Menu
Showing posts with label Kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Kanak-kanak. Show all posts

Kanak-kanak sedang makan burger
Diet yang banyak makanan telah diproses ketika berusia tiga tahun dikaitkan dengan IQ lebih rendah ketika berusia lapan tahun setengah.

Diet yang tinggi lemak, gula dan makanan telah diproses merendahkan IQ kanak-kanak, rumus satu kajian. Laporan itu berkata tabiat pemakanan pada usia tiga tahun membentuk prestasi otak apabila ia menjadi lebih berusia.

Diet yang banyak makanan telah diproses ketika berusia tiga tahun dikaitkan secara langsung dengan IQ lebih rendah ketika berusia lapan tahun setengah, menurut satu kajian berpusat di Bristol terhadap ribuan kanak-kanak Britain.

The Avon Longitudinal Study of Parents and Children telah membuat pemerhatian terhadap kesihatan dan kesejahteraan jangka masa panjang kira-kira 14,000 kanak-kanak.

Makanan terutamanya yang kaya dengan vitamin dan nutrien telah membantu meningkatkan prestasi otak apabila kanak-kanak membesar, nyata laporan Journal of Epidemiology and Community Health.

Para penyelidik berkata diet kanak-kanak kecil itu boleh mengubah tahap IQ pada zaman kanak-kanak nanti, sekalipun tabiat pemakanan diperbaik dengan peningkatan umur.

"Ini mencadangkan bahawa sebarang kesan kognitif/kelakuan berkaitan dengan tabiat pemakanan dalam awal alam kanak-kanak mungkin berterusan hingga ke zaman kanak-kanak, walaupun ada perubahan berikutnya pada pengambilan makanan," nyata tulisan tersebut.

Semasa kajian, ibu bapa menjawab soal selidik yang memperincikan jenis-jenis dan kekerapan makanan dan minuman yang diberikan kepada anak-anak mereka apabila mereka berusia tiga, empat, tujuh dan lapan tahun setengah.

Setiap peningkatan satu mata dalam markah kajian corak pemakanan (satu rekod pengambilan lemak terproses) dikaitkan dengan kemerosotan 1.67 mata IQ.

Otak membesar pada kadar paling pantasnya semasa tiga tahun pertama kehidupan.

"Ia adalah mungkin pemakanan yang baik sepanjang tempoh ini boleh menggalakkan pertumbuhan optimum otak," tambah laporan itu.

Pengarah penyelidikan The School Food Trust, Michael Nelson, berkata: "Dengan kira-kira 23 peratus daripada kanak-kanak yang mula bersekolah terlebih berat atau obes, ia adalah sangat jelas bahawa pilihan yang menyihatkan dalam perkembangan awal mereka itu adalah memberi mereka kebaikan, bukan sahaja untuk mengekalkan berat yang sihat semasa mereka membesar, tetapi sebagaimana bukti ini menunjukkan, ia juga untuk meningkatkan kebolehan mereka untuk mencapai keputusan yang baik di sekolah.

"Penemuan ini juga menunjukkan pentingnya membantu semua yang terlibat dengan perkembangan awal kanak-kanak untuk mendapat maklumat dan nasihat yang mereka perlukan berkenaan pemakanan yang baik."

Definisi makanan telah diproses: makanan yang telah dirawat secara khusus (contohnya pengeringan, pembekuan, pengetinan) untuk menjadikannya tahan lama, memperbaik rupanya atau menjadikannya lebih mudah digunakan.
0

Bayi terlampau gemuk atau obes.Bayi yang diberi makan makanan pejal sebelum 4 bulan berisiko

Bayi yang diberi susu formula yang mula makan makanan pejal sebelum mereka mencapai usia 4 bulan adalah berkemungkinan untuk menjadi obes berbanding dengan yang mula lebih lewat, hasil dari satu kajian.

Penemuan ini menyokong panduan yang mengatakan ibubapa seharusnya menuggu sehingga bayi berada di antara usia 4 hingga 6 bulan untuk mula memberi mereka makanan pejal, kata Dr. Susanna Huh, seorang dari pengkaji utama dari Hospital Kanak-kanak Boston.

�Mematuhi garis panduan tersebut boleh mengurangkan risiko obesiti zaman kanak-kanak,� kata beliau.

Kajian terdahulu telah menunjukkan hasil yang bertentangan sama ada usia bayi mula makan makanan pejal berkait dengan peluang untuk menjadi obes apabila bayi meningkat usia. Ini terutama bagi bayi yang diberi susu formula, peralihan kepada makanan pejal mungkin bermakna satu peningkatan yang ketara dalam jumlah kalori yang diambil mereka.

Dalam kajian ini, Huh dan rakan-rakan membuat pemerhatian terhadap 850 bayi dan ibubapa mereka selama 3 tahun. Apabila bayi berusia 6 bulan, para pengkaji bertanya pada ibu sama ada mereka telah diberi susu ibu � dan jika ya, sudah berapa lama � dan bila mereka mula memberi bayi mereka makanan pejal, seperti bijirin, buah-buahan dan produk tenusu.

Apabila bayi tersebut telah berusia 3 tahun, pengkaji tersebut mengukur tinggi dan berat mereka untuk menentukan kanak-kanak mana yang obes, yang ditakrif sebagai berada dalam kalangan 5 peratus tertinggi dari berat badan ideal (BMI) bagi usia dan jantina mereka.

Bagi bayi yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya empat bulan, sebelum mereka mula makan makanan pejal, tidak menunjukkan mereka menjadi obes usia 3 tahun. Tanpa mengira bila mereka mula makan makanan pejal, bayi susuan ibu dalam kajian tersebut hanya berkebarangkalian 1 dari 14 sahaja untuk menjadi obes sebagai kanak-kanak pra-sekolah.

Tetapi penemuan itu, yang telah diterbitkan dalam jurnal Pediatrics, menunjukkan perbezaan bagi bayi yang diberi susu formula bermula dari permulaan lagi, atau yang berhenti menyusu susu ibu sebelum usia 4 bulan.

Bayi-bayi tersebut mempunyai kemungkinan satu dari empat menjadi obes pada usia 3 tahun jika mereka makan makanan pejal sebelum usia 4 bulan. Jika ibubapa menuggu sehingga 4 atau 5 bulan, kemungkinan itu menjadi satu dari 20 sahaja.

Kemungkinan menjadi obes bertambah sekali lagi jika bayi-bayi tidak mula makan makanan pejal sehingga mereka sekurang-kurangnya 6 bulan, tetapi hanya terlalu sedikit daripada bayi-bayi itu untuk pengkaji-pengkaji untuk membuat satu keputusan yang jelas tentang risiko menunggu lebih lama untuk memberi bayi makan makanan pejal.

Di seluruh dunia, para doktor telah mempromosikan pentingnya menyusu susu ibu dalam 4 untuk 6 bulan pertama bayi. Bagaimanapun, di Amerika kira-kira separuh daripada bayi telah diberi susu ibu kurang daripada 4 bulan, atau tidak diberi susu ibu sama sekali, menurut Centers for Disease Control and Prevention.

Susu ibu itu sendiri mengurangkan risiko bayi menjadi obes. Untuk bayi-bayi itu yang dibesarkan dengan susu formula, ia penting untuk ibubapa mereka menunggu sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya empat bulan sebelum memberi makan mereka makanan pejal, kata penyelidik-penyelidik itu.

�Tatkala ibu bapa mungkin mempunyai kesukaran menentukan jumlah yang betul untuk memberi makan seorang bayi yang tidak diberi susu ibu, ia mungkin juga �cara bayi-bayi itu makan dan belajar untuk makan mempengaruhi risiko obesiti mereka,�� kata Huh.

Dr. David McCormick, seorang pakar kanak-kanak di The University of Texas Medical Branch di Galveston, berkata yang masalah paling biasa beliau lihat ialah ibu bapa menambah bijirin kepada susu formula tanpa terfikir tentang tambahan kalori yang mereka beri kepada bayi mereka.

�Saya rasa itu adalah apa ramai orang lakukan tanpa disedari, berpendapat bayi itu akan menjadi semakin sihat atau membesar lebih cepat,� jelas McCormick, yang tidak terbabit dalam kajian tersebut.

�Itulah bagaimana (orang dewasa) menjadi terlebih berat,� katanya. �Mereka makan lebih sedikit daripada yang mereka sepatutnya setiap hari.�

Kajian tersebut menunjukkan berbicara dengan ibu bapa tentang bila untuk menambah makanan pejal bagi diet seorang bayi adalah sesuatu yang pakar pediatrik harus lakukan secara tetap, McCormick berkata. Memberi makanan pejal terlalu awal, sama ada bersama dengan susu formula atau berasingan, �ialah seakan menyediakan anak anda untuk obesiti.�

Lagi, katanya, �Kita tahu dari kajian lain bahawa jika anda terlebih berat badan atau obes pada usia 3 tahun, anda sangat berkemungkinan untuk kekal menjadi obes.�
0

Fakta Tentang Kutu: Fakta Asas, Tanda-tanda, Jangkitan, Rawatan, Jangan.

Fakta Asas

  • Untuk mendapat jangkitan kutu memerlukan sentuhan dari kepala ke kepala.
  • Sesetengah orang tidak menunjukkan sebarang gejala, sesetengah pula berasa gatal kulit kepala.
  • Hanya satu cara sahaja untuk mendapat kepastian tentang jangkitan iaitu dengan membasahkan rambut, membubuh perapi pada rambut dan menyikatnya dengan sikat bergigi halus untuk mengesan kutu hidup (saiz dalam lingkungan 1-3 mm panjang).
  • Rawatan yang paling selamat ialah �penghapusan kutu�, iaitu satu regim penyikatan.

Tanda-tanda


Walaupun sangat kecil, kutu masih boleh dilihat dengan mata kasar. Tanda-tanda kutu:

Telur kutu: Telur kutu kelihatan kecil kekuningan, atau coklat sebelum ia menetas. Setelah menetas, kulitnya yang terlekat pada rambut berwarna putih atau jernih. Kutu bertelur pada rambut dekat dengan permukaan kulit, di mana suhunya adalah sesuai untuk mengekalkan haba sehingga ia menetas. Telur kutu senang dilihat pada rambut kanak-kanak. Telur kutu menetas dalam masa 1 hingga 2 minggu selepas ia dihasilkan.

Seekor kutu.Seekor kutu.
Kutu dewasa dan anak kutu: Kutu dewasa tidak besar, tidak sampai sebesar beras pun dan berwarna kelabu dan coklat. Kutu menghisap darah beberapa kali dalam sehari tetapi ia boleh kekal hidup sehingga 2 hari selepas terjatuh dari kulit kepala.

Menggaru: Menggaru dan kegatalan datang dengan gigitan kutu. Namun kegatalan mungkin tidak terus bermula � ia bergantung kepada kesensitifan kulit kepala kanak-kanak, mungkin datang setelah berminggu-minggu jangkitan. Kanak-kanak mungkin menyatakan ada benda bergerak dan rasa geli di atas kepala mereka.

Benjolan kecil kemerahan atau sakit akibat dari menggaru: Bagi sesetengah kanak-kanak, kegatalan mungkin sederhana, bagi yang selebihnya mungkin menyebabkan bintik merah dan kudis timbul. Menggaru terlalu kuat boleh menyebabkan jangkitan kuman.

Adakah Kutu Boleh Berjangkit?


Kutu adalah sangat boleh berjangkit dan boleh tersebar dengan cepat dari orang ke orang, terutamanya dalam keadaan berkumpulan (sekolah, tadika, aktiviti sukan, perkhemahan). Kutu tidak boleh melompat atau terbang. Kutu hanya boleh berjangkit dengan sentuhan kepala ke kepala, tetapi berkongsi pakaian, topi, sikat, cadar, selimut dan bantal juga boleh menyebarkan kutu.

Adakah kucing, arnab dan haiwan peliharaan lain boleh menyebarkan kutu juga? Jangan risau, haiwan peliharaan tidak boleh mendapat kutu kepala (kutu manusia) dan menyebarkan kepada manusia, dan manusia tidak boleh memberi jangkitan kutu kepala kepada mereka.

Rawatan


Doktor anda mungkin memberi rawatan syampu berubat, bilasan krim atau losyen untuk membunuh kutu. Rawatan-rawatan ini boleh membunuh kutu dengan segera, tetapi kegatalan hanya hilang selepas beberapa hari. Adalah penting untuk menurut arahan dari doktor kerana rawatan ini adalah racun. Sekiranya anak anda adalah 2 tahun dan ke bawah, anda tidak sepatutnya menggunakan rawatan ubat kutu. Anda perlu membuang kutu dengan tangan (menggunakan sikat).

Berikut adalah cara mudah untuk membunuh kutu dan telurnya, dan membantu mencegah jangkitan semula kutu:
  • Basuh semua cadar dan pakaian yang telah dipakai oleh sesiapa sahaja yang telah terkena jangkitan kutu di rumah anda dalam air panas, dan keringkannya di tempat panas.
  • Cuci kering sebarang pakaian dan permainan yang tidak boleh dibasuh dengan mesin. Atau, masukkannya dalam beg kedap udara selama 2 minggu.
  • Bersihkan dengan pembersih hampagas karpet dan perabot upholsteri anda (di rumah atau kereta).
  • Rendam barang penjagaan rambut seperti sikat, pengikat rambut dan berus dalam syampu berubat atau alcohol selama satu jam. Anda juga boleh membasuhnya dengan air panas atau buangkan sahaja ia.
  • Oleh kerana kutu mudah berjangkit dari seorang keseorang dalam rumah yang sama, ahli rumah juga perlu dirawat untuk mengelak dari kutu hadir semula.

Perkara Yang Anda Jangan Buat:

  • Jangan gunakan alat pengering rambut pada rambut anak anda selepas menyapu atau mengenakan sebarang rawatan kulit kepala kerana sesetengahnya mengandungi bahan boleh terbakar.
  • Jangan gunakan bilasan krim atau kombinasi syampu/perapi sebelum membubuh ubat kutu.
  • Jangan basuh rambut anak anda selama satu atau dua hari selepas menggunakan rawatan berubat.
  • Jangan gunakan ubat yang sama lebih dari tiga kali ke atas orang yang sama. Sekiranya ia tidak berkesan, doktor anda akan menyarankan ubat lain.
  • Jangan gunakan lebih dari satu ubat kutu pada masa yang sama.
dari : Fakta Tentang Kutu | Macam-2.com
0

Kanak-kanak sedang bermain.Binalah harga diri kanak-kanak agar mereka punya emosi yang seimbang.

Apakah yang dimaksudkan dengan harga diri?

Harga diri adalah satu cara di mana kanak-kanak menilai diri mereka sendiri.


Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang tinggi?

Kanak-kanak ini :
  • Mudah berkawan.
  • Berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti baru.
  • Mudah bekerjasama dan patuh pada arahan.
  • Boleh mengawal perlakuan.
  • Bermain sendiri dan bersama rakan-rakan lain.
  • Mempunyai idea-idea tersendiri dan kreatif.
  • Riang, bersemangat dan mudah berinteraksi.

Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang rendah?

Mereka :
  • Tidak ceria.
  • Kurang keyakinan diri.
  • Perasaan tidak berguna.
  • Sentiasa berasa letih dan penat.
  • Sering memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.
  • Rasa rendah diri.
  • Sering gagal di sekolah.

Apakah faktor-faktor positif perasaan harga diri?

Faktor-faktor yang menyumbang kepada perasaan harga diri :
  • Kasih sayang.
  • Keselamatan.
  • Panduan.
  • Penghargaan.
  • Galakan.

Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk membina perasaan harga diri yang tinggi?

Anda harus :
  • Berikan pujian pada setiap kejayaan walaupun kejayaan yang kecil.
  • Berikan kasih sayang yang ikhlas.
  • Tunjukkan minat pada setiap masalah,aktiviti atau projek yang dilakukan oleh anak anda.
  • Menerangkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
  • Cuba elakkan segala perlakuan negatif dan bunga-bunga kemarahan.
  • Beri penghargaan atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan atau apa-apa pertuturan yang sopan.
  • Balaslah dengan sifat kasih sayang atas segala perlakuan yang baik.
  • Sekiranya anak anda melakukan sesuatu yang tidak anda senangi, asingkan yang negatif darinya pisahkan perangai yang tidak menyenangkan dari dirinya. Umpamanya 'ibu tidak suka anda membaling-baling permainan, tetapi ibu tetap menyayangimu.'

Faktor-faktor yang boleh menjejaskan perasaan harga diri di kalangan kanak-kanak

  • Menaruh harapan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah ke atas anak-anak.
  • Memarahi atau mengherdik anak-anak terutamanya di hadapan orang lain.
  • Memanggil anak-anak dengan perkataan lembab, bodoh, malas dan sebagainya.
  • Terlalu membela atau tidak mengendahkan anak-anak.
0

Hernia berlaku apabila kecacatan kecil di dinding otot abdomen menyebabkan tisu yang lembut menonjol keluar. Ini kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat. Keadaan yang biasa di alami oleh kanak-kanak ialah hernia pusat. Keadaan ini berlaku di bahagian pusat. Masalah ini disebabkan kelemahan otot pada dinding abdomen semasa kelahiran. Hernia inguinal berlaku di bahagian groin dan biasanya dialami oleh anak lelaki. Kecacatan ini berlaku selepas testikel telah turun ke dalam skrotum. Biasanya hernia pusat tidak memerlukan rawatan kerana keadaan ini akan pulih dengan sendirinya. Hernia inguinal juga boleh pulih sendiri tetapi jika sebahagian kecil usus terperangkap dalam hernia, ini perlu dibetulkan melalui pembedahan.

Hernia inguinal.Adakah keadaan ini serius?

Jika usus tidak terperangkap dalam hernia, keadaan ini biasanya tidak serius.

Tanda-tanda
  • Bonjolan tidak sakit di permukaan kulit berdekatan pusat atau groin yang menjadi besar semasa anak batuk, bersin atau menangis.
  • Muntah dan abdomen terasa sakit jika usus tersepit.
Apakah tindakan pertama?

Cuba tolak hernia dengan lembut. Hernia biasanya boleh ditolak masuk ke dalam dinding otot dengan mengenakan sedikit tekanan.

Perlukah saya berjumpa doktor?

Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anda melihat bonjolan pada perut bayi yang berumur kurang enam bulan. Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika hernia menjadi keras dan bonjolan tidak masuk apabila ditolak dengan lembut atau anak mengalami kesakitan dan muntah.

Apakah tindakan doktor?

Jika hernia terasa keras atau tidak masuk semula, doktor akan merujuk anak kepada pakar pediatrik. Hernia tersebut mungkin perlu dibetulkan melalui pembedahan. Pembedahan bagi hernia sangat mudah. Jika umur anak anda kurang enam bulan dan dia menghidap hernia inguinal, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan untuk mengelak usus dari tersepit.

Bagaimanakah saya boleh membantu?
  • Selagi hernia pusat masih wujud, lakukan pemeriksaan dengan kerap, misalnya selepas mandi, untuk memastikan hernia tidak membesar atau menjadi keras. Pastikan juga hernia masuk semula selepas ditekan.
  • Berbincang dengan doktor tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk menentukan sama ada untuk membiarkan hernia pulih dengan sendiri atau dibedah.
  • Pastikan anda membawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
0

Bakteria dan virus boleh disebarkan ibu kepada bayi ketika melahirkannya dan pada minggu pertama kehidupannya. Walaupun banyak daripadanya tidak mengancam kesihatan bayi, ada sesetengahnya boleh menyebabkan masalah serius termasuk membabitkan kematian.

Ketika di dalam kandungan, bayi membesar dalam persekitaran yang �distenil�, tetapi sebaik saja membran ketuban merekah, mikrob masuk ke dalam persekitaran itu. Ia kemudian mendedahkan bayi kepada bakteria dan virus buat pertama kalinya.

Sebaik saja bayi meluncur keluar daripada rahim menerusi pangkal lahir dan masuk ke saluran peranakan, bayi bersalut dengan organisma yang berada di vagina atau kulit ibu. Ini termasuk bakteria yang menyebabkan penyakit kelamin.

Cecair tubuh termasuk darah yang melindungi bayi mendedahkan mereka kepada jangkitan seperti HIV atau hepatitis B dan C.

Laluan usus bayi akan �dijajah� sebaik saja kelahiran. Dalam beberapa hari, bakteria seperti E-coli, enterococcus dan bifidobacterium muncul pada najisnya. Keadaan ini penting kerana ia membantu menstimulasi perkembangan sistem imun bayi.

Bakteria ini datang daripada ibu atau tempat lain dalam persekitaran seperti wad bersalin. Bayi yang lahir menerusi pembedahan tidak melalui saluran peranakan justeru dia lambat terdedah kepada bakteria sebegini.

Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi, ketika menyusu atau sewaktu ibu memegang bayi juga menyebabkan banyak bakteria dipindahkan kepada bayi. Sekitar 30 peratus bayi yang baru lahir terdedah kepada bakteria staphylococcus pada minggu pertama kelahirannya, tetapi bakteria pada kulit tidak mengancam kesihatan.

Bagaimanapun, kadang kala bayi terdedah kepada bakteria yang bahaya seperti MRSA (methicillin resistant staphylococcus aureus) atau streptococcus kumpulan B (GBS).

Seorang daripada empat wanita membawa bakteria ini dalam vaginanya walaupun tiada simptom. Kadangkala dia tidak tahu kewujudan bakteria itu. Bayi terdedah kepada bakteria berkenaan ketika sakit hendak bersalin atau ketika dilahirkan. Di United Kingdom, GBS adalah jangkitan mengancam nyawa yang paling biasa di kalangan bayi yang baru lahir.

Faktor yang menyebabkan GBS dipindahkan:
  • Kelahiran pra matang (sebelum 37 minggu).
  • Air ketuban pecah 18 atau 24 jam sebelum bersalin.
  • Demam hingga 38 darjah celsius.
  • GBS dikesan dalam air kencing ibu ketika hamil.
  • Anak sebelumnya berhadapan dengan jangkitan GBS.
Walaupun kebanyakan bayi yang terdedah dengan GBS tidak berhadapan dengan sebarang masalah, setiap tahun sekitan 700 bayi diserang pneumonia dan meningitis disebabkan jangkitan itu. Satu daripada 10 bayi dilaporkan meninggal dunia.

GBS sukar dibasmi tetapi jika seseorang wanita itu dikenal pasti memiliki risiko tinggi memindahkan jangkitan kepada bayinya, dia sepatutnya diberikan antibiotik sebaik saja proses melahirkan bermula.Selalunya ia cukup untuk mencegah jangkitan daripada ibu kepada bayi.

Virus Herpes simplex

Virus ini boleh menyebabkan penyakit kelamin. Jika menjangkiti bayi, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti cerebral palsy dan buta. Laluan paling mendedahkan bayi dengan virus ini adalah saluran peranakan tetapi jangkitan boleh juga tenjadi di dalam rahim atau selepas dilahirkan.

HIV

HIV boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil, sakit bersalin atau ketika menyusukan bayi. Jika ubat antiviral tidak diberi, bayi yang dilahirkan wanita positif HIV berisiko untuk dijangkiti hingga 30 peratus. Bayi akan dijangkiti ketika ibu hamil atau ketika melahirkan.

Jangkitan daripada ibu kepada anak boleh dibendung dengan penggunaan ubat tertentu, melahirkan bayi dengan pembedahan dan memberi anak susu formula.

Hepatitis B

Wanita yang membawa virus hepatitis B berisiko menjangkitkan anak mereka dengan virus ini ketika melahirkannya. Selain itu, ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan darah atau cecair tubuh yang lain.
0

Terapi gen merupakan satu kaedah rawatan pembetulan gen yang rosak bagi penghidap penyakit warisan. Kaedah ini mula digunakan dalam rawatan penyakit kurang daya tahan genetik (genetic immunodeficiency) yang dikenali sebagai kekurangan Adenosina Deaminase (ADA) atau ADA(-). Enzim ADA ini perlu bagi melengkapkan pembentukan dan perkembangan sistem imunisasi badan.

Penyakit ADA(-)menyerang bayi yang baru lahir dan menyebabkan kematian. Bayi tersebut tidak mampu menghasilkan sistem antibodi dan imunisasi yang sempurna. Mereka mudah diserang penyakit seperti tetanus, difteria, penyakit jangkitan pernafasan, campak, dan pneumonia. Sesetengah pesakit pula langsung tidak mempunyai sistem antibodi dan imunisasi. Ini dikenali sebagai gabungan kurang daya tahan yang tenat (severe combined immunodeficiency - SCID). Biasanya, kanak-kanak yang mempunyai penyakit ADA(-)SCID sentiasa mengalami jangkitan virus, kulat, dan bakteria yang berulang-ulang serta mempunyai risiko jangkitan awal kanser yang tinggi.

Kaedah rawatan terbaik bagi penyakit ini ialah terapi gen. Dengan kaedah ini gen ADA normal daripada penderma dimasukkan ke dalam sumsum tulang yang merupakan organ penghasil sel darah utama. Namum begitu, kaedah ini melibatkan pengasingan sumsum tulang yang amat sukar dilakukan. Kaedah lain yang lebih mudah ialah dengan menggunakan sel T limfosit.

Limfosit atau set darah putih bertanggungjawab mencegah penyakit dan juga melawan sel kanser. Gen ADA normal daripada sel T limfosit diasing dan dipindahkan ke dalam sel manusia melalui vektor retrovirus iaitu gen sejenis virus yang dipinda. Sebahagian daripada gen virus tersebut diganti dengan gen ADA normal manusia yang hendak dipindahkan. Vektor virus tersebut kemudian dicampur dan dibiakkan bersama dengan sel normal manusia di dalam makmal. Vektor itu kemudiannya memasuki sel normal tersebut lalu membentuk gen baru dan tinggal kekal dalam kromosom tersebut. Gen baru itu dikenali sebagai gen berperantaraan virus.

Pemindahan gen berperantaraan virus yang baru ke dalam sel T limfosit pesakit ADA(-)SCID dilakukan secara suntikan intravena. Dengan itu gen ADA(-) dapat dibaiki supaya kembali menghasilkan enzim ADA normal. Sel T limfosit yang dibaiki gen ini boleh hidup secara normal dalam tubuh penerima. Malah ia hidup lebih lama berbanding dengan sel T limfosit yang tidak dibaiki. Penanaman sel yang dibaiki gen perlu dilakukan secara berterusan sekali dalam beberapa bulan. Sebaliknya, jika terapi gen pada sel batang sum-sum tulang dapat dilakukan, kanak-kanak penghidap ADA(-)SCID mungkin dapat disembuhkan sepenuhnya dengan satu rawatan sahaja tanpa memerlukan penanaman gen ADA baru secara berterusan.
0

Pakar dermatologi menyarankan individu yang mudah menghidap ekzema, supaya melindungi kulit mereka daripada terdedah kepada faktor penyebab penyakit itu dengan menggunakan pelembap yang sesuai.

Ekzema adalah penyakit berkaitan genetik yang mana sistem imunisasi individu bertindak keterlaluan terhadap alergen (bahan penyebab alahan) dan menyebabkan kulit mengalami keradangan, iritasi dan bengkak. Dalam keadaan sederhana, ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, pedih dan gatal. Bagi kes yang lebih teruk, kulit boleh merekah, melecet dan berdarah.

Perunding kanan dematologi, Dr Steven Chow, berkata di beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat kajian yang dijalankan terhadap kesan ekzema menunjukkan peningkatan kes ekzema mempunyai kesan besar kepada kos kesihatan.

"Melainkan mereka yang mempunyai risiko seperti kanak-kanak mempunyai pelan pengurusan jangka panjang, permintaan bagi rawatan akan terus meningkat oleh kerana kemungkinan pengulangan keradangan, walaupun setelah dewasa. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari akan kepentingan penggunaan pencuci sederhana digabungkan dengan pelembap terhadap anak mereka yang mempunyai kulit sensitif. Rawatan mudah dan kos efektif berguna ini akan membantu mengurangkan pengulangan keradangan," katanya.

Pemerhatian menunjukkan permintaan bagi rawatan ekzema di Malaysia meningkat 20 peratus sejak 2001 yang mana sebahagian besarnya menjejaskan kanak-kanak.

Ekzema atopi diramalkan akan memberi kesan kepada sehingga 14 peratus kanak-kanak yang menunjukkan risiko berkaitan dengan atopi seperti demam alergi dan asma. Beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca.

Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan kesan alergi kepada individu yang mudah menghidap ekzema.

Dr Chow berkata, kaji selidik bebas yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 23 peratus daripada individu yang menghidap dermatitis atopi tidak menggunakan pelembap dan 29 peratus tidak menggunakan pencuci yang sesuai. Berdasarkan kaji selidik itu, keputusan yang sama juga dijangka berlaku di negara ini.

"Dengan mengenalpasti dan menghindari penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, ahli keluarga dan individu boleh mencapai pengawalan ekzema dalam jangka masa panjang yang juga boleh mengurangkan perbelanjaan mereka dalam penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, perunding dermatologi, Dr Mardziah Alias, berkata penggunaan sabun dan bahan cuci kasar adalah penyebab biasa ekzema kerana ia mengandungi bahan kimia yang boleh menghilangkan kelembapan kulit.

"Produk pencuci yang tidak sesuai akan mengikis lapisan perlindungan semulajadi pada kulit yang sensitif. Ia mengakibatkan kitaran yang menghasilkan tindakan balas yang menyebabkan keradangan," katanya.

Beliau berkata, menggunakan pelembap adalah elemen yang tidak diendahkan dalam penjagaan kulit dan ia sangatlah penting bagi ibu bapa yang prihatin terhadap anak mereka yang mempunyai sejarah ekzema dalam keluarga mereka.

"Kumpulan individu ini perlu memilih pelembap yang tidak mengandungi pewangi atau bahan awet untuk menghindari sebarang iritasi kulit. Paling baik ialah krim yang mempunyai dwifungsi untuk melembap dan pada masa sama sebagai agen anti-keradangan untuk melegakan kulit," katanya.

Oleh itu, katanya, dengan mengikut nasihat doktor, menggunakan produk sesuai dan mengamalkan regim penjagaan kulit yang betul, individu mungkin mampu mengawal ekzema dalam jangka masa panjang.
0

Oleh Dr. Tam Cai Lian
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Petaling Jaya, Selangor


"Cikgu tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!". Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.

Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa.

Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum. Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.

Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental.

Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.

Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi.

Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya. Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).

Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:
Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya.

Menurut aduannya: "Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa."

Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang-barang yang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan.

Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major.

Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu
berterusan.

Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas. Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syanikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).

Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik di sekolah rendah, menengah ataupun Pusat pengajian tinggi.

Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan yang menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi. Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda dibawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major:
  1. Berasa murung hampir setiap hari.
  2. Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
  3. Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
  4. Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
  5. Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
  6. Berasa letih dan tidak bermaya.
  7. Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
  8. Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
  9. Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.
Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Sejak dari sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah ibu bapa.

Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa banyak A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.

Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan.

Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja.

Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.

Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal.

Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi.

Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.

Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.

Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi.

Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan.

Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya. Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira.

Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menamhah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkan insiden membunuh diri.

Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak?

Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
0

Dr. Shatriah Ismail, Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, USM Kelantan.

Penyakit selaput mata pada kanak-kanak juga dikenali sebagai penyakit katarak kongenital dalam bahasa perubatan. Katarak kongenital ialah satu keadaan di mana kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lut cahaya telah bertukar menjadi keruh dan keadaan ini dikesan selepas kelahiran.

Kanta mata berfungsi untuk memfokus cahaya yang masuk ke dalam mata dan membentuk imej pada retina. Penyakit katarak menghalang cahaya masuk ke dalam mata dan menyebabkan imej yang kabur terhasil pada retina mata.

Penyakit ini boleh menjejaskan penglihatan pesakit dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dirawat dari peringkat awal lagi. Katarak kongenital boleh berlaku pada satu mata sahaja ataupun melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki ataupun perempuan.

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mewarisinya. Katarak kongenital dilaporkan berlaku antara satu hingga enam kes dalam setiap 10,000 kelahiran di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tidak terdapat data yang lengkap tentang insiden kes-kes katarak kongenital di negara lain di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan jumlah kes katarak kongenital mungkin dikesan dalam jumlah yang lebih tinggi di negara-negara sedang membangun.

Punca

Keadaan katarak kongenital yang berlaku pada satu mata sahaja merupakan kes jarang-jarang berlaku. Pesakit yang mengalami katarak kongenital pada satu mata sahaja biasanya turut mengalami kecacatan kongenital mata yang lain seperti keabnormalan struktur hadapan mata, keabnormalan struktur primer vitreous (gelemaca) dan satu keadaan dikenali sebagai lentikonus posterior.

Pesakit yang mengalami masalah katarak kongenital pada kedua-dua belah mata pula biasanya mempunyai sejarah keluarga penyakit katarak kongenital serta beberapa penyakit yang lain. Antaranya ialah kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.

Gangguan metabolik seperti hypoglisemia, hyperglysemia, hypokalsemia dan galaktosemia turut menyebabkan berlakunya penyakit katarak kongenital. Pesakit yang mengalami penyakit seperti sindrom Down, sindrom Edward dan sindrom Patau juga dilaporkan berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.

Tanda-tanda

Penyakit katarak kongenital boleh dikesan seawal bulan pertama kelahiran. Antara tanda awal ialah anak mata hitam kelihatan berwama putih. Keadaan ini boleh berkekalan untuk satu tempoh masa yang lama atau menjadi lebih serius secara perlahan-lahan.

Keadaan ini menyebabkan penglihatan kanak-kanak berkenaan menjadi kabur dan terhad. Mereka juga sukar untuk mengenali objek yang kecil dan halus. Kanak-kanak dengan masalah ini menunjukkan gejala silau pada cahaya matahari dan perkembangan fizikal yang perlahan berbanding kanak-kanak normal yang lain.

Sekiranya mata kanak-kanak menjadi juling dan keadaan bola mata yang bergerak-gerak (nystagmus), ini menunjukkan penyakit katarak kongenital berada pada peningkat yang kritikal.

Komplikasi

Penglihatan kanak-kanak yang kabur ini sebenarnya mengganggu perkembangan otak. Umur sekitar empat bulan hingga dua tahun pertama sangat kritikal untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.

Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali pelbagai jenis objek. Sekiranya proses ini terganggu, kanak-kanak itu tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berkembang dan berfungsi dengan baik.

Fenomena ini juga dikenali sebagai amblyopia atau mata malas. Kanak-kanak dengan masalah ini hanya boleh mengenali objek yang besar dan ini akan mengganggu proses pembelajaran terutamanya kebolehan menulis dan membaca.

Kaedah Rawatan

Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata. Pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang serius pula mungkin perlu menjalani pembedahan.

Bagi pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang minimum pula, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan pakar mata secara berkala bagi memastikan keupayaan penglihatan berada pada tahap yang memuaskan.

Pembedahan katarak perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengelakkan risiko pesakit menjadi buta. Kanta mata tiruan juga mungkin perlu dimasukkan ke dalam mata semasa pembedahan bagi menggantikan kanta mata asli yang telah bertukar menjadi keruh. Antara pilihan selain pembedahan ialah kanta sentuh atau cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal.

Kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak juga akan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar mata dari semasa ke semasa. Perkara ini penting bagi memastikan pesakit dapat melihat dengan baik selepas pembedahan.

Salah Anggapan Masyarakat

Masyarakat kita biasanya mempunyai tanggapan yang salah mengenal penyakit katarak kongenital. Antaranya ialah:
  • Pembedahan katarak menyebabkan mata buta
  • Tunggu hingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu sebelum diberi rawatan atau pembedahan
  • Tiada rawatan yang khusus untuk merawat penyakit ini
Anggapan bahawa pembedahan katarak menyebabkan mata menjadi buta adalah salah sama sekali. Pembedahan katarak boleh mengembalikan penglihatan pesakit ke tahap yang lebih baik dan ia perlu dilakukan seawal selepas diagnosis dibuat.

Sekiranya pembedahan dibuat selepas pesakit menunjukkan tanda-tanda ambylopia, keupayaan melihat pesakit bukan lagi berada pada tahap yang maksimum.

Pesakit mungkin perlu menjalani rawatan lanjut bagi rnengatasi masalah amblyopia. Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu juga perlu dihindari sebelum pesakit mencapai tahap amblyopia dan keupayaan melihat yang terhad ini akan berkekalan sepanjang mereka membesar sehingga dewasa. Keadaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya pesakit turut tidak menjalani sebarang rawatan untuk masalah amblyopia.

Penyakit katarak kongenital kini boleh dirawat menggunakan cara rawatan dan teknologi moden. Anggapan bahawa tiada rawatan khusus untuk penyakit ini adalah amat tidak tepat. Rawatan ini disediakan oleh semua hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi di seluruh Malaysia.

Peranan ibu bapa

Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.

Segeralah membawa anak berjumpa doktor pakar mata sekiranya mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas. Penyakit katarak kongenital boleh dirawat dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga menyebabkan pesakit menjadi buta.

Rawatan awal amat penting bagi membolehkan pesakit mempunyai keupayaan melihat yang baik dan jelas sepanjang pembesaran mereka dan apabila dewasa kelak. Budaya 'tunggu dulu' dan 'tidak apa' juga perlu dikikis dari masyarakat kita. Anak-anak kita berhak membesar dengan penuh keriangan dan keceriaan.

Oleh itu, janganlah kita sebagai ibu bapa membiarkan mereka membesar dalam dunia yang penuh kegelapan.
0

Alasan sakit perut kanak-kanak mungkin bukan satu penipuan tetapi akibat sakit perut kronik yang dialami oleh satu daripada lima kanak-kanak.

Kajian di sebuah sekolah di Britain menunjukkan masalah sakit perut kronik lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak perempuan. Lebih 30 peratus kanak-kanak perempuan yang dipantau melaporkan sakit perut berpanjangan sementara hanya 13 peratus kanak-kanak lelaki melaporkan masalah sama.

Kebanyakan kanak-kanak dengan masalah sakit perut ini tidak menunjukkan masalah fizikal atau melibatkan masalah kedatangan haid tetapi kebanyakannya dilihat mempunyai bersifat kompulsif, ketegangan (cemas) dan mementingkan kesempurnaan.

Beberapa penyelidikan lain pula dikatakan telah mengaitkan masalah sakit perut kronik ini sebagai petanda awal masalah psikologi dan masalah sistem penghadaman apabila dewasa kelak. Sebelum ini, masalah psikologi juga telah dikaitkan dengan masalah sakit perut yang bukan berpunca daripada sebarang penyakit bagi golongan dewasa.
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →