Menu

Anak Suka Memanjat Bagus Untuk Perkembangan Motor Kasar Dan Skill Bercakap. Jadi Jangan Halang Anak Sebab Takut Jatuh, Sebaliknya Awasi Mereka


Anak suka memanjat bukanlah satu tanda yang menunjukkan anak ada masalah tapi ia adalah salah satu skil yang penting dalam perkembangan motor kasar. Selalunya skill memanjat ini akan bermula sejak anak mula belajar merangkak semasa umur 7-10 bulan.
Bagaimanapun, kebanyakan mak ayah sibuk bekerja waktu siang bila balik rumah dah penat tak larat nak bawa anak ke taman. Jadi, anak tak ada cara lain untuk memenuhi keperluan deria vestibular selain memanjat di dalam rumah.
Tapi mak ayah....
1. Anak nak naik turun tangga dirumah dihalang sebab takut anak jatuh, tak pun di dukung terus. Ada kes yang saya terima, ada yang umur 2 tahun tak pernah diberi naik tangga.
2. Anak nak panjat grill rumah, kena marah siap kena rotan.
3. Anak panjat sofa, kena marah sebab takut sofa rosak.
4. Anak panjat meja, kena marah takut jatuh.
5. Anak nak panjat tangga gelongsor ditaman, mak ayah kata "esok, esok" tapi tak ada juga bawa. Bila anak merengek nak keluar ke taman, mak ayah buka tv dan beri gajet untuk hilangkan "kempunan" memanjat anak.
Jadi, bila masanya anak nak belajar memanjat?
Macam mana anak nak belajar mengenal ketinggian dengan betul sekiranya tak diberi kebebasan memanjat ataupun tak pernah memanjat?
Ramai klien saya yang mengadu anak suka memanjat, ada yang sehingga umur 5 tahun. Apabila melalui ujian penilaian, kebanyakannya ada masalah hyposensitif atau hypersensitif terhadap deria vestibular yang menyebabkan masalah-masalah lain berkaitan pergerakan dan keseimbangan diri seperti:
1. Mudah terjatuh kerana tidak boleh mengagak ketinggian lantai.
2. Mengelak/Tak nak duduk di buaian.
-Takut apabila kaki tak jejak tanah.
3. Lambat/ perlu bantuan pemegang tangga semasa naik turun tangga walaupun sudah umur 5 tahun.
-Perlu tengok dan teliti setiap anak tangga.
4. Takut untuk duduk di mangkuk tandas, menyukarkan proses belajar bebas diaper.
-Nampak lubang tandas terlampau dalam macam nak makan orang.
5. Takut untuk lintas longkang walaupun longkang yang kecil.
6. Takut/tak takut terhadap ketinggian.
-Gayat atau tidak ada perasaan gayat.
7. Mudah mabuk dengan kenderaan bergerak.
-Sensitif terhadap pergerakan.
8. Suka pusingkan diri sendiri.
-Tercari-cari rangsangan deria vestibular dan sukakan pergerakan.
9. Tidak pandai melompat di usia atas 3 tahun.
-Gayat dan tidak pandai seimbangkan diri.
10. Kaki berpaut kuat di kaki kerusi semasa duduk di atas kerusi.
-Gayat.
11. Perlu bersandar untuk memakai seluar walaupun di usia 5 tahun ke atas.
-Masalah terhadap keseimbangan diri.
Di atas ini adalah tanda-tanda yang berpunca daripada masalah deria vestibular. Jika anak ada masalah diatas dan suka memanjat, maksudnya keperluan memanjat anak belum cukup lagi. Anak masih belum yakin dengan ketinggian, sebab itu dia akan cuba, cuba dan cuba lagi dengan cara memanjat. Selalunya bila anak sudah yakin dengan ketinggian dan percaya terhadap kebolehan diri sendiri perasaan nak memanjat itu akan berkurang melainkan ada masalah lain.
Jika kita terlampau sekat keperluan anak, ini tak boleh atau itu tak boleh memang ia akan mengganggu perkembangan anak kalau bukan masalah perkembangan motor kasar, kadang-kadang akan timbul masalah skill percakapan.
Mungkin orang lain nampak skill memanjat ini remeh tapi bagi saya, ia sangat bagus untuk perkembangan anak iaitu:
1. Skill urus diri
Apabila pakai seluar anak perlukan deria vestibular yang bagus untuk seimbangkan diri menggunakan 1 kaki. Ada yang kata, tak apa sebab anak pakai seluar secara duduk. Tapi sampai bila nak duduk? Nanti ke sekolah, takkan nak pakai seluar duduk di tandas?
2. Deria sendi
Apabila memanjat secara tak langsung anak akan dapat "deep pressure" di telapak tangan dan jari-jari. Sangat penting untuk skil motor halus yang digunakan dalam seharian seperti memakai butang baju, makan nasi menggunakan tangan dan sudu dan skil menulis.
3. Motor kasar
Yang digunakan untuk naik turun tangga dan skil bermain, menyepak bola dan bermain tenteng.
Sumber: Maryam Jamadi (Terapis Carakerja)

No comments:

Post a Comment

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →