Menu

Ibu Yang Sayangkan Anak Lelaki Dan Mahu Jadi ‘Superhero’ Dalam Keluarga Kena Tahu Batas Memanjakan Anak. Tegas Dengan Penuh Kasih Sayang Sangat Penting!


Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Bagi mereka yang pernah bergelar ibu, pasti mereka mengakui bahawa tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa perasaan seorang ibu terhadap anaknya.

Namun kadangkala, perasaan yang terlampau sayang akan membawa kita ke arah terlalu memanjakan anak, lantas membuatkan kita membesarkan mereka dalam keadaan yang salah.

Ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian, dan bertegas dengan hati sendiri dalam membesarkan anak-anak:

1. Ajarkan dia mengekspresi perasaan
Anak anda mungkin selalu menangis kerana marah atau ketakutan. Jelaskan kepadanya bahawa perasaan-perasaan itu adalah satu cetusan dan beritahunya apa yang perlu dibuat. Bincangkan juga mengenai perasaan anda dengannya.

Apabila dia membesar, dia akan tahu perbezaan di antara marah, kekecewaan, kesedihan dan kekeliruan. Dan dia juga akan tahu bagaimana untuk mengendalikan emosinya, serta ‘melepaskannya’ dengan cara yang betul.

2. Ajarkan dia membersihkan diri sendiri, memasak, membasuh baju dan menggosok bajunya sendiri
Walau apa-apa pun yang akan terjadi pada suatu masa nanti, pada masa itu, pasti dia akan rasa sangat bertuah kerana anda melatih dia supaya berdikari sejak dari waktu kecil lagi.

3. Bacakan kepadanya dan membaca dengannya
Benar, kanak-kanak akan menjadi seorang pencinta buku apabila duduk di riba anda, sambil melihat anda membaca. Beritahunya apakah buku yang anda suka baca dan watak-watak kegemaran anda. Jelaskan  kepadanya kenapa pentingnya untuk membaca.

Amalkan membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah semasa menemani anak melakukan aktiviti ini. Yang paling penting, jelaskan pengajaran berguna yang harus dia teladani.

4. Yakinkan dia untuk mencapai perkara yang hebat
Bijak, berani, kuat, berbakat, jujur. Ceritakan kepadanya tokoh-tokoh yang hebat; penulis, pengembara, saintis, ulamak, pemimpin dan sebagainya.

Ceritakan kepada dia bagaimana mereka ini hidup, apa yang mereka buat dan apa yang mereka telah berjaya capai. Dan bagaimana kecantikan dalaman di dalam diri seseorang adalah jauh lebih penting daripada apa yang ditonjolkan pada luaran.

5. Jadi contoh kepadanya
Jadilah superhero kepada anak kita, jadilah contoh ikutan. Perkara ini akan berlaku dengan sendirinya tanpa kita perlu mengeluarkan sepatah ayat pun.

Walau bagaimanapun, anda harus tetap menunjukan kepada anak kecil anda betapa cantik, bijaksana dan jujurnya diri anda.

Bagi mereka, anda adalah manusia paling sempurna, paling ideal dan yang akan menjadi kayu ukur kepada insan-insan lain yang akan datang ke dalam kehidupan mereka.

6. Ajarkan perilaku yang baik
Ajarkan anak kita dengan ucapan ‘tolong’ dan terima kasih’. Ajarkan juga kepadanya agar tidak lokek untuk menawarkan pertolongan, menjadi pemurah dan suka berbuat kebaikan.
InsyaaAllah, perkara ini walaupun kecil, akan memberi sumbangan yang besar kepada dunia. Pasti ganjaran pahala besar menanti anda.

7. Letakkan Allah dalam hatinya sebagai tempat bergantung
Anak-anak kita pasti akan mengalami ketakutan dan kepenatan, kesakitan dan kesedihan, berkali-kali dalam sepanjang kehidupannya.

Adakalanya, disaat dia memerlukan anda, anda tidak mampu untuk berada dekat  disisinya.
Oleh itu tanamkan tempat bergantungan dalam hatinya, iaitu Allah. Tuhan sekalian alam. Ini akan membuatkan hidupnya terus berjalan, walaupun semangatnya telah lemah.

Apabila mereka telah faham ini, mereka tidak akan sesekali rasa kesorangan. Dia ada Allah sebagai tempat bergantung dan meletakkan keyakinan.

8. Ajarkan mereka untuk berlembut
Semaikan rasa kasih sayang dan perasaan berlembut mereka dengan kanak-kanak yang lebih kecil, dengan haiwan, dengan bunga, dan dengan perasaan orang lain.

Semaikan perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Semoga anak kita dibesarkan dalam perasaan yang penuh kasih dalam dirinya.

9. Tunjukkan minat kepada hobi mereka
Ibu bapa yang baik akan mengambil tahu tentang pasukan bola kegemarannya, belajar lagu kegemarannya. Hadirkan diri anda secara aktif dalam hidupnya.

Bukannya hanya memerhatikan gelagat anak kita dari jauh. Hati anak akan lebih terkesan apabila dia mengetahui bahawa ibu bapanya menyokong minatnya.

10. Buat aktiviti diluar rumah bersama
Tutup TV, simpan konsol video game, dan tinggalkan telefon bimbit anda. Keluarlah bersiar-siar dengan anak anda dan biarkan kemana sahaja dia mahu pergi. Perhatikan reaksi mereka dan berkomunikasilah dengan mereka.

Pasti anda merasakan kebahagiaan apabila dapat mengisi masa dengan anak dan melihat mereka membesar didepan mata.

11. Sentiasa menjadi ‘rumah’ kepadanya
Semasa anak kecil kita sedang belajar berjalan, secara tak stabil dia hanya akan melangkah pergi beberapa langkah dari anda – dan kemudian dia akan kembali.

Kemudian apabila dia sudah sedikit besar, akan mula berjalan lagi sedikit jauh di sekitar rumah, tetapi dia akan sentiasa pulang setiap masa.

Dia akan tertunggu-tunggu senyuman bangga anda bila dia menunjukkan lukisan pertamanya kepada anda.

Apabila dia belajar membaca, dia akan membaca buku yang sama kuat-kuat sebanyak 20 kali. Kerana dia tahu ibunya akan sentiasa mendengarnya bila dia buat begitu.

Dan walaupun dia telah besar panjang, kuat dan boleh menjaga diri sendiri, dia mungkin masih mahu menangis dipangkuan anda – dia tidak mampu menyorokkan perasaannya daripada anda, ibunya.
Walaupun dia sudah mempunyai rumah, keluarga sendiri dan jawatan, anda adalah sentiasa permaisuri dihatinya. Padanya, anda adalah segala-galanya.

Sumber: Muhamad Naim Abd Manaf

No comments:

Post a Comment

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →