalan ke arah anda.
Anda juga boleh mendapatkan untuknya trak kanak-kanak atau mainan yang serupa yang dia boleh pegang dan tolak. Carilah mainan kanak-kanak yang stabil dan mempunyai permukaan asas yang lebar untuk sokongan. Walker bantu berjalan boleh menyebabkan kemalangan (dengan tertonggeng) jadi lebih baik jangan gunakannya.
Apabila bayi anda sedang belajar berjalan, baik jika anda biarkan kakinya bebas sebanyak mungkin. Jika dihimpit oleh kasut atau stoking yang ketat, tapak kaki bayi tidak boleh menegak dan membesar dengan baik.
Anda boleh tangguhkan memakai kasut sehingga bayi anda sudah biasa berjalan di luar rumah atau atas permukaan yang kasar dan sejuk. Berkaki ayam menolong memperbaiki keseimbangan dan koordinasinya.
Apabila anda membeli kasut untuk bayi anda, cuba dapatkan seorang jurupadan (fitter) yang berkelayakan untuk mengukur kakinya. Jurupadan akan memeriksa kepadanan dan memastikan ada ruang untuk tumbesaran.
Pastikan bayi anda ada persekitaran yang lembut dan selamat untuk memupuk kemahiran barunya.Jangan biarkan bayi anda tanpa pengawasan, sekiranya dia terjatuh atau memerlukan pertolongan anda.
Bila ibu perlu bimbang jika bayi masih belum berjalan?
Selagi bayi anda meletakkan berat badannya pada kakinya dan menunjukkan minat untuk belajar perkara baru, anda tidak perlu bimbang. Jika bayi anda mengambil masa lebih panjang berbanding bayi lain untuk belajar merangkak, kemungkinan besar dia perlukan beberapa bulan lagi untuk berjalan juga. Perkembangan setiap bayi adalah berbeza, ada yang lebih cepat berbanding yang lain.
Tetapi jika bayi anda kelihatan jauh ketinggalan dan masih belum berjalan menjelang usianya 18 bulan, bincanglah dengan doktor anda atau pakar kanak-kanak. Ingatlah bahawa jika bayi anda mula bergerak ke sana-sini dengan cara mengesot sebelum dia belajar merangkak, dia mungkin akan berjalan lambat sedikit.
Kecepatan bayi belajar kemahiran baru biasanya diwarisi daripada ibu bapa. Jika anda atau suami cepat atau lambat berjalan, ada kemungkinan bayi anda juga begitu.
Ingatlah bahawa bayi pramatang mungkin akan mencapai tahap ini serta tahap-tahap yang lain lebih lambat berbanding bayi lain.
Ingatlah bahawa jika bayi anda dilahirkan pramatang (sebelum 37 minggu kehamilan), dia mungkin mencapai kemahiran ini dan kemahiran-kemahiran lain lebih lewat berbanding bayi lain. Jika anda bimbang mengenai perkembangan bayi anda, bincanglah dengan pakar kanak-kanak atau doktor keluarga anda.
Sumber: babycenter
0


Mimie menyusukan ketiga-tiga orang anak dengan susu ibu sepenuhnya. Saya ingin tahu, bolehkah saya mengambil produk kolagen atau apa-apa produk yang ada campuran Lobata dan Mirifica untuk menganjalkan payu dara dan punggung. Dia risau jika pengambilan ketiga-tiga bahan ini tidak sesuai kerana dia menyusukan anak lelaki kerana campuran dua bahan terdapat hormon wanita di dalamnya.

Menurut Rita Rahayu Omar Pakar Laktasi & IBCLC, beliau tidak dapat memberi sebarang jaminan atau bukti maklumat berkaitan dengan produk-produk seperti mana yang disebutkan. Hal ini kerana kebanyakan rawatan berasaskan bahan herba tidak menjalani satu kajian menyeluruh, terutama yang berkaitan dengan laktasi.


PRODUK HERBA TIDAK SEMESTINYA SELAMAT

Herba-herba juga tergolong dalam ubat-ubatan dan langkah berjaga-jaga perlu diambil kira. Sesiapa sahaja termasuk ibu mahupun bayi boleh mengalami reaksi alahan berpunca daripada apa-apa sahaja. Jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan atau herba, anda dinasihatkan untuk memantau sebarang tanda atau reaksi kurang baik daripada bayi anda.

Kadang kala sesetengah produk mendakwa bahawa ia dihasilkan daripada bahan-bahan semula jadi, namun ia tidak bermakna produk tersebut selamat. Herba adalah ubat, jadi perlu berhati-hati mengambilnya. Selain itu, produk-produk ini juga tidak terkawal. Oleh itu anda tidak mempunyai sebarang maklumat tentangnya melainkan apa yang didakwa pihak pengeluar.



DAPATKAN NASIHAT DOKTOR SEBELUM AMBIL

Tiada bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan suplemen berasaskan kolagen bermanfaat untuk anda seperti Pueraria mirifica (lobata). Reaksi individu terhadap makanan berbeza-beza dan ia juga bergantung kepada dos pengambilan serta ciri atau sifat seseorang. Para pengguna perlu berhati-hati terhadap kesan sampingan daripada produk sebegini sebelum mengambil keputusan untuk mengamalkan pemakanan dari Pueraria mirifica. Bukan itu sahaja, pengguna disarankan agar mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika mempunyai sebarang kemusykilan.

Salah satu daripada laporan kajian, Pueraria mirifica Research Review, oleh Ellen Kamhi, PhD, RN, AHG, AHN-BC, menyatakan "Pueraria mirifica tidak seharusnya digunakan oleh kanak-kanak, wanita di bawah usia 20 tahun, wanita yang menghidap cyst pada payudara, ovari atau uterus, sesiapa sahaja yang mengalami masalah berkaitan kanser estrogen, wanita hamil atau wanita yang menyusukan bayi.” Peringatan yang sama turut digunapakai di dalam perihal keselamatan dan pemakanan.



5 PANDUAN SEBELUM IBU AMBIL SUPLEMEN HERBA SEMASA MENYUSU

Ruth A. Lawrence, MD (penulis buku Breastfeeding: A Guide for the Medical Profession) memberi beberapa panduan terhadap ibu yang menyusukan bayi sekiranya mereka bercadang untuk menggunakan bahan-bahan berasaskan herba.


  1. Elakkan mengambil teh herba farmakologi aktif. Ambil minuman teh herba secara sederhana.
  2. Kurangkan pengambilan sediaan produk herba yang menggabungkan beberapa bahan aktif.
  3. Baca kemasan label pada produk. Terdapat beberapa jenis suplemen multivitamin yang mungkin mengandungi herba yang tidak seharusnya digunakan oleh ibu yang menyusu.
  4. Gunakan jenama produk yang dipercayai mempunyai maklumat bahan dan pekatan yang tertera di label, tarikh luput dan juga pengusaha dan pengedar produk tersebut.
  5. Pastikan anda membuat pemeriksaan tubuh badan sebelum mengambil sebarang ramuan semula jadi.
0


Pernah tak anak kita tiba-tiba je macam kena selsema, cirit-birit tanpa sebab dan mengadu sakit perut? Padahal tak pernah pun makan kat luar kan.

Jaga-jaga. Tu mungkin antara tanda-tanda ringan keracunan makanan. Mungkin ada kuman sedang bersarang dalam peti ais kat rumah kita tanpa kita sedari!







Kalau ikut statistik, 'food-borne disease ' ni menyebabkan 325,000 orang masuk hospital dan mengakibatkan 5,000 kematian setahun di US. Yang melegakan 25% kejadian ni sebenarnya boleh dielakkan kalau kita mula ambil langkah pencegahan di rumah lagi.

Rupanya ramai lagi tak sedar sebenarnya peti ais tu bukan alat untuk bunuh bakteria! Bakteria tu cuma jadi diam ( dormant ) je. Bila suhu berubah sikit mula la mereka berkembang balik. Lagi-lagi la kalau setting peti ais tu tak okey ataupun kita jarang-jarang lap dan bersihkan peti ais tu.

Saya nak kongsi sikit teknik macam mana nak jadikan peti ais tu selamat untuk keluarga kita :

1. Bersihkan peti ais tu setiap minggu atau dua minggu sekali. Kalau boleh pakai pembersih antibakteria dan air.

2. Sekali sekala periksa suhu dalam peti ais tu. Kadang-kadang kita tak sedar alat yang tetapkan suhu peti ais kita tu rosak. Pastikan suhu dalam peti ais yang non-freezer tu di bawah 40 Fahrenheit. Dalam 4.4 Celsius camtu la. Bahagian freezer pulak kena di bawah 0 Fahrenheit.

3. Bersihkan kulat yang tumbuh di sekeliling pintu dan juga kesan-kesan makanan yang tumpah kat dalam peti ais tu. Paling bahaya kalau ada air darah daripada ayam dan daging yang masih mentah tu.

4. Letak daging, ayam dan ikan mentah tu dalam bekas kedap udara dan jangan sampai air tu meleleh jatuh ke bawah ataupun kena kat makanan yang lain.

5. Selalu periksa tarikh luput makanan. Jangan nak mengelat kononnya takpe je makanan tu dah expired sebab dah letak dalam peti ais! Big no!

6. Mana-mana ubat yang dah lama tak pakai tu jangan dibuat pekasam kat dalam peti ais tu. Kalau simpan lama-lama pun stability ubat tu akan berubah jugak. Jadi? Buang je lebih-lebih lagi kalau fizikal, bau dan rasa ubat tu dah berubah.

Lepas baca ni terus periksa peti ais masing-masing ye. Cuba tengok balik tarikh luput makanan masing-masing dalam tu dan juga kesan-kesan air ikan yang dah berminggu tak dilap tu ye. Diharapkan perkongsian ini bermanfaat untuk semua demi kesihatan ahli keluarga.

Sumber: FB Taufik Razif
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →