Home
Tips Anak Sihat
Mohon Jangan Suka-Suka Rawat Sendiri Bayi Kuning. Kata Doktor Ia Berpotensi Memudaratkan Anak Kalau Tak Rujuk Di Hospital!
Mohon Jangan Suka-Suka Rawat Sendiri Bayi Kuning. Kata Doktor Ia Berpotensi Memudaratkan Anak Kalau Tak Rujuk Di Hospital!
Majoriti bayi baru lahir mesti akan kena jaundis atau kuning. Info ini wajib diketahui oleh semua yang bakal bergelar ibu ayah. Ia sebagai persediaan dan tahu apa patut dilakukan dan apa yang tak patut dibuat untuk merawat bayi yang kena jaundis.
Sebaiknya bawa bayi yang kena jaundis ke klinik kesihatan atau hospital untuk pemeriksaan rapi dan rawatan lanjut mengikut tahap bacaan jaundis mereka.
Baca penerangan Dr Amirul Amzar seperti dikongsi dalam laman facebook Medical Mythbusters Malaysia kenapa ibu ayah tak perlu jemur bayi, mandikan dengan mandian herba, bagi minum susu kambing dan sebagainya lagi rawatan alternatif untuk turunkan kuning anak.
BAYI SAYA KUNING!
Bayi yang baru lahir kebiasaannya akan mengalami kuning atau juga dikenali sebagai "jaundice". Kebanyakan masa, ianya boleh pulih dengan sendiri tanpa apa-apa intervensi. Tetapi, ada bayi yang mengalami kuning yang teruk hingga perlu rawatan hospital.
Adakah masyarakat tahu apa punca kuning?
Kuning atau "jaundice" adalah disebabkan oleh kehadiran pigmen BILIRUBIN yang berlebihan dalam darah. Pigmen ini akan mendap di kulit dan memberikan warna kekuningan pada bayi. Pigmen ini adalah hasil pemecahan sel darah merah bayi.
Kenapa sel darah merah bayi pecah?
Sel darah merah bayi hanya sesuai untuk kegunaan dalam alam rahim. Apabila lahir, penukaran sel darah merah perlu berlaku bagi memastikan cukup oksigen dibawa oleh sel-sel darah merah itu. Penukaran ini melibatkan pemecahan sel darah merah bayi tersebut. Ia dipanggil HEMOLYSIS. Apabila ini berlaku, hasil pecahan sel darah merah itu menghasilkan bilirubin. Bilirubin yang banyak dalam darah akan menyebabkan kuning. Proses ini akan berterusan mencapai kemuncak pada hari kelima bayi dan semakin berkurang selepas itu. Kesannya, kuning juga akan turun sendiri.
Namun, kenapa sesetengah bayi kuningnya tinggi hingga perlu intervensi?
Perlu difahami, badan bayi menyingkirkan sendiri pigmen bilirubin yang berlebihan. Proses ini melibatkan metabolisma pigmen ini di HATI, dan seterusnya penyingkiran melalui berak dan kencing. Jika proses ini difahami, mudah lah kita faham apa risiko bayi mendapat kuning yang tinggi.
Secara mudah kita bahagikan penyebab kuning tinggi kepada 3.
1. Penghasilan pigmen bilirubin berlebihan dari biasa
Ini boleh disebabkan oleh pemecahan sel darah merah bayi yang keterlaluan. Kes ini kebiasaannya berlaku dalam ibu berdarah O, ibu berdarah jenis rhesus negatif, bayi menghidapi G6PD (sejenis masalah kekurangan enzim dalam sel darah merah) atau jangkitan yang membuat sel darah merah bayi pecah terlalu banyak.
2. Kegagalan hati memproses pigmen bilirubin dan mengeluarkan ke air kencing dan najis
Hati bayi tidak sematang hati orang besar. Jika ibu mengambil suplemen atau jamu, ia akan pergi melalui susu ibu ke hati bayi, seterusnya menyebabkan hati bayi bengkak. Ini mengurangkan fungsi hati dan menyebabkan kuning susah disingkirkan. Apatah lagi kalau bayi diberi terus ubat-ubatan atau suplemen secara terus tanpa konsultasi doktor. Masalah kongenital seperti biliary atresia atau choledocal cyst (masalah pembentukan salur hati tidak sempurna) juga akan menyebabkan pigmen bilirubin tidak boleh disingkirkan lantas menyebabkan kuning.
3. Bayi kurang berak dan kencing.
Kuning disingkirkan melalui berak dan kencing setelah bilirubin dimetabolisma oleh hati. Jika bayi kurang disusukan, mereka akan kurang berak dan kencing lantas melambat proses bilirubin disingkirkan.
Oleh itu, jika bayi anda kuning, teruskan penyusuan dengan kerap (1-2jam sekali) dan JANGAN BAGI APA-APA suplemen, jamu atau ubat tanpa nasihat doktor. Mandian herba juga TIDAK BERKESAN menurunkan kuning kerana ia tidak langsung membantu proses yang diterangkan di atas.
Kalau kuning tinggi sangat bahaya ke?
Bahaya! Pigmen bilirubin yang tinggi akan pergi menembusi selaput otak bayi yang tidak matang lantas menyebabkan keradangan pada otak dan saraf tunjang. Ini akan menyebabkan bayi berpotensi TERENCAT AKAL kelak dan juga PEKAK! Sebab itu kuning ini perlu dirawat dengan betul.
Apa rawatan yang betul untuk kuning ni?
Teruskan penyusuan, pastikan bayi mendapat hidrasi dari susu yang mencukupi bagi membantu penyingkiran pigmen bilirubin melalui air kencing dan najis. Jika kuning dikesan terlalu tinggi, rawatan fototerapi boleh membantu. Fototerapi menggunakan sinar ultraviolet bagi menukarkan pigmen bilirubin yang termendap di kulit bagi menjadi sebatian yang larut air dan mudah disingkirkan melalui kencing dan berak. Pendek kata, fototerapi memudahkan tugas hati dalam metabolisma bilirubin.
Jika kuning terlampau tinggi, penukaran darah (exchange transfusion) akan dilakukan bagi memastikan pigmen bilirubin tidak mencacatkan otak dan pendengaran bayi.
Kenapa kuning bayi saya lama sangat?
Kuning berpanjangan boleh disebabkan banyak perkara. Jangkitan kuman, kurang penyusuan, masalah tiroid, masalah hati, masalah usus dan juga boleh jadi sesuatu perkara yang normal sahaja. Apabila bayi anda didapati menghadapi masalah kuning berpanjangan, klinik kesihatan akan merujuk bayi anda ke hospital bagi memastikan tiada masalah-masalah yang disebut di atas. Penyiasatan akan dilakukan. Jika semua siasatan normal, jangan risau, teruskan penyusuan, kuning akan turun. Pihak hospital akan membuat pemerhatian sehinggalah kuning turun.
Jadi, perlukah serbuk mutiara, sengkuang cina, mandian herba dan sebagainya untuk menurunkan kuning?
Sudah tentu tidak. Bukan sahaja ianya satu pembaziran malah ia berpotensi memudharatkan bayi kesayangan anda. Rujuklah pada yang ahli, bukan penjual produk yang berpaksikan keuntungan semata-mata.
Dr Amirul Amzar
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
P/s: gambar ihsan google, menunjukkan kernicterus, satu komplikasi dari kuning yang tidak dirawat dengan betul.
Sumber: Facebook Medical Mythbusters Malaysia
Mohon Jangan Suka-Suka Rawat Sendiri Bayi Kuning. Kata Doktor Ia Berpotensi Memudaratkan Anak Kalau Tak Rujuk Di Hospital!
Reviewed by admin
on
20:23
Rating: 5

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment