Cara Bagaimana Ayah JAdi Rapat Dengan Anak.Tiru 5 Tip Mudah Ini
Biasanya bila pertama kali ada bayi, mama orang paling sibuk uruskan keperluan si anak sampaikan papa jadi kekok dan tertanya-tanya apa yang dia boleh tolong? Bagaimanakah cara nak bagi papa jadi rapat dengan anak?
Ingat ya, tanggungjawab menguruskan anak bukan hanya terletak di bahu mama seorang. Mama juga janganlah menguasai tugas mengendalikan bayi seorang diri tanpa memberitahu papa apa yang dia boleh bantu. Kadangkala tak semua papa tahu apa tugas yang dia boleh buat untuk menguruskan anak.
Sebagai isteri, anda patut bantu suami membina hubungan rapat dengan bayi. Tentu anda pun 'cair' bila nampak betapa mesranya suami melayan si kecil bermain. Ia akan menjadi memori paling menyentuh hati dan kebahagiaan rasa mengalir dalam diri. Betul tak?
Jadi, kalau suami anda masih kekok untuk melayan anak, ini ada beberapa cara yang anda boleh galakkan dia buat semasa di rumah.
1. Libatkan papa semasa menyusukan bayi
Biasanya bila mama menyusukan anak dengan susu ibu, papa tentu jarang dapat terlibat sepenuhnya. Tapi ia bukan bermakna papa tak boleh jadi sebahagian daripada 'pasukan' ini. Anda boleh minta suami buat tugas rutin yang sangat mudah iaitu sendawakan bayi selepas menyusu. Sekurang-kurangnya anak tahu yang papanya juga turut serta dalam proses penyusuan susu ibu dan sebagai bapa sudah tentu suami anda rasa seronok dan bahagia kerana dia juga tidak terlepas momen membesarkan si kecil.
2. Biarkan papa layan anak
Bergelar ibu kepada seorang bayi dan dalam masa yang sama perlu bekerja menguruskan keperluannya serta rumah tangga bukan tugas yang mudah. Jangan bebankan diri dengan membuat semuanya berseorangan. Minta bantuan dari suami. Jika anda sibuk dengan urusan di dapur, biarkan suami yang melayan si kecil. Menukar lampin, menidurkannya atau sekadar memeluk bayi dalam dadanya sudah cukup banyak membantu meringankan bebanan anda. Bayi juga rasa seronok dan ini membantu dia mengeratkan hubungan rapat dengan papa.
3. Jadikan masa mandikan bayi sebagai aktiviti sekeluarga
Tahukah anda bayi banyak belajar ketika anda memandikannya? Proses mandikan bayi walaupun nampak macam tiada sebarang impak tetapi menurut pakar perkembangan anak, ia boleh merangsang otak dan emosi anak. Anda boleh ajak suami sekali terlibat memandikan anak bersama-sama. Misalnya, suami bersihkan bahagian badan anak, anda pula syampu rambutnya dan sambil mandikan anak, anda berdua bercakaplah dengan si comel. Sentuhan dan belaian kasih sayang yang dicurahkan ketika mandi akan menjadi memori paling indah dan bahagia dalam kotak fikiran anak.
4. Ajak papa uruskan anak waktu pagi
Rutin pagi bila ada bayi memang boleh jadi kelam kabut kalau mama yang nak uruskan semuanya sendiri. Jadi, biasakan suami bantu uruskan anak waktu pagi dari awal kelahirannya lagi. Misalnya anda boleh minta suami uruskan hal menukar lampin anak setiap pagi. Ia boleh jadi momen pagi paling bermakna kepada papa kerana dapat luangkan masa bersama anak sebelum dia keluar bekerja. Mungkin ini tidak boleh jadi perkara yang sama setiap hari atas perubahan jadual, tetapi anda boleh berkreatif untuk menjadikan waktu pagi sebagai masa berkualiti untuk papa dan anak.
5. Biarkan papa dan bayi ada masa mereka sendiri
Selalunya mama memang hendak kawal semuanya sendiri (bab jaga anak) sampai kadangkala terlupa nak libatkan papa sekali dalam hal ini. Anda kena bertolak-ansur dan sesekali biarkan sahaja suami yang 'in charge' anak tanpa perlu merungut dan tak puas hati dengan usahanya. Biarpun suami anda mungkin kurang cekap bab uruskan anak tapi tak bermakna anda boleh halang dia daripada menjadi sebahagian daripada tanggungjawab itu. Bila papa banyak habiskan masa berkualiti dengan bayi walaupun sekadar meniarapkan si comel atas dadanya atau apa sahaja aktiviti mereka berdua, ia sebenarnya perkara paling penting dan berharga dalam tumbesaran positif seorang anak.
Menguruskan bayi bukan hanya tanggungjawab mama tetapi ia memerlukan kerja berpasukan papa dan mama. Ia bukan sahaja meringankan bebanan tetapi sebagai satu cara mengeratkan hubungan rapat papa dan anak.
KREDIT
Cara Bagaimana Ayah JAdi Rapat Dengan Anak.Tiru 5 Tip Mudah Ini
Reviewed by admin
on
19:56
Rating: 5

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment