Menu
Showing posts with label Kulit - Dermatologi. Show all posts
Showing posts with label Kulit - Dermatologi. Show all posts

  • Sejenis penyakit kulit.
  • Umumnya terbahagi kepada tiga jenis iaitu seborrhoeic keratoses, melasme dan skin tag;
    • Seborrhoeic keratoses timbul seperti biji hitam atau tahi lalat hidup.
    • Melasme - tompok hitam atau kelabu leper di bawah lapisan kulit.
    • Skin Tag - Daging lebih berwarna coklat atau kelabu yang kebiasaannya ada pada ketiak dan teher.
  • Jeragat tidak berbahaya namun menyebabkan kulit muka individu kusam dan kotor.
  • Rawatan melalui pembedahan atau sapuan krim.
  • Individu berusia 40 tahun ke atas lebih tinggi risiko berjeragat.


Kulit
  • Kulit adalah organ terbesar yang memiliki berat sekitar enam paun, kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.
  • Kulit memerlukan tiga vitamin, A, C dan E untuk kekal sihat.
  • Pengambilan makanan seimbang serta pemakanan tambahan baik untuk mendapatkan kulit sihat.
  • Vitamin A, C dan E, selenium dan zink adalah antioksidan yang membantu membaik pulih kolegen dan pemutihan kulit.
  • Asid lemak (EFAs) penting sebagai membentuk lapisan yang menghalang kehilangan kelembapan kulit, penting bagi mengatasi masalah kedutan dan kering.
  • Kandungan air penting untuk kelembapan kulit.
  • Kulit manusia terbahagi kepada dua lapisan utama iaitu epidermis dan dermis.
  • Secara saintifik, kulit mengawal suhu badan, menyimpan air, lemak dan vitamin D.
  • Kulit yang terdedah pada cahaya matahari menghasilkan pigmen melanin yang berlebihan untuk melindungi daripada pancaran UV sehingga menyebabkan pigmentasi.
  • Masalah tekanan seperti eczema akan merosakkan kulit.

Penjagaan kulit
  • Kulit harus dibasuh, dilindungi dengan krim pelembap dan pelindung matahari.
  • Lindungi kulit daripada sinaran matahari dari jam l2 tengah hari sehingga 4 petang.
  • Gunakan krim tabir suria dengan SPF15 dan ke atas.
  • Jika bersolek, gunakan kosmetik dengan pelindung sinaran matahari SPF15 dan ke atas.
  • Jangan merokok dan jauhkan diri daripada asap rokok.
  • Gunakan krim pelembap untuk mencegah kekeringan kulit.
  • Cahaya matahari yang mengandungi sinaran UV mempercepatkan proses penuaan dan pigmentasi, elakkan kulit terdedah terlalu lama pada cahaya matahari.
0

Jeragat adalah sejenis penyakit kulit yang tidak berbahaya tetapi kehadirannya menyebabkan kulit wajah seseorang kelihatan tidak sihat, selain menjejaskan penampilan individu.

Jeragat yang menyerang sekitar bibir.Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, berkata, makna jeragat terlalu meluas dalam kamus perubatan, namun, masyarakat khususnya orang Melayu mengenali jeragat sebagai tompok hitam atau pigmentasi pada kulit atau biji hitam seperti tahi lalat yang bertapak secara berkelompok di beberapa bahagian badan, wajah dan leher.

"Jeragat bagi pemahaman masyarakat tergolong kepada dua jenis iaitu pigmentasi (tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil pada
kulit). Masalah pigmentasi adalah seperti melasme, freckles atau solar lentigenes.

"Masalah biji atau ketumbuhan pula seperti seborrhoeic keratoses (biji hitam yang timbul seperti tahi lalat yang tumbuh secara berkelompok), actinic keratoses dan skin tag (lebihan daging berwarna coklat atau hitam) yang kebiasaannya tumbuh pada leher, muka dan celah ketiak.

"Walaupun jeragat tergolong sebagai penyakit kulit ia tidak menimbulkan kesan memudaratkan kecuali kaedah rawatan dan bahan yang digunakan tidak bersesuaian atau perlakuan fizikal di sekitar kulit berjeragat seperti mengutil dan mencabut mampu menyebabkan kesan luka, berdarah dan bernanah pada kawasan bermasalah," katanya.

Beliau berkata, ada beberapa faktor menyebabkan kulit ditumbuhi jeragat iaitu kesan cahaya matahari dan faktor genetik. Bagi pengambilan ubat-ubatan seperti pil perancang pula boleh menyebabkan potensi kulit berjeragat terhadap individu lebih tinggi.

"Kebiasaannya jeragat menyerang wanita pertengahan umur seperti 40 tahun ke atas. Tetapi tidak mustahil golongan awal 20-an juga berdepan dengan masalah ini berikutan jeragat juga berpunca daripada faktor genetik.

"Bagi wanita yang terdedah dengan cahaya matahari, risiko berdepan kulit berjeragat lebih besar.

"Malah, masalah pigmentasi juga dikesan daripada pengambilan ubat seperti pil perancang, amiodarone, bleomycine, chloroquine, antibiotic seperti minocydine dan lain-lain lagi," katanya.

Dr Norazhah berkata, jeragat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit bermasalah atau secara fizikal melalui teknik pembedahan tertentu. Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis jeragat.

Katanya, bagi jeragat timbul seperti seborrhoeic keratoses, actinic keratoses dan skin tag, rawatan fizikal adalah cara terbaik manaka penggunaan krim adalah tidak sesuai.

"Seborrho keratoses boleh dirawat dengan rawatan fizikal menggunakan electrocautery iaitu alat cautery yang menghasilkan 'heat' (haba) yang berfungsi memusnahkan kelompok bintik hitam berkenaan atau rawatan Cryotherapy yang menggunakan cecair nitrogen atau rawatan pembedahan laser.

"Rawatan bagi melasme pula adalah sapuan krim seperti krim hydroquinone, krim daripada kombinasi hydroquinone, tretinoin dan steroid, krim isotrenoin atau pengelupasan kimia," katanya.

Beliau berkata, melasme sering menyerang wanita kerana selain daripada pendedahan cahaya matahari dan faktor genetik, melasme juga berpunca daripada kehamilan atau pengambilan pil perancang.

Katanya, melasme iaitu pigmentasi atau tompok leper berwarna kelabu atau hitam yang ada di bawah lapisan kulit ini, kebiasaannya boleh dirawat dengan rawatan krim, tetapi ada juga pigmentasi yang tebal dan dalam yang mungkin memerlukan rawatan fizikal untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

"Bagi mengatasi masalah jeragat, wanita disaran lebih peka terhadap penjagaan kulit termasuk mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan krim pelindung matahari sekiranya melakukan aktiviti luar selain mendapat rujukan doktor untuk mengenalpasti penyebab dan rawatan sesuai.

"Semakin berusia individu itu semakin banyak jeragat yang timbul pada kulit. Walaupun jeragat adalah penyakit kulit, ia tidak berbahaya atau mengancam nyawa. Tetapi bagi warga tua yang menghadapi masalah jeragat serius mereka disaran berjumpa doktor kerana dibimbangi ia bukan jeragat biasa tetapi sejenis kanser kulit,�. katanya.
0

Pakar dermatologi menyarankan individu yang mudah menghidap ekzema, supaya melindungi kulit mereka daripada terdedah kepada faktor penyebab penyakit itu dengan menggunakan pelembap yang sesuai.

Ekzema adalah penyakit berkaitan genetik yang mana sistem imunisasi individu bertindak keterlaluan terhadap alergen (bahan penyebab alahan) dan menyebabkan kulit mengalami keradangan, iritasi dan bengkak. Dalam keadaan sederhana, ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, pedih dan gatal. Bagi kes yang lebih teruk, kulit boleh merekah, melecet dan berdarah.

Perunding kanan dematologi, Dr Steven Chow, berkata di beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat kajian yang dijalankan terhadap kesan ekzema menunjukkan peningkatan kes ekzema mempunyai kesan besar kepada kos kesihatan.

"Melainkan mereka yang mempunyai risiko seperti kanak-kanak mempunyai pelan pengurusan jangka panjang, permintaan bagi rawatan akan terus meningkat oleh kerana kemungkinan pengulangan keradangan, walaupun setelah dewasa. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari akan kepentingan penggunaan pencuci sederhana digabungkan dengan pelembap terhadap anak mereka yang mempunyai kulit sensitif. Rawatan mudah dan kos efektif berguna ini akan membantu mengurangkan pengulangan keradangan," katanya.

Pemerhatian menunjukkan permintaan bagi rawatan ekzema di Malaysia meningkat 20 peratus sejak 2001 yang mana sebahagian besarnya menjejaskan kanak-kanak.

Ekzema atopi diramalkan akan memberi kesan kepada sehingga 14 peratus kanak-kanak yang menunjukkan risiko berkaitan dengan atopi seperti demam alergi dan asma. Beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca.

Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan kesan alergi kepada individu yang mudah menghidap ekzema.

Dr Chow berkata, kaji selidik bebas yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 23 peratus daripada individu yang menghidap dermatitis atopi tidak menggunakan pelembap dan 29 peratus tidak menggunakan pencuci yang sesuai. Berdasarkan kaji selidik itu, keputusan yang sama juga dijangka berlaku di negara ini.

"Dengan mengenalpasti dan menghindari penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, ahli keluarga dan individu boleh mencapai pengawalan ekzema dalam jangka masa panjang yang juga boleh mengurangkan perbelanjaan mereka dalam penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, perunding dermatologi, Dr Mardziah Alias, berkata penggunaan sabun dan bahan cuci kasar adalah penyebab biasa ekzema kerana ia mengandungi bahan kimia yang boleh menghilangkan kelembapan kulit.

"Produk pencuci yang tidak sesuai akan mengikis lapisan perlindungan semulajadi pada kulit yang sensitif. Ia mengakibatkan kitaran yang menghasilkan tindakan balas yang menyebabkan keradangan," katanya.

Beliau berkata, menggunakan pelembap adalah elemen yang tidak diendahkan dalam penjagaan kulit dan ia sangatlah penting bagi ibu bapa yang prihatin terhadap anak mereka yang mempunyai sejarah ekzema dalam keluarga mereka.

"Kumpulan individu ini perlu memilih pelembap yang tidak mengandungi pewangi atau bahan awet untuk menghindari sebarang iritasi kulit. Paling baik ialah krim yang mempunyai dwifungsi untuk melembap dan pada masa sama sebagai agen anti-keradangan untuk melegakan kulit," katanya.

Oleh itu, katanya, dengan mengikut nasihat doktor, menggunakan produk sesuai dan mengamalkan regim penjagaan kulit yang betul, individu mungkin mampu mengawal ekzema dalam jangka masa panjang.
0

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →