Home
Tip Mendidik Anak
Buat Ibu Ayah, Ini 5 Cara Anda Perlu Buat Kalau Anak-Anak Asyik Bergaduh Sesama Sendiri
Buat Ibu Ayah, Ini 5 Cara Anda Perlu Buat Kalau Anak-Anak Asyik Bergaduh Sesama Sendiri
Bila ada lebih dari seorang anak, maka bersedialah anda untuk berhadapan situasi pergaduhan adik-beradik. Bergaduh kemudian baik semula adalah perkara biasa dalam kehidupan adik-beradik.
Sebagai ibu bapa, kita mestilah bijak mengawal situasi pergaduhan anak kecil ini supaya tidak berpanjangan dan berterusan hingga dewasa. Mereka perlu diajar bahawa hubungan adik-beradik seperti air yang dicincang tak akan putus. Walaupun kerap bergaduh tapi mesti kena berbaik-baik semula.
Puan Ruby Atika, Speech Languange Pathologist berkongsi cara yang patut dilakukan oleh ibu ayah bila anak-anak bergaduh. Bukan ibu atau ayah yang sama naik jadi 'hantu' ya.
Anak bergaduh? Biasalah tu…
Antara sebab biasa apabila anak kecil bergaduh ialah:
– berebut barang
– salah seorang kuat mengusik
– salah seorang kuat cemburu
Sebagai ibu kepada 2 anak lelaki, saya juga mengalami isu yang sama. Apabila anak-anak bergaduh, selalunya akan berlaku:
– tolak menolak / tarik menarik
– barang yang dibaling
– salah seorang berteriak kuat
– cakar atau tumbuk.
Saya tidak pasti pula bagaimana reaksi anak perempuan. Masalah begini dihadapi oleh semua yang pernah bergelar ibu.
Maka di sini saya nak kongsi bagaimana nak hadapi situasi anak-anak bergaduh.
1) Anda mestilah boleh mengawal diri sendiri. Jangan sehingga anda sendiri termasuk dalam gelanggang pergaduhan. Contohnya anda pula yang mencubit anak, atau anda yang menjerit atau anda yang hempas barang. Ibu bapa adalah orang dewasa, berlagaklah seperti orang dewasa.
Anda mesti ingat bahawa anak-anak ialah cermin terbaik. Mereka meniru setiap perbuatan anda. Jika anda menjerit, mungkin dia diam pada waktu itu (sebab takut dengar suara raksasa anda) tapi di kemudian hari dia akan jerit kepada adik/abangnya seperti apa yang dia dengar.
2) Latih anak untuk tolak ansur. Tolak ansur memerlukan komunikasi yang bagus. Jika abang inginkan barang dipegang adik, abang tak boleh merampas. Dia ada 3 cara untuk dapatkan barang itu:
a) dia kena minta izin “Boleh tak bagi abang Irham pinjam mainan tu?”
b) dia kena pujuk “Boleh la….abang Irham pinjam kejaaaap je, pastu abang Irham pulang balik kat Ilman.”
c) dia kena buat tawaran “abang Irham ada mainan ni boleh terbang….best, Ilman nak yang ni tak? Kalau Ilman nak, bagi abang Irham mainan Ilman tu dulu.”
Lihat….semuanya memerlukan kebolehan bercakap yang bagus. Saya melatih anak saya untuk bercakap sedemikian. Ia memakan masa. Dari usia 3 tahun lagi saya sudah latih. Jadi apabila masuk 4 tahun, dia sudah lancar.
Mereka masih bergaduh, tapi tahap kritikal itu dapat diatasi sebaik saja rundingan dilakukan.
3) Latih anak untuk mengikut GILIRAN. Masing-masing mesti patuh pada tempoh giliran masing-masing. Sebagai ibu bapa, anda adalah penguatkuasa undang-undang giliran. Jangan pula anda melebihkan anak yang manja.
Jika habis gilirannya, dia mesti serahkan pada pihak satu lagi. Jika dia tak nak, anda sebagai penguatkuasa, mestilah ambil saja barang itu dan beri pada seorang lagi. Dia akan nangis, berguling, jerit atau apa saja. Apabila dia faham giliran, dia takkan nangis dah. Dia tahu, nanti gilirannya akan sampai lagi.
4) Seterusnya ialah ungakapan “sayang”. Saya selalu ajar anak saya untuk sebutkan dia sayang adiknya atau abangnya. Mereka bukan sentiasa bergaduh. Ada masa mereka boleh bekerjasama. Dalam situasi baik, kita tanya, “abang Irham sayang tak kat adik Ilman tu?” biasanya dia akan jawab “Sayang, sebab adik Ilman comel sangat.”
Ungkapan “Kasihan” juga penting. Jika adiknya jatuh atau cedera, maka saya akan latih abang untuk berkata, “Kesian kat adik Ilman.”
Ungkapan-ungkapan sebeginilah yang menguatkan hubungan mereka adik beradik. Si adik juga mestilah dengar apa yang disebut oleh si abang, supaya dia tahu bahawa betapa abangnya itu sayangkan dirinya.
5) Kemahiran mengawal tantrum anak-anak. Semasa aksi bergaduh, mereka mungkin ada baling barang, berguling atau menjerit. Jika mereka berdekatan, cepat-cepat leraikan mereka. Pastikan mereka dalam jarak selamat.
Mereka akan menunjukkan protes dengan pelbagai cara. Anak mungkin sengaja melakukan perbuatan yang dia tahu ibunya tak suka.
Jika ibu bertindak pada perbuatan protes anak anda yang sengaja tersebut, maka dia berjaya. Dia berjaya mendapat perhatian anda. Maka ibu bapa mesti bijak menilai had protes. Jika anda rasa “ini dah melampau” maka anda kena hadapi dia dan bertegas. Jika dia baling, suruh dia kutip. Jika dia sepahkan semua, suruh dia kemas balik SEMUA.
Tapi jika anda kuat sabar, anda sewajarnya biarkan saja dia protes. Buat tak tahu saja dan jangan lihat pun apa dia buat. Nanti bila dia letih, dia berhenti sendiri. Sebenarnya ini lebih berkesan kerana lain kali dia tahu dah, perbuatan tantrum hanya meletihkan dirinya sendiri.
Tiada ibu yang sempurna. Kita hanya boleh berusaha untuk menjadi ibu yang lebih baik. Anak-anak saya masih bergaduh. Tapi saya tetap teruskan usaha untuk mengurangkan kekerapan pergaduhan dan tahap kritikal pergaduhan.
Ibu dan suami saya berpesan, supaya saya lebih Islamik dalam perkhidmatan.Ok, saya tambah satu lagi.Sebelum tidur, selepas lampu ditutup, saya akan bercerita kepada anak. Tajuk cerita ialah “Abang Irham dan Adik Ilman”.
Ceritanya amat mudah, tapi mereka tak pernah bosan dengar walaupun diulang berpuluh kali.
Ada banyak versi. Kadang-kadang kisah semasa mereka dalam perut, kisah semasa mereka baru lahir. Tapi saya menetapkan target cerita.
Contohnya “Abang Irham, anak soleh yang selalu rajin ikut umi abi solat. Abang Irham sayang sangat kat adik Ilman. Kalau adik Ilman jatuh, abang Irham cepat-cepat datang tolong.”
“Adik Ilman, anak soleh yang selalu sayang abang Irham. Sebab abang Irham sayang sangat kat adik Ilman.
Adik Ilman selalu baca zikir subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar”
Ceritanya terlalu panjang hingga kadang-kala saya sendiri tertidur.Saya yakin ramai ibu bapa sudah sedia maklum tentang bacaan-bacaan Quran yang dibaca kepada anak semasa mereka telah separa tidur.Jadilah ibu. Jangan jadi singa.
Sekian, terima kasih.
Sumber: Ruby Speech Therapy
Buat Ibu Ayah, Ini 5 Cara Anda Perlu Buat Kalau Anak-Anak Asyik Bergaduh Sesama Sendiri
Reviewed by admin
on
18:37
Rating: 5
Reviewed by admin
on
18:37
Rating: 5
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment