Menu

Jangan Marah Anak Depan Orang Ramai. Sebelum Tengking Atau Pukulnya, Siasat Punca Dia Nakal


Kebanyakan ibu ayah akan terus marah anak depan orang ramai kalau dia buat nakal. Jarang kita nak siasat punca kenakalannya kerana apa yang penting anak yang buat salah mesti terus dihukum supaya orang tak cakap yang kita ini tak tahu ajar anak!
Mendidik anak tak dengar cakap dan menjadikannya patuh bukan satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kesabaran dan cara yang betul. Kalau anak selalu buat hal memang boleh menjengkelkan ibu ayah.
Apatah lagi kalau dia buat perangai di tempat awam seperti pusat membeli-belah, jemputan majlis dan lain-lain tempat yang ramai orang. Anak seperti ini akan berlari ke sana ke mari di depan orang ramai, adakalanya turut mengganggu orang lain di sekelilingnya.
Tindakan biasa kebanyakan ibu bapa adalah menghukum si anak dengan kekerasan seperti dipukul, dimarahi atau dijerkah agar mereka berhenti daripada melakukan perkara yang menyebabkan orang lain menyampah. Semua tindakan dilakukan bertujuan untuk membuatkan anak insaf dan tak mengulangi lagi perbuatannya, tetapi adakah cara kita ini tepat dan benar-benar mengajar anak?
Kadang-kala kita memang tak mahu pun bertindak kasar pada anak tetapi disebabkan tertekan dengan tingkah laku mereka lalu tanpa sedar kita cuba menghentikan perbuatan tersebut dengan kekerasan. Hakikatnya dalam hati ibu dan ayah, terselit rasa kasihan pada si anak.
Mungkin sedikit tips ini boleh membantu kita menghadapi kerenah si kecil yang 'nakal' dan selalu buat perangai.
1. Tunjukkan contoh yang baik pada anak
Ini adalah cara yang paling mudah untuk menjadikan anak nakal jadi mendengar kata. Pada umumnya anak akan meniru apa yang dia lihat dan dengar. Kalau nak anak bersikap baik maka tunjukkanlah contoh yang baik. Kalau anak selalu tengok kelakuan baik ibu ayah dan cara bercakap ibu ayah yang lemah lembut, maka lama-kelamaan akand ditiru oleh si kecil. Bukankah anak kecil belajar lebih banyak melalui apa yang dia lihat berbanding apa yang dipesan.
2. Jangan panggil anak 'nakal' walaupun perangai mereka memang nakal
Elakkan mulut anda daripada selalu menyebut anak anda nakal. Contohnya, "Kenapa, nakal sangat ni?", "Aisy ni nakal ya!". Bukankah apa yang keluar dari mulut ibu dan ayah itu satu doa. Jadi, cakaplah yang baik-baik pada anak anda. Lagipun kalau anda selalu sebut mereka nakal ia tidak baik untuk perkembangan emosi anak juga. Mereka juga ada perasaan, bila selalu dipanggil nakal, lama-kelamaan mereka rasa sia-sia sahaja bila berbuat baik sebab ibu ayah asyik nampak kenakalan mereka sahaja. Selain itu ia juga boleh menyebabkan anak rasa rendah diri. Sebaiknya jika anak ini berbuat nakal, berikan nasihat dan kata-kata positif supaya dia tahu yang dirinya disayangi dan ibu ayah suka anak yang baik dan dengar cakap. Berikan juga peluang untuknya memberitahu apa alasan tentang perbuatan nakalnya. Jangan lupa pandang tepat pada mata anak anda semasa menasihatinya.
3. Hadapi kenakalan anak dengan tenang
Bila anak buat nakal terutama di depan orang ramai, anda janganlah cepat hendak menghukumnya tanpa usul-periksa. Sebaiknya kawal emosi marah anda dan cuba hadapi kenakalan anak dengan tenang.
Anda perlu ingat, kadang-kala tak semua kenakalan anak dilakukan dengan sengaja. Mungkin ketika itu dia terpengaruh dengan kawannya atau suasana sehingga dia menjadi nakal daripada biasa.
Cara yang tepat adalah menasihatinya dengan lembut atau tarik dia dari suasana orang ramai untuk anda bercakap dengannya. Ingatlah yang anak sudah menanggung malu kerana kenakalannya di depan orang ramai jadi kalau anda terus menengkingnya, ia akan terus membuatkan anak malu dan marah. Sebagai ibu bapa, tidak seharusnya anda membuatkan anak rasa malu dengan memarahinya di depan orang ramai.
4. Jangan terlalu manjakan anak
Sedar atau tidak kadang-kala kenakalan anak disebabkan oleh sikap ibu bapa sendiri yang terlalu memanjakannya. Anak yang selalu dimanja dan semua keinginannya dipenuhi akan sukar dikawal. Oleh itu pastikan anda tidak terlalu mengikut kehendak anak. Anak mesti diasuh supaya tidak semua yang diinginkan boleh diperolehi dengan mudah.
5. Berusaha menjadi ibu bapa yang konsisten
Bila bergelar ibu bapa, anda seharusnya ada peraturan yang mesti dipatuhi oleh anak. Tapi jangan sekali-kali biasa menghukum anak dengan hukuman fizikal yang tidak sesuai dengan usianya kerana itu boleh mengganggu emosi dan jiwanya. Sebaiknya beritahu anak apakah peraturan yang dia mesti patuhi dan mesti menghormatinya. Bila sudah ada peraturan dan disiplin yang ditentukan, pastikan anda tegas melaksanakannya. Jangan terlalu mudah bertolerensi dengan anak kerana lama-kelamaannya dia tahu kelemahan anda dan mudah dia melanggar peraturan tersebut. Secara tak langsung ini boleh membuatkan anak tidak menghormati anda sebagai ibu ayah.

No comments:

Post a Comment

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →