Menu

Hati-Hati, Jangan Tersalah Pilih! 4 Tip Beli Pam Payudara Supaya Payudara Tidak Cedera


Membeli pam payudara yang sesuai dengan payudara anda adalah perlu agar penggunaannya tidak akan mendatangkan kecederaan pada puting dan membantu payudara dikosongkan dengan lebih efektif.

Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Omar membeli pam payu dara bukanlah sesuatu yang wajib untuk menjayakan penyusuan ibu. Walau bagaimanapun, bagi para ibu berkerjaya, pam payu dara merupakan sesuatu yang mungkin dapat membantu. Kini, pilihan pam payu dara terlalu banyak di pasaran dan ada kalanya ia menimbulkan kekeliruan di kalangan para ibu. Jadi, ramai pakar laktasi memberi penekanan kepada pemilihan pam yang betul mengikut keperluan ibu. Untuk ibu berkerjaya yang jadualnya agak ketat, penggunaan pam elektrik adalah disyorkan. Antara ciri lain yang perlu diberi perhatian dalam pemilihan pam elektrik adalah seperti berikut;

1. KESELESAAN
Pam elektrik automatik mempunyai ciri kekuatan sedutan, auto-cycle atau cycle yang boleh dikawal di mana ia lebih selesa untuk digunakan. Pam sebegini membolehkan anda mengawal sedutan dan cycle menggunakan butang khas mengikut keselesaan sendiri. Sesetengah pam yang lebih canggih berupaya melakukan fasa rangsangan untuk merangsang pancutan refleks (let down/ milk ejection reflex). Anda boleh menekan atau memutar butang untuk kembali ke mod pemerahan selepas pancutan refleks tercapai.

2. KEBERKESANAN
Pilih pam elektrik yang menyerupai cara hisapan bayi iaitu sekurang-kurangnya 25 hisapan dalam seminit. Pam yang berkesan dapat mengeluarkan susu dengan baik, seterusnya merangsang penghasilan susu. Pam yang mempunyai auto-cycle terbukti lebih berkesan berbanding pam yang memerlukan anda menekan sebarang punat atau butang untuk melepaskan hisapan.
Kekuatan hisapan pam juga penting. Jika terlalu perlahan, ia tidak berkesan. Jika terlalu kuat pula, boleh menyakitkan dan mencederakan payu dara. 

Jadi, cari pam yang kekuatan hisapannya menyerupai hisapan bayi iaitu sekurang-kurangnya 200-240 mmHg.

Antara punca kecederaan pada payu dara adalah disebabkan oleh penyalahgunaan pam. Ramai yang berpendapat bahawa lagi kuat hisapan pam , lebih baik. Ini tidak benar sama sekali. Oleh itu, elakkan dari menggunakan sedutan paling maksima apabila memerah!

3. CARA MENGEPAM
Antara pilihan pam elektrik yang sedia ada di pasaran berkemampuan untuk mengepam dengan cara yang berikut:
  • Sebelah sahaja: Pam ini hanya mampu mengepam sebelah payu dara sahaja pada satu-satu masa. Tempoh mengepam juga agak lama dan rangsangannya tidak sebaik pam yang boleh mengepam kedua-dua belah serentak. Walau bagaimanapun, pam ini amat sesuai jika anda menggunakannya secara sambilan (mengepam satu atau dua kali sehari).
  • Kedua-dua belah: Menurut kajian, ia terbukti lebih berkesan bagi tujuan merangsang penghasilan hormon prolaktin dan penghasilan susu dengan lebih baik. Amat disyorkan kepada ibu berkerjaya yang sibuk dan kesuntukan masa untuk mengepam.

4. HARGA
Pam payu dara elektrik berkualiti biasanya lebih mahal iaitu dalam lingkungan RM350 hingga RM1500, bergantung kepada jenis dan jenamanya. Harga pam manual berkualiti pula lebih murah iaitu antara RM250 hingga RM300.

Anggaplah ia sebagai satu pelaburan jangka masa panjang kerana penyusuan susu ibu jauh lebih menjimatkan kerana anda tidak perlu membeli susu formula. Memandangkan pilihan pam yang ada di pasaran agak banyak, anda mungkin keliru atau tidak pasti untuk memilih pam yang sesuai, jadi rujuklah kaunselor atau pakar laktasi untuk maklumat lanjut. Bagaimanapun anda tetap disarankan untuk mempelajari teknik memerah menggunakan tangan kerana ia sangat berguna di saat-saat kecemasan jika pam tidak dapat berfungsi dengan baik. Kaedah pemerahan tangan diakui efektif dalam merangsang pancutan refleks sebelum dan selepas memerah.

No comments:

Post a Comment

Author

authorHello, my name is Jack Sparrow. I'm a 50 year old self-employed Pirate from the Caribbean.
Learn More →